Skip to main content

Indeks Harga Pengguna naik 2.8% pada Mei 2022 mengatasi purata inflasi 11 tahun

KUALA LUMPUR 24 Jun - Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 2.8% kepada 126.6 pada Mei 2022 berbanding 123.1 bagi tempoh sama tahun lalu dan kenaikan itu melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Mei 2022 iaitu 1.9%.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, inflasi makanan terus meningkat ke paras baharu pada 5.2% iaitu yang tertinggi sejak November 2011 dengan 93.0% barangan dalam kumpulan itu merekodkan kenaikan.

 

“Daripada item itu, 29.4% naik dalam julat kurang daripada 5%, 37.7% meningkat antara 5% hingga 10% manakala 32.9% naik melebihi 10% ,” katanya dalam satu kenyataan bersempena Laporan Indeks Harga Pengguna Mei 2022, hari ini.

 

Semua kumpulan lain kecuali komunikasi merekodkan peningkatan dan mendorong kepada kenaikan inflasi keseluruhan sebanyak 2.8%.

 

Pengangkutan meningkat 3.9% dan diikuti restoran dan hotel (3.7%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.9%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.9%) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.8%).

 

Selain itu, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain mencatat peningkatan 1.2% manakala pendidikan meningkat 1.0% dan kumpulan minuman alkohol serta tembakau termasuk kesihatan masing-masing meningkat 0.4%.

 

dosm

 

Mohd Uzir berkata, pada Mei 2022, makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing meningkat ketara sebanyak 5.5% (April 2022: 4.1%) dan 5.1% (April 2022: 4.4%), mendorong kepada kenaikan inflasi makanan.

 

“Subkumpulan daging mencatat peningkatan tertinggi 9.5% pada Mei 2022 (April 2022: 6.2%) akibat permintaan tinggi dalam musim perayaan, diikuti oleh kenaikan sayur-sayuran (8.1%); susu, keju san telur (8.0%); ikan dan makanan laut (4.3%) dan minyak dan lemak (3.7%).

 

dosm

 

“Dalam pada itu, kenaikan ketara bagi makanan di luar rumah dapat dilihat bagi nasi berlauk (8.3%), roti canai (7.8%), makanan berasaskan mi (5.7%) dan masakan ayam (5.1%),” katanya.

 

Beliau berkata, peningkatan kos makanan yang ditambah dengan kenaikan permintaan, menyumbang kepada pertambahan harga ayam pada kali ini.

 

dosm

 

Menurutnya, ayam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan daging (46.1%) meningkat sebanyak 13.4% berbanding 7.5% pada April 2022 manakala purata harga ayam pada Mei 2022.

 

“Lonjakan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini pula berpunca terutama daripada peningkatan harga baja, kos logistik, kekurangan tenaga buruh dan kedaan cuaca,” katanya. - DagangNews.com