Ibarat ‘asnaf segera’, pemandu teksi mohon Permai dilanjutkan | DagangNews Skip to main content

Ibarat ‘asnaf segera’, pemandu teksi mohon Permai dilanjutkan

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Tidak meminta banyak, hanya mengharapkan keluh-kesah mereka, pemandu teksi didengari setelah pendapatan terencat akibat penularan COVID-19. 

 

Luahan mereka menyentuh emosi, hanya keprihatinan dan bantuan yang disalurkan kerajaan menjadi ‘talian hayat’ buat mereka berdepan cabaran kewangan akibat penularan COVID-19. 

 

Setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula dan kini dilanjutkan lagi selama dua minggu di enam buah negeri, pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) diumumkan bagi meringankan beban golongan yang terkesan.

 

Khusus kepada golongan pemandu teksi dan bas, kerajaan akan menyalurkan bantuan ‘one-off' sebanyak RM500 sekali gus memberikan sinar baharu buat mereka untuk ‘bernafas’.

 

Berkongsi kepada DagangNews.com, seorang pemandu teksi yang menumpukan operasinya di Lembah Klang, Md. Bahari Ali memohon supaya bantuan itu disegerakan. 

 

Md. Bahari Ali
Md. Bahari Ali

 

Secara keseluruhannya, sekitar 80% hingga 90% pendapatannya terjejas sejak penularan pandemik berkenaan.

 

“Pandangan saya memang wajar dan patut sekali dibantu serta disegerakan. Pendapatan kami telah terjejas teruk dan menjunam bukan kerana COVID-19 sahaja, malah sejak ‘lahirnya' perkhidmatan e-hailing beberapa tahun lalu. 

 

“Apatah lagi apabila PKP dilanjutkan, kami warga pemandu teksi secara automatik seperti asnaf segera yang patut dan wajib dibantu pada masa ini.

 

“Jika boleh bantulah kami berterusan seperti bantuan bulanan yang munasabah agar kami warga teksi tidak tertekan dan terbeban,” luahnya menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi. 

 

Susulan pelaksanaan PKP yang kini diperluaskan ke seluruh negara kecuali Sarawak, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari lalu mengumumkan pakej bantuan baharu, Permai. 

 

Menerusi suntikan RM15 bilion, kerajaan memperuntukkan RM66 juta untuk disalurkan kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.

 

Tidak ketinggalan pemandu teksi eksekutif (biru), Mohd. Faiz Hashim, 40, yang bersyukur atas bantuan ‘one-off’ yang diberikan. Baginya, nilai itu cukup untuk membayar sewa bulanan teksi sebanyak RM500. 

 

Kos sara hidup dan perbelanjaan harian untuk menampung keluarga sebaliknya bergantung kepada hasil perjalanan ketika membawa penumpang, kongsinya sebentar tadi. 

 

Namun, beliau tidak menafikan bahawa bantuan itu wajar dilanjutkan sekiranya pandemik ini masih belum terkawal sehingga mendorong penguatkuasaan PKP dipanjangkan lagi. 

 

“Selagi pandemik ada, eloklah disalurkan bantuan RM500 ini supaya industri teksi kembali menerima sambutan. Bagi kami, teksi ini mesin duit kami. Kalau kena tarik, susah nak dapat kembali atau mencari yang baharu. 

 

“Seperti saya, Alhamdulilah ada menerima pekerjaan untuk menawarkan perkhidmatan teksi kepada syarikat korporat, walaupun perkhidmatan perjalanan daripada syarikat itu jatuh 70%. 

 

“Pemandu-pemandu teksi yang lain hanya bergantung sepenuhnya dengan perkhidmatan perjalanan dari e-hailing dan penumpang yang tahan di tepi jalan, mereka ini paling terjejas. Nak dapat RM50 sehari pun payah,” luahnya lanjut. 

 

Mohonnya supaya bantuan RM500 diteruskan sehingga pandemik COVID-19 terkawal yang dapat melihat industri pengangkutan boleh beroperasi seperti biasa. 

 

Pendapatannya lebih terkesan apabila sempadan negara ditutup yang menjejaskan industri pelancongan. 

 

Ini berikutan, sebanyak 80% daripada penumpang merupakan pelancong dari luar negara, tambah Mohd. Faiz. 

 

“Dulu saya menjalankan perkhidmatan teksi di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur. Selepas berlakunya pandemik COVID-19, hotel pun tutup dan sekarang saya hanya memandu teksi apabila menerima tempahan sahaja,” tambahnya lagi. - DagangNews.com