Skip to main content

IHH Healthcare nak jual IMU? 

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mac - IHH Healthcare Bhd. dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menjual cabang pendidikannya, International Medical University (IMU), menurut sumber. 

 

Dalam laporan Bloomberg, sumber itu berkata, IHH yang merupakan kumpulan perubatan terbesar di Asia dari segi nilai pasaran itu sedang bekerjasama dengan Rippledot Capital Advisers terhadap potensi urus niaga. 

 

"Penjualan unit pendidikan ini dijangka menjana nilai sebanyak AS$300 juta (RM1.22 bilion). 

 

"Proses usaha wajar juga sedang berjalan dan tiada kepastian sama ada IHH akan meneruskan transaksi ini," katanya lagi. 

 

Bagaimanapun, wakil IHH mahupun Rippledot enggan mengulas mengenai perkara ini.

 

IHH, yang mengendalikan 80 hospital merentasi China hingga ke benua Eropah, telah mengubah strategi perniagaannya di bawah Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Kelvin Loh Chi-Keon yang menyertai kumpulan itu pada 2019.

 

Selepas melaksanakan beberapa pengambilalihan, pengurusan kini memberi fokus kepada memperoleh nilai daripada aset dan penjualan sedia ada.

 

Pada November lalu, IHH mengumumkan penjualan 50% kepentingan usaha sama India kepada rakan kongsinya, Apollo Hospitals Enterprise Ltd. pada nilai RM227 juta.

 

Secara dasarnya, IMU ditubuhkan pada 1992 sebagai International Medical College dan menawarkan lebih daripada 20 program profesional kesihatan daripada prauniversiti hingga pascasiswazah dalam bidang perubatan dan pergigian. 

 

Kampus utamanya terletak di Kuala Lumpur.

 

Dalam laporan tahun terbaharun IMU, unit itu menjana pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi 2020 sebanyak RM75.7 juta, lebih rendah berbanding RM87.2 juta bagi tahun sebelumnya. - DagangNews.com