Indeks harga pengeluar Ogos turun -2.8% | DagangNews Skip to main content

Indeks harga pengeluar Ogos turun -2.8%

Indeks Harga Pengeluaran (IHPR)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Indeks harga pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan mencatatkan penurunan -2.8% kepada 101.7 pada Ogos.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah tersebut menurun berbanding 104.6 pada bulan sama tahun sebelumya.

"Penurunan IHPR pengeluaran tempatan keseluruhan disebabkan oleh penurunan indeks perlombongan (-33.7%), bekalan elektrik dan gas (-1.9%) dan pembuatan (-0.9%).

"Sebaliknya, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan serta bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 15.6% dan 0.7%," jelasnya dalam laporan Indeks Harga Pengeluar Malaysia 2020 yang dikeluarkan DOSM hari ini.

Indeks IHPR itu merupakan indeks berasaskan output yang mengukur purata perubahan harga komoditi untuk jualan pasaran tempatan yang dinilai pada harga di kilang.

Tambah beliau lagi, bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan kenaikan marginal 1.0% pada Ogos 2020.

Peningkatan tersebut disokong oleh peningkatan indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (6.0%), perlombongan (3.0%), bekalan air (1.5%) dan pembuatan (0.5%).

Sebaliknya, indeks bekalan elektrik dan gas turun 0.2%.

IHPR pengeluaran tempatan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020 mencatatkan penurunan 2.4% berbanding -2.3% pada tempoh sama tahun sebelumnya.

IHPR mengikut peringkat pemprosesan pula menurun 2.8% pada bulan Ogos 2020.

Harga yang lebih rendah direkodkan pada dua peringkat pemprosesan iaitu bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya dan bahan perantaraan, bekalan dan komponen dengan penurunan masing-masing sebanyak 8.7% dan 2.0%. 

Bagaimanapun, indeks barang siap tiada perubahan.

"Berbanding bulan sebelumnya, peningkatan 0.1% pada IHPR pengeluaran tempatan mengikut SOP adalah hasil daripada perubahan positif indeks kesemua peringkat pemprosesan.

"Indeks bagi bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 4.3%, diikuti barang siap 0.7% dan bahan perantaraan, bekalan dan komponen sebanyak 0.3%," ujarnya. - DagangNews.com