Iktibar dari langkah berani New Zealand haramkan rokok | DagangNews Skip to main content

Iktibar dari langkah berani New Zealand haramkan rokok

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

HAMPIR 6 tahun di New Zealand, pernah sekali saya menghisap rokok `satu hisapan’ dengan kawan-kawan.

 

Itu sahaja kerana merokok melanggar arahan ayah saya seorang ulama. Kawan-kawan boleh dikatakan semua merokok dan tidur lambat. Saya juga tidur awal seperti arahan bapa saya untuk bangun sebelum subuh. Itulah antara dua tabiat saya selain makan sebelum maghrib untuk belajar agama selepas maghrib.

 

Saya membaca laporan yang New Zealand mengharamkan merokok untuk generasi akan datang, dalam usaha menghapuskan tabiat itu menjelang 2025.

 

Perundangan bermakna orang yang berumur 14 tahun ke bawah pada masa ini tidak akan dapat dan pernah boleh membeli tembakau secara sah.

 

Perundangan baharu bermakna umur merokok yang sah akan meningkat setiap tahun, untuk mewujudkan generasi bebas rokok warga New Zealand.

 

Ini adalah hari bersejarah untuk kesihatan rakyat New Zealand.


 

fudzail

 

Apakah kerajaan Malaysia bersedia untuk mengharamkan rokok buat penganut Islam atau seluruh warga negara?

 

Pejuang Islam dan pembela ummah sedang bergerak giat aktif untuk menghapuskan dosa dengan melarang perjudian dan menyukarkan penjualan arak di mana sahaja.

 

Kalau pejuang agama benar-benar sayangkan masyarakat haruslah bergerak untuk mengharamkan dan melarang satu lagi gejala sosial yang berterusan.  Gejala yang membahayakan diri dan orang sekeliling, iaitu tabiat merokok.

 

Majlis Fatwa Kebangsaan cukup jelas menyatakan yang merokok dan menghisap vape adalah haram bagi umat Islam.

 

Begitu pun seorang Muslim di Malaysia yang umurnya lebih 18 tahun boleh membeli rokok, tembakau atau produk lain. 

 

Produk yang mempunyai nikotin dengan senang tanpa sebarang tindakan undang-undang untuk menghalang.

 

Kebebasan merokok termasuklah di negeri yang dipimpin oleh kerajaan Melayu Islam sepenuhnya yang berpandukan al-Quran, hadis, dan barisan ulama seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan.


 

fudzail

 


Kerajaan New Zealand mengumumkan peningkatan had usia di samping langkah-langkah lain untuk menjadikan merokok tidak mampu dan tidak boleh diakses.

 

Ini untuk cuba mencapai matlamatnya menjadikan negara bebas rokok sepenuhnya dalam tempoh empat tahun akan datang.

 

Langkah lain termasuk mengurangkan jumlah sah nikotin dalam produk tembakau kepada paras yang sangat rendah, mengurangkan kedai di mana rokok boleh dijual secara sah, dan meningkatkan pembiayaan kepada perkhidmatan ketagihan. Undang-undang baharu tidak akan menyekat penjualan vape.

 

New Zealand mahu memastikan golongan muda tidak mencuba rokok dengan menjadikannya satu kesalahan untuk menjual atau membekalkan produk tembakau kepada kumpulan belia.

 

Orang yang berumur 14 tahun apabila undang-undang berkuat kuasa tidak akan dapat membeli tembakau secara sah.

 

Kadar merokok harian New Zealand telah menurun dari semasa ke semasa. Turun kepada 11.6% pada 2018, daripada 18% sedekad sebelumnya.

 

Tetapi kadar merokok untuk orang Māori dan Pacifik jauh lebih tinggi iaitu 29% untuk Māori dan 18% untuk orang Pasifik.

 

Jika tiada apa-apa perubahan ini akan mengambil masa beberapa dekad sehingga kadar merokok Māori jatuh di bawah 5%.

 

Pembasmian merokok dalam tempoh empat tahun akan datang adalah dalam jangkauan dan untuk penduduk Eropah New Zealand menjadi bebas asap rokok.

 

Sekali lagi New Zealand menerajui dunia dengan pelan pelaksanaan 2025 tanpa rokok yang canggih dan benar-benar mengubah permainan.


 

fudzail


Pengurangan nikotin dalam rokok adalah yang pertama di dunia.

 

Menarik ramai golongan muda yang tidak akan pernah merokok. Menurut tinjauan terhadap 19,000 pelajar sekolah menengah tahun ini, hampir 20% menggunakan vape setiap hari atau beberapa kali sehari. Majoriti dengan dos nikotin yang tinggi.

 

Itu berbanding 3% daripada mereka yang berumur 15-17 tahun yang merokok setiap hari pada 2018, atau 13% yang merokok sedekad sebelumnya.

 

Pelan itu telah mendapat kritikan daripada beberapa pihak, berhujah bahawa mengurangkan nikotin dalam produk akan menjejaskan mereka yang berpendapatan rendah yang paling sukar.

 

Perlu membeli lebih banyak rokok dan merokok lebih banyak untuk mengakses dos yang sama. Tahap yang sangat rendah yang diperlukan oleh undang-undang telah dikaji dan terbukti membantu orang ramai berhenti.

 

Kebimbangan juga telah dibangkitkan tentang pasaran gelap yang semakin meningkat untuk tembakau.

 

Kerajaan mengakui risiko ini dalam cadangan awal di mana  bukti menunjukkan bahawa jumlah produk tembakau yang diseludup ke New Zealand telah meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Dengan kumpulan jenayah terancang terlibat dalam penyeludupan berskala besar dan tersusun.


 

fudzail

 


Rancangan awal untuk generasi bebas asap rokok warga New Zealand kini telah dimuktamadkan selepas perundingan awam.

 

Inisiatif pertama kali diapungkan pada bulan April dan masih perlu melalui proses perundangan, tetapi tidak sepatutnya menghadapi sebarang halangan.

 

Smokefree 2025 ialah tajuk utama dasar  parti Buruh di mana parti itu memegang majoriti di Parlimen New Zealand. Undang-undang itu akan diperkenalkan pada 2022, dengan had umur akan dimasukkan pada 2023.

 

Namun di Malaysia perokok Muslim nampak begitu angkuh pada amnya. Berani untuk melakukan dosa merokok di tempat yang dilarang merokok atau vape, termasuklah di Dewan Rakyat dengan bebas.

 

Sesungguhnya tidak mencerminkan peribadi dan tingkah laku seorang Muslim beriman yang akur dengan perintah Tuhan, sungguh mengecewakan.

 

Apalagi anak-anak yang tinggal dengan bapa atau ibu yang merokok dalam satu rumah yang memudaratkan kesihatan anak-anak dengan menjadi contoh yang buruk untuk anak-anak membuat perkara yang mungkar suatu hari nanti.


 

fudzail

 


Merokok dan menghisap vape adalah tabiat yang jijik dan bahaya yang mesti dihentikan untuk masa hadapan tetapi penjualan rokok terus dibenarkan, walau pun naik harga setiap tahun.

 

Untuk itu, kita mesti hormat kepada orang kafir di New Zealand yang memulakan langkah berani untuk mengharamkan rokok sebagai usaha di pihak kerajaan. – DagangNews.com