Indeks hala tuju ekonomi Malaysia naik 8.6% | DagangNews Skip to main content

Indeks hala tuju ekonomi Malaysia naik 8.6%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Indeks pelopor (IP) Malaysia meningkat kepada 8.6% untuk mencapai 109.5 mata pada September 2020 daripada 100.8 mata pada bulan yang sama tahun 2019.

 

Prestasi IP digunakan untuk menjangkakan hala tuju ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

 

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perubahan bulanan IP menunjukkan trend yang sama, meningkat kepada 0.9% (Ogos 2020: -0.5%).

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

"Import benar semi konduktor terutamanya litar bersepadu elektronik adalah antara komponen yang mendorong pertumbuhan IP.

 

“Sejajar dengan itu, bilangan syarikat baru didaftar terutamanya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit menyumbang secara signifikan kepada peningkatan.

 

“Pada masa yang sama, kadar pertumbuhan IP (terlicin) kekal di atas trend yang menunjukkan bahawa Malaysia terus melakar pemulihan ekonomi walaupun dalam keadaan yang mencabar,” kata beliau dalam siaran Petunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan September 2020.

 

Tambahan pula, pengumuman Belanjawan 2021 yang menyasarkan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi akan memperkasa ekonomi kesan daripada pandemik, kata Mohd. Uzir.

 

Walau bagaimanapun, isyarat IP mungkin terjejas oleh peningkatan jumlah kes COVID-19 dan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga kini.

 

Jelas, Mohd. Uzir, indeks serentak (IS) mencapai 113.1 mata pada bulan rujukan.

 

Indeks itu menunjukkan trend pertumbuhan tahunan yang lebih baik dengan mencatatkan penurunan 1.0% pada September 2020 berbanding -2.3% pada Ogos 2020.

 

IS yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa terus meningkat dengan pertumbuhan bulanan 1.0% pada September 2020 (Ogos 2020: 0.5%) dengan indeks kuantiti perdagangan runcit (0.3%) sebagai pemacu utama.

 

“Indeks difusi bagi IP meningkat kepada 100.0% buat kali pertama sejak April 2019.

 

“Ini menunjukkan peningkatan semua komponen IP berbanding enam bulan sebelumnya.

 

“Indeks difusi bagi IS mencecah 66.7% pada bulan rujukan, meningkat daripada 0.0% yang direkodkan pada Ogos 2020,” tambah Mohd. Uzir. – DagangNews.com