Indeks harga pengguna Disember 2020 susut 1.4% | DagangNews Skip to main content

Indeks harga pengguna Disember 2020 susut 1.4%

indeks harga pengguna

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun 1.4% pada Disember 2020 kepada 120.6 berbanding 122.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan IHP keseluruhan itu disebabkan oleh penurunan indeks Pengangkutan (-8.4%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-3.3%); Pakaian & Kasut (-0.4%); Restoran & Hotel (-0.2%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.1%) yang menyumbang 48.6% daripada keseluruhan wajaran.

 

"Daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 339 item menunjukkan peningkatan pada Disember 2020 berbanding Disember 2019.

 

"Sebaliknya, 145 item mencatatkan penuruna, manakala 68 item tidak berubah.

 

"Berdasarkan prestasi, 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, Barang Tidak Tahan Lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 206 item, 73 item menurun dan 17 item tidak berubah berbanding kategori Perkhidmatan, Barang Semi Tahan Lama dan Barang Tahan Lama," jelas beliau dalam lapiran IHP bagi Disember 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

IHP makanan & minuman bukan alkohol meningkat 1.4% kepada 135.8 berbanding 133.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP. 

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin 

 

Selain itu, pelbagai Barangan & Perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.2% dan diikuti Kesihatan (1.0%), Minuman Alkohol & Tembakau (0.6%), Pendidikan (0.6%) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.2%).

 

Tambah beliau, IHP tanpa bahan api menurun 0.1% pada Disember 2020 kepada 112.8 berbanding 112.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
 

"IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel".

 

"Purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 menunjukkan penurunan pada Disember 2020 iaitu RM1.74 per liter berbanding RM2.08 pada Disember 2019. 

 

"Purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 menurun kepada RM2.04 per liter berbanding RM2.63 dan purata harga Diesel menurun kepada RM1.93 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya," ujar beliau.

 

Indeks teras meningkat 0.7% pada Disember 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.2%); Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.2%). 

 

Kesihatan (1.0%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (0.6%) dan Pendidikan (0.6%). 

 

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.

 

Walaupun perubahan IHP tahunan menurun, perubahan IHP bulanan meningkat 0.5% berbanding November 2020.

 

Peningkatan itu disumbangkan oleh Pengangkutan (3.0%) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (0.5%).

 

Sementara itu, IHP bagi suku tahun keempat 2020 menurun 1.5% kepada 120.3 berbanding 122.1 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya. 

 

Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP meningkat 0.2% berbanding suku tahun ketiga 2020.

 

IHP bagi tahun 2020 mencatatkan penurunan 1.2% berbanding tahun sebelumnya.

 

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.9% hingga -2.2% bagi Disember 2020 berbanding Disember 2019. 

 

Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Kedah dan Perlis iaitu -2.2% yang diikuti oleh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.0%), Johor (-2.0%), Melaka (-2.0%), Sarawak (-1.9%) dan Negeri Sembilan (-1.9%).

 

Namun begitu, kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol. 

 

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pahang iaitu 2.3%, diikuti oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.2%), Perak (2.0%), Terengganu (2.0%) dan Negeri Sembilan (1.7%). - DagangNews.com