IBFIM bekerjasama dengan FPAM, FBSB Indonesia bangunkan bakat kewangan Islam secara global | DagangNews Skip to main content

IBFIM bekerjasama dengan FPAM, FBSB Indonesia bangunkan bakat kewangan Islam secara global

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun - Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) bekerjasama dengan Lembaga Piawaian Perancangan Kewangan (FBSB) Indonesia dan Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) untuk pembangunan bakat atau pekerja kewangan Islam di peringkat global menerusi Program Eksekutif Perancang Kewangan Islam (IFP).

 

IBFIM dalam satu kenyataan hari ini berkata, usaha itu selaras dengan aspirasi Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 bagi memudahkan lagi kebolehlihatan perkhidmatan profesional serta pembangunan modal insan terbabit.

 

Katanya, program selama 12 minggu secara dalam talian itu berjaya melahirkan seramai  52 perancang kewangan Islam yang merangkumi profesional perbankan, pengamal insurans dan ahli akademik daripada 27 wilayah di serata Indonesia.

 

“Sejak dilancarkan, program eksekutif telah menarik penyertaan serantau dari Brunei, Singapura dan kini Indonesia.

 

"Malah, setakat ini, IBFIM telah menghasilkan hampir 2,000 perancang kewangan Islam," katanya.

 

Menurut IBFIM, program itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusannya bagi menyokong pembangunan tenaga kerja kewangan Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

IBFIM juga bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri, Cambridge Institute for Sustainability Leadership (CISL) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui pelbagai program latihan dalam meningkatkan kecekapan tenaga kerja kewangan serta memperkukuh cadangan Malaysia sebagai pintu masuk kewangan Islam. - DagangNews.com