Skip to main content

Impak URUS kepada CIMB minimal - MIDF Research

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) dijangka memberi impak yang minima kepada margin pendapatan bersih (NIM) CIMB Group Holdings Berhad.

 

MIDF Research menjelaskan, pengecualian faedah daripada program Urus dijangka memberikan sedikit tekanan ke atas NIM kumpulan untuk suku keempat tahun kewangan 2021 dan suku pertama tahun hadapan.

 

Bagaimanapun MIDF berkata, CIMB percaya kriteria ketat yang diperlukan oleh peminjam untuk memenuhi syarat Urus akan menghadkan kemungkinan sebarang kerugian kepada kumpulan.

 

"Mengikut konteks, hanya 27% pinjaman pengguna melibatkan moratorium dengan ~ 20% melibatkan peminjam B40.

"Kumpulan itu menjangkakan lebih kurang 50% daripada pinjaman ini akan dimasukkan ke bawah Urus dan hanya kira-kira 1.7% daripada jumlah pinjaman kasar dijangka terjejas dengan skim tersebut," katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

 

 

Urus ditawarkan kepada peminjam B50 yang terjejas, iaitu peminjam dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM5,880 atau lebih rendah. 

 

Manfaat Urus merangkumi pengecualian faedah untuk tiga (3) bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan dan pengurangan kadar faedah. 

 

Dalam tempoh tersebut, pelanggan dengan pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.

 

Dalam pada itu, MIDF Research berkata, CIMB masih mengekalkan sasaran pertumbuhan pinjamannya pada kadar 2-3% untuk tahun ini berbanding sasaran awalnya 4-5% sebelum ini.

 

"CIMB menjangkakan kadar pertumbuhan pinjaman yang kukug dapat dikekalkan di Malaysia pada 3.8% tahun ke tahun di tengah-tengah sentimen pengguna yang lebih positif hasil daripada kelonggaran sekatan yang diumumkan kerajaan.

 

"Untuk itu kami menurunkan panggilan daripada 'Neutral' kepada 'Beli' kerana percaya prospek kumpulan sebahagian besarnya masih positif," katanya.-DagangNews.com