IKHLAS perkenalkan khidmat penghantaran daging ibadah Kurban ke rumah | DagangNews Skip to main content

IKHLAS perkenalkan khidmat penghantaran daging ibadah Kurban ke rumah


KUALA LUMPUR 23 Jun - IKHLAS, cabang perniagaan mesra Muslim airasia Digital menawarkan perkhidmatan ibadah korban dalam talian yang mudah, lancar dan pada harga yang berpatutan untuk umat Islam yang bercadang untuk menunaikan ibadah korban. Tempahan boleh dibuat di laman web ikhlas.com atau aplikasi IKHLAS bermula hari ini hingga 20 Julai 2021.   

 

Ibadah Korban merujuk kepada amalan mengorbankan binatang peliharaan seperti lembu atau kambing, dan berkongsi daging tersebut bersama keluarga, rakan-rakan dan juga golongan asnaf serta mereka yang memerlukan pada Hari Raya Aidiladha.

 

Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa, IKHLAS bukan sahaja menawarkan perkhidmatan korban yang boleh ditempah di hujung jari, malah memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan kerjasama penternak tempatan di seluruh Malaysia.

 

Segala aspek pengurusan proses korban dijalankan berasaskan syariah dan para penternak juga mempunyai kelulusan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk melakukan penyembelihan di pusat penyembelihan berdaftar dengan JPV.      

 

Ikhlas Kamarudin, Ketua IKHLAS berkata, smpena Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba kurang dari sebulan lagi, pihaknya berbesar hati untuk membantu umat Islam melaksanakan ibadah korban dalam talian yang mudah, lancar dan selamat.

 

"Untuk kemudahan semua, kami turut menawarkan pakej pada harga yang berpatutan bagi korban lokal dan antarabangsa.

 

“Terdapat dua pakej pilihan untuk korban lokal (dalam negara) iaitu pakej korban asnaf, dimana satu bahagian lembu berharga RM750 dan seekor lembu (7 bahagian) berharga RM5,250 dan pakej korban biasa, yang mana satu bahagian lembu berharga RM780 dan seekor lembu (7 bahagian) berharga RM5,460,” katanya.

 

Tahun ini, untuk tempahan pakej korban lokal di seluruh negara, IKHLAS menyediakan perkhidmatan baharu iaitu penghantaran ke rumah di kawasan terpilih, untuk memudahkan orang ramai melaksanakan ibadah korban dengan syarikat ini.

 

"Kami juga terus menghulurkan bantuan dan bekerjasama dengan ramai penternak tempatan untuk meringankan beban dan membantu perniagaan mereka pada masa mencabar ini. Melalui perkhidmatan pakej korban asnaf lokal dan antarabangsa, kami berharap untuk mengagihkan daging korban kepada 90,000 buah keluarga yang memerlukan di seluruh Malaysia dan negara-negara lain.” 

 

“IKHLAS juga menawarkan pakej korban antarabangsa, yang mana satu bahagian lembu berharga RM320, seekor lembu (7 bahagian) berharga RM2,240 dan seekor kambing berharga RM580. Melalui pakej korban antarabangsa, daging korban akan diagihkan kepada individu dan keluarga yang memerlukan di lebih 35 buah negara termasuk Kemboja, Thailand, Vietnam, Filipina, Bangladesh, India, Indonesia, Kenya, Somalia, Tanzania dan banyak lagi,” tambah Ikhlas.

 

Setiap pakej korban yang ditempah melalui ikhlas.com/qurban akan menerima BIG Poin (1 BIG Poin untuk setiap RM2 dibelanjakan). Selain itu, setiap individu juga akan menerima sijil rasmi korban, dan gambar korban pula boleh dimohon bagi mereka yang menempah dari hari ini hingga 12 Julai 2021.  - DagangNews.com