Indeks Harga Pengguna Mac meningkat 1.7% | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengguna Mac meningkat 1.7%

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 April - Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan peningkatan 1.7% pada bulan Mac 2021 kepada 122.9 berbanding 120.9 pada bulan sama tahun sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ia merupakan satu peningkatan positif bagi dua bulan berturut-turut sejak Februari 2021.

 

"Peningkatan IHP keseluruhan ini adalah didorong oleh peningkatan indeks Pengangkutan (9.8%), Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.5%), Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (1.0%), Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.9%), Minuman Alkohol & Tembakau (0.6), Kesihatan (0.5%) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.5%) yang menyumbang 64.0% kepada keseluruhan wajaran.

 

"Daripada 552 item yang diliputi dalam IHP, 338 item menunjukkan peningkatan pada Mac 2021. Sebaliknya, 141 item mencatatkan penurunan, manakala 73 item tidak berubah.

 

"Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, Barang Tidak Tahan Lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 209 item, 73 item menurun dan 14 item tidak berubah berbanding kategori Perkhidmatan, Barang Semi Tahan Lama dan Barang Tahan lama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengikut perbandingan bulanan, IHP turut meningkat 0.3% berbanding Februari 2021.

 

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin.

 

Peningkatan tersebut telah disumbangkan oleh Pengangkutan (2.3%), Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.6%), Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.4%), Minuman Alkohol & Tembakau (0.1%), Restoren & Hotel (0.1%) dan Kesihatan (0.1%).

 

Tambah beliau lagi, IHP tanpa bahan api meningkat 0.5% pada Mac 2021 kepada 113.7 berbanding 113.1 pada bulan sama tahun sebelumnya.

 

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON 97 dan Diesel.

 

"Purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 menunjukkan peningkatan pada Mac 2021 iaitu RM2.05 per liter berbanding RM1.74 pada Mac 2020.

 

"Selain itu, purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 meningkat kepada RM2.42 per liter berbanding Rm2.04, manakala purata harga Diesel meningkat kepada RM2.15 per liter daripada RM1.89 berbanding pada bulan sama tahun sebelumnya," ujar beliau lagi.

 

Lima negeri iaitu Terengganu (2.8%), Kelantan (2.3%), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.9%), Pahang (1.9%) dan Negeri Sembilan (1.8%) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 1.7 peratus pada Mac 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

 

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu pada 2.2 peratus. Ini diikuti oleh Terengganu (2.0%), Pahang (1.9%), Kelantan (1.8%) dan Perak (1.7%). - DagangNews.com