Skip to main content

Imperial Lexis Kuala Lumpur, Grandview Residence bernilai RM720 juta dibuka pada Mac 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun - Daya tarikan bandar raya Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan untuk pelancong perniagaan dan percutian dijangka akan terus diperkukuhkan dengan pembukaan hotel Imperial Lexis Kuala Lumpur dan kediaman Grandview Residence bernilai RM720 juta, bakal dibuka pada Mac 2023. 

 

Kedua-dua pembangunan baru tersebut terletak secara strategik di tengah-tengah pusat bandar, di Jalan Kia Peng, berdekatan Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Taman KLCC, dan bangunan-bangunan pencakar langit yang lain termasuk Exchange 106.

 

Untuk meraikan projek pembinaan Imperial Lexis Kuala Lumpur dan Grandview Residence, satu upacara “topping out” telah diadakan di atas bumbung hotel bertaraf lima bintang dan kediaman mewah yang bakal dilancarkan itu oleh pemaju hartanah butik terkemuka, KL Metro Group dengan kerjasama Perbadanan Kejuruteraan Pembinaan Negeri China (CSCEC) Malaysia.

 

Direka oleh firma seni bina antarabangsa terkemuka, Veritas Design Group, projek pembangunan bercampur 53 tingkat berprestij adalah bernilai RM720 juta, dengan jumlah keluasan lantai kasar 3,700 meter persegi  dan ketinggian 231 meter. 

 

Ia bakal menjadi hotel pertama di Kuala Lumpur yang mempunyai kolam renang peribadi dalam setiap 275 suitenya yang akan dikendalikan Lexis Hotel Group.

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Metro KL, Datuk Low Tak Fatt berkata, acara tersebut mencatatkan suatu peristiwa bersejarah dalam hidup mereka, iaitu dapat menyaksikan visi untuk sebuah hotel bertaraf antarabangsa dan kediaman mewah akhirnya menjadi kenyataan.

 

“Segalanya berjalan dengan begitu lancar dan dijadualkan untuk dibuka pada Mac tahun depan, kami amat teruja untuk membangunkan hotel mewah 5 bintang dengan 275 bilik dan kediaman mewah dengan 164 unit dalam pasaran yang begitu dinamik dan penuh persaingan. 

 

 

lexis
Datuk Low Tak Fatt (enam dari kiri) dan Lyu En ketika sesi upacara 'topping out' projek Imperial Lexis Kuala Lumpur serta Grandview Residence di Jalan Kia Peng.

 

 

"Ia juga merupakan projek pertama kami yang menembusi pasaran hotel mewah di Kuala Lumpur. Sehingga kini, projek ini belum siap tetapi kami telah berjaya menjual sebanyak 92% daripada jumlah unit-unit yang masih dibina ini. 

 

"Ini membuktikan projek ini sememangnya amat berpotensi dan mempunyai daya tarikan yang begitu besar dengan lokasinya yang amat strategik dan kemudahan yang sungguh menarik. Kami juga telah menyediakan program jualan dan pajakan balik yang khas untuk projek ini dan ia telah menunjukkan rekod prestasi yang sangat baik dari segi pulangan sewanya setakat ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

lexis

 

 

lexis

 

 

lexis

 

 

Pengarah Urusan CSCEC Malaysia, Lyu En pula berkata, mereka berharap terus mengukuhkan hubungan perniagaan dan membina hubungan kerjasama yang berpanjangan dengan KL Metro Group untuk projek-projek lain di masa hadapan, agar dua-dua pihak dapat terus berkembang pesat.

 

“Saya pasti projek ini akan menjadi satu kayu ukur dalam usaha menggalakkan pemulihan dan pembangunan ekonomi Malaysia dalam era pasca pandemik, terutamanya bagi industri pelancongan,” katanya.  

 

Satu lagi tarikan yang dinanti-nantikan ialah Sky Deck yang terletak di tingkat 51. Ia diperbuat daripada lantai dan dinding kaca yang membolehkan anda menikmati pemandangan  pusat bandaraya Kuala Lumpur yang menakjubkan termasuk KLCC, Menara Kuala Lumpur dan bangunan-bangunan pencakar langit lain.  - DagangNews.com