'Profit' daripada bank Islam adalah haram, menindas?
RIBA itu haram. Semua setuju. Sebab apa riba itu haram? Sebab berlaku penindasan.
Tujuan pengharaman riba ialah untuk mengelak penindasan ini berlaku. Penindasan akan memudaratkan masyarakat.
Hukum taklifi, riba ialah haram. Impak penindasan riba bertentangan dengan maqasid syariah yang menghalang perkara yang mudarat dan menganjurkan perkara kebaikan kepada umat manusia.
Dalam soal penindasan ini, ada sebilangan individu menyatakan penjanaan 'profit' bank Islam adalah riba sebab ia juga menindas.
Bagi penulis, individu seperti ini disaran untuk belajar ilmu muamalat sebelum membuat kenyataan semberono tanpa usul periksa.
'Profit' tidak boleh disamakan dengan riba. Definisi riba lain, buyu' dan duyun. Kena belajar apa dia buyu' dan duyun dahulu.
Penindasan merujuk kepada oppression. Dikatakan bahawa ‘profit’ yang dicaj oleh perbankan Islam juga menindas, kerana mahal.
Oleh kerana mahal dan menindas, lalu individu tersebut menyamakan ‘profit’ ini dengan riba. Ini tidak benar.
Hipotesis ini salah. ‘Profit’ adalah hasil jual beli. Riba adalah hasil lebihan daripada jumlah pinjaman.
Bebas memilih
Jual secawan teh tarik yang harga kos tak sampai 20 sen dengan harga RM1 hingga RM50 bukan riba. Pemberian pinjaman RM100 dan dibayar balik RM150, ia riba.
Satu untung daripada ‘profit’ jual beli dan satu lagi untung daripada ‘profit’ pinjaman. Untung ‘profit’ jual beli halal dan untung ‘profit’ pinjaman haram. Sumber dari Al-Quran; surah Al Baqarah 275.
Dalam muamalat dan iktisad pasaran bebas sekarang, pelanggan bebas memilih. Kalau dirasa ‘profit rate’ tinggi di satu bank, mereka boleh mencari ‘profit rate’ di bank yang lain, yang jauh lebih rendah daripada bank yang dikatakan mahal.
Bank-bank pun bersaing di antara satu sama lain untuk menawarkan produk mereka. Kita boleh pilih mana yang kita suka. Willing seller and willing buyer.
Di Malaysia, terdapat 31 bank menawarkan produk perbankan Islam. Kalau satu bank mahal, ada lagi 30 bank yang boleh kita pergi membeli-belah. Adakah kita membeli-belah untuk pembiayaan perumahan kita?
Isu tindas atau tidak adalah tidak relevan di sini. Ia digembar-gemburkan semata-mata untuk mencari populariti sahaja. Resolusi dari mujtahid dan sarjana telah termaktub malah dipersetujui di seluruh dunia.
Proses tadarruj
Kenapa kita masih mahu bertuhan kepada pendapat sebilangan kecil 'pakar pengkritik perbankan Islam' yang mungkin tidak ada kepakaran dalam ilmu fiqh muamalat, usul fiqh dan qawaid fiqhiyah?
Tahukah kita bahawa setiap fatwa atau resolusi wajib disaring melalui proses yang teliti sebelum mencapai keputusan syariah.
Ia memerlukan tenaga dan kudrat yang hebat termasuk rujukan sumber-sumber syariah seperti Al-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qiyas.
Para mujtahid pula tidak boleh diwakili oleh individu biasa. Mereka berkelayakan.
Oleh itu, kepada rakyat biasa, jangan terpedaya dengan tohmahan palsu yang cuba memporak perandakan sistem perbankan Islam yang sedia ada sekarang.
Kita masih lagi mencari kesempurnaan dalam persekitaran yang penuh dengan debu-debu riba dan tertakluk kepada adat dan budaya kewangan kapitalis.
Proses pengharaman arak dan riba pun melalui beberapa fasa ayat Al-Quran. Ini proses tadarruj.
Penulis mengharap kesepakatan dan sokongan kita semua mampu mengkukuhkan lagi daya ketahanan dan usaha berterusan dalam mengembalikan martabat kewangan Islam ke takhta yang sepatutnya. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.