Ilmu akademik, industri perlu bergerak seiring dalam kewangan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 12 April 2022

Ilmu akademik, industri perlu bergerak seiring dalam kewangan Islam

 

 

DALAM satu pertemuan dengan beberapa pakar industri kewangan Islam minggu lalu, penulis telah berkongsi pendapat supaya diberi pertimbangan sewajarnya dalam usaha menyebarkan ilmu kepada pengamal industri dan juga para pelajar yang bakal mewarnai industri kelak.

 

Seperti yang selalu digembar-gemburkan, jurang ilmu antara akademik dan industri masih besar. Sering diperkatakan juga, akademik bersifat teori manakala industri pula berciri praktikal. 

 

Maka, ilmu yang diserap kepada para pelajar haruslah dikacuk dengan amalan praktikal sebelum mereka diserap ke industri.

 

Begitu juga sebaliknya, apabila penulis mencadangkan supaya pengamal industri mempelajari ilmu akademik bagi meningkatkan tahap kecekapan mereka.

 

Dalam perbincangan tersebut, penulis mengemukakan 3 pendekatan untuk dilaksanakan dalam penyebaran ilmu, tidak kiralah sama ada secara webinar, pendidikan, latihan ataupun persidangan.

 

Yang pertama ialah keperluan prasyarat tertentu dalam senarai semak penyebaran ilmu. Dalam sebuah webinar teknologi kewangan (fintech) Islamik contohnya, harus disediakan bahan yang dibincang tentang asas syariah dan fintech. 

 

Antaranya, apakah kaitan fintech dengan muamalat dari sudut pandangan cendekiawan Islam dan aplikasi kontrak syariah. 

 

Perkara ini penting kepada para pengamal industri, kerana ia sebenarnya hanya dapat dipelajari daripada dunia akademik.

 

Perkara kedua ialah berkaitan pendekatan penyebaran ilmu secara pendidikan vokasional. Ini merujuk kepada program atau kursus pengajaran di universiti yang menumpukan pada kemahiran yang diperlukan untuk fungsi pekerjaan tertentu. 

 

Untuk menjadi ahli dalam ilmu asas kewangan Islam, contohnya, kursus pengajaran haruslah dititip dengan 5 prasyarat kecekapan seperti pengetahuan ilmu asas syariah, bagaimana syariah boleh diaplikasikan, sudut etika berbisnes, aspek perundangan termasuk tadbir urus dan akhir sekali kefahaman sistem kewangan Islam.

 

Dalam latihan vokasional yang dicadangkan penulis, universiti perlu menyediakan pelajar untuk kerjaya tertentu dengan cara menambahbaik subjek akademik tradisional mereka dengan ilmu-ilmu praktikal yang berkaitan selagi ia tidak menjejaskan kawalan kualiti yang ditetapkan Lembaga Akreditasi Negara (MQA).

 

Akhir sekali, adalah pendedahan kepada kes-kes yang telah berlaku dalam industri. Para pelajar memerlukan panduan daripada pengamal industri tentang perkembangan baharu untuk mereka mengemas kini status pembelajaran dengan lebih baik. 

 

Sebarang penyelesaian, garis panduan dan dasar baharu yang dilaksanakan pihak berwajib dalam industri mesti dikemaskini dalam program atau kursus pengajaran di universiti. 

 

Tanggungjawab menyediakan pelapis baharu dalam industri terletak di bahu para ahli akademik dan pengamal industri. 

 

Negara memerlukan warga kerja yang mampu menjalankan amanah mereka dengan cekap dan berwibawa. Ilmu akademik dan praktikal tidak boleh dipisahkan. 

 

Ini ibarat lagu P.Ramlee, 'Andai dipisah lagu dan irama. Lemah tiada berjiwa... hampa'. Jangan hampakan harapan negara. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags