Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Dis - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pada November 2021 meningkat 12.6% berbanding penurunan 3% yang dicatatkan pada bulan yang sama 2020, terutama didorong oleh lonjakan kos bahan mentah.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ini menandakan lapan bulan berturut-turut inflasi dari perspektif pengeluar mencatatkan peningkatan dua angka pada tahun ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan IHPR pengeluaran tempatan pada November 2021 disumbangkan oleh indeks perlombongan yang melonjak 71.2% berbanding kejatuhan 45.8% yang dicatatkan pada November 2020.
“Peningkatan harga minyak mentah (79.8%) dan gas asli (38.2%) telah menyumbang kepada kenaikan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata indeks pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat namun pada kadar yang perlahan iaitu 19.1% berbanding November 2020, 21.5 %, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan dalam indeks buah tandan segar kelapa sawit (25.2%), ayam (18.1%) dan telur ayam (8.3%).
Tambahan pula katanya, indeks pembuatan meningkat 8.4% pada November 2021 disumbangkan oleh indeks bagi subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (26.2%) dan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan 21.9%.
Ujarnya, indeks bekalan air meningkat secara marginal 0.2% bagaimanapun indeks bekalan elektrik dan gas susut 0.3%.
"Melihat kepada perbandingan bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.4 % pada November 2021.
"Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan 5.9% dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan, terutamanya disebabkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (8.3%), penanaman tanaman tidak kekal (3.0%) dan pengeluaran ternakan (1.2%), katanya.
Mengulas mengenai harga komoditi yang melambung tinggi baru-baru ini, Mohd Uzir berkata memandangkan cuaca sejuk, angin kencang ditambah dengan hujan lebat di kebanyakan tempat di Malaysia menjadi antara faktor kenaikan kos komoditi terutama sayur-sayuran.
Beliau berkata bilangan pekerja yang tidak mencukupi di kawasan ladang juga mengurangkan bilangan keluaran, seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan dan kenaikan harga. -DagangNews.com