Impak ‘lockdown’ terasa, untung bersih Q4 V.S Industry susut sedikit kepada RM41.5 juta | DagangNews Skip to main content

Impak ‘lockdown’ terasa, untung bersih Q4 V.S Industry susut sedikit kepada RM41.5 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Peneraju perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) di Malaysia, V.S. Industry Berhad menyaksikan keuntungan bersih kumpulan menyusut sedikit kepada RM41.5 juta pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21). 

 

Prestasi itu menurun daripada RM54.7 juta yang dicatatkan pada tempoh sama berakhir 31 Julai 2020, menurut makluman kumpulan di Bursa Malaysia. 

 

Jelas V.S Industry, ini terutamanya disebabkan oleh rosot nilai dalam pelaburan bersekutunya bernilai RM25 juta selain jualan terjejas akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dan PKP Diperketatkan (PKPD).

 

“Bagi suku tahun tersebut, perolehan dari Malaysia terjejas akibat rosot nilai yang dinyatakan di atas dan peningkatan dalam kos, sebahagiannya dikurangkan oleh keuntungan dari Indonesia dan kerugian yang lebih rendah dicatatkan di operasi di China. 

 

“Sementara itu, perolehan bagi suku tahun yang terkumpul meningkat dengan ketara, terutamanya disumbangkan oleh pesanan jualan lebih tinggi daripada pelanggan sedia ada utama, campuran produk jualan yang baik di Malaysia, prestasi baik dari Indonesia dan kerugian meruncing dari China,” jelas kumpulan. 

 

Keuntungan bersih kumpulan sebaliknya meningkat bagi perbandingan tahun ke tahun, menokok kepada RM245.3 juta daripada RM116.5 juta. 

 

Ini merupakan keuntungan bersih tertinggi yang pernah dicatatkan kumpulan, menjangkaui paras tertinggi yang dicatatkannya pada FY19 bernilai RM165.4 juta.

 

Pengarah Urusan V.S Industry, Datuk S.Y. Gan berkata, prestasi kukuh itu mampu dicatatkan walaupun keadaan mencabar ekoran pandemik. 

 

“Keuntungan bersih FY21 kami pertama kalinya melepasi paras RM240 juta dan menjangkaui rekod yang dicapai pada FY19, RM165.4 juta. 

 

“Melangkah ke hadapan, persekitaran operasi yang mencabar dijangka disebabkan oleh pandemik COVID-19, ditambah dengan gangguan rantaian bekalan, antara lain, diunjurkan berlaku dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

“Walaupun keadaan di Malaysia masih tidak menentu dengan kes jangkitan COVID-19 yang tinggi, kemajuan ketara yang dicapai dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus membuka jalan ke arah permulaan semula kegiatan ekonomi,” katanya.

 

Bagi suku tahun kali ini, kumpulan mengisytiharkan dividen interim keempat pada kadar 0.5 sen sesaham dan mencadangkan dividen akhir sebanyak 0.5 sesaham, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang. 

 

Jumlah dividen bagi tahun kewangan semasa dijangka mencecah sekitar RM113.8 juta, mewakili 46.4% pembayaran daripada keuntungan bersih kumpulan bagi FY21. - DagangNews.com