Impak positif pembukaan semula Langkawi ke atas sektor penerbangan dikhuatiri suram - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Impak positif pembukaan semula Langkawi ke atas sektor penerbangan dikhuatiri suram - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Walaupun pembukaan semula gelembung perjalanan Langkawi merupakan perkembangan positif buat syarikat penerbangan, namun impaknya pada peringkat awal ini dikhuatiri suram.

 

Bagi penganalisis di CGS-CIMB Research, Raymond Yap, kadar tambang penerbangan dilihat sangat rendah dan mungkin sehingga ke tahap mendatangkan kerugian memandangkan pemain industri bersaing untuk ‘merebut’ penumpang. 

 

“Dalam pada itu, untuk tempoh beberapa bulan pertama ini, kebanyakan penumpang penerbangan AirAsia Group Berhad mungkin ‘diterbangkan’ secara percuma dengan menggunakan kredit mereka daripada penerbangan yang dibatalkan sepanjang tempoh satu setengah tahun yang lalu; berhubung kesemua penumpang ini, AirAsia tidak akan meraih hasil tunai baharu pun.

 

“Tambahan pula, jika faktor muatan rendah, beberapa penerbangan akan mencatatkan kerugian. Ini terutamanya melibatkan penerbangan pergi dan balik, sebagai contoh, hari pertama gelembung perjalanan Langkawi pada 16 September, penerbangan AirAsia yang keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) ke Langkawi dijangka menyaksikan faktor muatan penumpang tinggi dan kadar tambang yang berpatutan.

 

“Tetapi penerbangan balik dari Langkawi ke KLIA 2 agak kosong dengan tambang terendah pada RM17.30, tetapi masih boleh ditempah ketika penyelidikan ini ditulis,” katanya dalam satu nota kajian. 

 

Sebagai rekod, gelembung perjalanan ke Langkawi bakal bermula esok, 16 September 2021 yang hanya dibuka untuk golongan berusia atas 18 tahun dan lengkap vaksinasi. 

 

Ujarnya, kebanyakan pakar mempersoalkan adakah AirAsia mampu mengekalkan faktor muatan tinggi apabila kapasitinya kembali pulih dengan ketara bermula Oktober depan, memandangkan ramai rakyat yang masih bimbang untuk melancong sehingga keadaan COVID-19 stabil.

 

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebaliknya, kata Yap, menjadi penerima manfaat daripada langkah pengisian semula kapasiti syarikat penerbangan dan pelancongan ke Langkawi, dipacu oleh trafik penumpang yang meningkat. 

 

Namun, beliau memberi amaran bahawa risiko utama bagi program rintis ini adalah kes COVID-19 Malaysia masih agak tinggi selain pelancong ke Langkawi tidak perlu menjalani saringan COVID-19.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas MAHB dengan harga sasaran (TP) pada kadar RM6.96 sesaham, tetapi saranan ‘kurangkan’ saham AirAsia tidak berubah. - DagangNews.com