IGB lepaskan 50% kepentingan dalam hartanah di London | DagangNews Skip to main content

IGB lepaskan 50% kepentingan dalam hartanah di London

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - IGB Bhd mengumumkan penjualan kesemua 50% kepentingan ekuiti dan hutang pemegang saham dalam hak milik pegangan bebas di London kepada unit kumpulan hartanah global Hines dengan harga GBP104.375 juta (RM600 juta).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IGB berkata unit Verokey Sdn Bhd dan Tower Ray Ltd miliknya masing-masing menjual 50% kepentingan dalam usaha sama Black Pearl Ltd, yang memiliki tanah yang dikenali sebagai 18 Blackfriars Road, SE1, London, dan memindahkan hutang pemegang saham mereka kepada HNG Blackfriars 1 Ltd pada harga GBP208.75 juta.

 

Menurutnya, urus niaga tersebut diselesaikan melalui gabungan wang tunai berjumlah GBP120 juta yang dibayar kepada penjual serta penerbitan nota pinjaman dengan nilai pokok GBP88.75 juta, yang akan ditebus 24 bulan setelah transaksi selesai.

 

Untuk itu, katanya, bahagian pertimbangan penjualan Verokey adalah GBP104.375 juta (sebelum pemotongan tertentu), merangkumi GBP60 juta tunai setelah selesai dan GBP44.375 juta 24 bulan setelah selesai transaksi.

 

"Penyelesaian pembayaran merupakan sebahagian daripada hutang Black Pearl kepada Verokey. 

 

"Pembayaran kedua mewakili baki hutang yang ditanggung oleh BPL kepada Verokey dan nilai untuk 50% pegangan saham Verokey di Black Pearl tetapi kini telah dilakukan oleh pembeli dan dibuktikan dengan nota pinjaman yang dikeluarkan oleh pembeli yang dijamin pada hartanah berkenaan," katanya kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, transaksi itu bermanfaat kerana ia merupakan peluang untuk merealisasikan pelaburannya di Black Pearl. 

 

Menurut IGB, hasil daripada penjualan pegangan tersebut akan digunakan untuk modal kerja umum kumpulan dan menjangkakan urus niaga tersebut akan menghasilkan kenaikan sekitar 21 sen dalam aset bersih sesaham dan perolehan sesaham.  -DagangNews.com