Impak PKP ke atas ekonomi masih terkawal - PM | DagangNews Skip to main content

Impak PKP ke atas ekonomi masih terkawal - PM

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kerajaan tidak menjangkakan impak yang sama seperti suku kedua 2020 akan dialami dengan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, impak PKP semasa ke atas ekonomi masih terkawal memandangkan lebih banyak aktviti ekonomi dibenarkan beroperasi. 

 

Katanya, pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia. 

 

Pakej rangsangan ekonomi, Belanjawan 2021 dan pakej bantuan PERMAI juga akan terus merancakkan penggunaan. 

 

Seterusnya, projek dan program yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang besar akan
terus memacu momentum pemulihan ekonomi

 

"Kerajaan juga sedar pelaksanaan PKP yang disusuli dengan Proklamasi Darurat yang berkuat kuasa di negara ini mulai 11 Januari hingga 1 Ogos 2021 mungkin menimbulkan sedikit kegusaran dalam kalangan masyarakat serta komuniti perniagaan. 

 

"Pengisytiharan darurat ini semata-mata bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 yang kini menjadi ancaman terbesar terhadap pembangunan sosioekonomi negara," katanya dalam perutusan khas petang ini. 

 

Berikutan pelaksanaan PKP kali pertama ke atas pertumbuhan ekonomi pada 18 Mac lalu, ia menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2020 mencatat kemerosotan ketara dan kadar pengangguran juga meningkat. 

 

Namun, dengan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi, kadar penguncupan KDNK semakin menyusut daripada 17.1% kepada 2.7% pada suku ketiga. 

 

Kadar pengangguran juga menurun daripada 5.1% kepada 4.7%, daripada suku kedua kepada suku ketiga 2020.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan impak daripada langkah
tersebut ke atas persekitaran ekonomi negara adalah terkawal. 

 

"Malah, kita telah melihat bahawa sejak 11 Januari 2021, pasaran modal seperti Bursa Malaysia dan pasaran bon kekal stabil dan teratur," katanya.

 

Menurut beliau, bagi membiayai pakej bantuan Permai, kerajaan akan membuat penjajaran semula peruntukan sedia ada berdasarkan keutamaan semasa dan melalui perbelanjaan yang lebih berhemat. 

 

"Kerajaan juga akan memastikan segala program yang diumumkan akan dilaksanakan dengan cepat dan lancar," katanya. - DagangNews.com