Indeks harga pengeluar September susut -3.9% | DagangNews Skip to main content

Indeks harga pengeluar September susut -3.9%

Sektor pembuatan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pada September 2020 jatuh 3.9% berbanding -2.8% pada Ogos lalu.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia merupakan penurunan untuk tujuh bulan berturut-turut sejak Mac 2020.

"Penurunan keseluruhan IHPR pengeluaran tempatan disebabkan oleh penurunan indeks perlombongan (-43.2%), pembuatan (-1.3%) serta bekalan elektrik dan gas (-0.9%). 

"Sebaliknya, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan serta bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 19.3% dan 1.0%," jelasnya dalam laporan IHPR yang dikeluarkan DOSM hari ini.

Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan turun 0.5% pada September 2020 setelah mencatatkan peningkatan 1.0% pada Ogos 2020.

Penurunan tersebut disebabkan oleh penyusutan bagi indeks perlombongan (-9.1%) dan pembuatan (-0.2%). 

Bagaimanapun, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan, bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 2.5%, 0.3% dan 0.1%.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

IHPR  pengeluaran  tempatan  bagi tempoh Januari hingga September 2020 mencatatkan penurunan 2.6% berbanding penurunan 2.0% pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, IHPR pengeluaran tempatan pada suku tahun ketiga 2020 turun 3.4% kepada 101.2 berbanding 104.8 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Penurunan disumbangkan oleh indeks perlombongan (-38.0%), bekalan elektrik dan gas (-1.4%) serta pembuatan (-1.1%). 

Sementara itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan serta bekalan air masing-masing merekodkan peningkatan 16.5% dan 0.4%.

Bagi perbandingan suku tahunan, IHPR pengeluaran tempatan naik 1.2% berbanding penurunan 5.0% pada suku tahun kedua 2020.

"Berbanding bulan yang sama tahun lalu, kesemua peringkat pemprosesan menunjukkan penurunan. Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya turun 13.2% diikuti bahan  perantaraan,  bekalan  dan  komponen (-2.0%) serta barang siap (-1.1%).  

"Perbandingan bulan ke bulan menunjukkan perubahan negatif indeks diperhatikan dalam dua peringkat pemprosesan iaitu bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (-2.0%) dan barang siap (-0.8%). Sebaliknya bahan  perantaraan,  bekalan  dan  komponen naik 0.1 %," jelasnya lagi. - DagangNews.com