Skip to main content

Ibu terharu, sayu terima ijazah anak yang meninggal dunia di Majlis Konvokesyen ke-44 UPM

Oleh AZMAN ZAKARIA

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - “Hati saya amat tersentuh, hiba dan sayu ketika saya berjalan menaiki pentas dewan konvokesyen menerima ijazah bagi pihak arwah anak saya yang meninggal dunia.

 

“Dia sepatutnya berada di sini untuk meraikan kejayaannya itu tetapi dia telah tiada, namun saya redha,” kata Norliza Abdullah, ibu kepada graduan Allahyarhamah Nuraida Sabrina Shamsul Anuar yang meninggal dunia pada 11 Jun 2020.

 

Norliza, 50, dari Sungai Petani, Kedah mengambil bagi pihak Allahyarhamah Nuraida Sabrina ijazah Bacelor Sains Komputer daripada Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie, pada Majlis Konvokesyen ke-44 UPM di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM di sini, hari ini.

 

Menurut Norliza, berdasarkan post-mortem, anaknya itu yang berusia 23 tahun meninggal dunia akibat radang paru-paru atau pneumonia. 

 

Allahyarhamah Nuraida Sabrina, anak sulung daripada empat beradik dan harapan keluarga, diserang pneumonia pada minggu-minggu terakhir menjalani latihan praktikal di Sungai Petani.

 

Beliau berkata, perasaannya berbaur sedih bukan sahaja kerana anaknya itu tidak dapat meraikan kejayaan itu, malah juga suaminya Shamsul Anuar Omar (bapa Nuraida Sabrina).

 

upm

 

Katanya, suaminya itu meninggal dunia kira-kira lapan bulan sebelum Nuraida Sabrina meninggal.

 

“Namun sebagai ibu saya amat berbangga dengan pencapaian Nuraida Sabrina, dan pengorbanan arwah suami saya.

 

“Ketika saya melihat graduan lain menerima ijazah, saya terbayang seolah-olah anak saya turut mengambil ijazahnya,” katanya.

 

“Sepanjang berjalan dari tempat duduk di bahagian belakang dewan menuju ke pentas, saya terbayang wajah arwah anak saya. Tambah sayu apabila ada iringan muzik semasa saya menaiki pentas,” katanya.

 

Beliau berkata, anaknya sihat dan tiada apa-apa tanda sakit, tetapi tiba-tiba sahaja tidak boleh berjalan dan sekadar boleh bercakap sahaja, sebelum meninggal dunia keesokan harinya.

 

“Dia adalah contoh buat adik-adiknya. Sebab itu saya dan tiga anak datang dari Sungai Petani meraikan kejayaan arwah walaupun ijazah itu boleh dihantar kepada kami melalui pos.

 

“Arwah kuat berusaha…selama enam tahun dia belajar iaitu dua tahun di matrikulasi Banting dan empat tahun di UPM. Dia minat dalam bidang komputer dan bercita-cita untuk membangunkan pangkalan data,” katanya.

 

Beliau mengucapkan terima kasih kepada UPM dan rakan-rakan arwah anaknya itu yang membantu serta memberi kata-kata semangat kepada mereka sekeluarga.

 

Norliza, seorang suri rumah berkata, beliau mungkin perlu bekerja untuk menyara keluarga dan menampung pembelajaran anak-anak. Tiga anaknya, Nurul Hannah, 22, menuntut di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Maisarah, 18, di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar; dan Ain Nadira, 12, di Sekolah Kebangsaan Sungai Layar, Sungai Petani.

 

Nurul Hannah, pula berkata, beliau dan adik-adik menjadikan kakak mereka itu sebagai contoh untuk berjaya dalam akademik. - DagangNews.com