Indeks harga pengguna September 2020 jatuh 1.4% | DagangNews Skip to main content

Indeks harga pengguna September 2020 jatuh 1.4%


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
 

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Indeks harga pengguna (IHP) menurun 1.4% pada September 2020 kepada 120.1 berbanding 121.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

Penurunan IHP keseluruhan ini telah dipengaruhi oleh kemerosotan indeks pengangkutan (-9.9%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api Lain (-3.0%) dan pakaian dan kasut (-0.6%) yang menyumbang 41.6% daripada keseluruhan wajaran.

Bagaimanapun, kumpulan indeks makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.4% kepada 135.1 berbanding 133.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kumpulan itu menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP. 

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.7% diikuti komunikasi (1.6%) dan kesihatan (1.1%).

“IHP bulanan tidak menunjukkan perubahan berbanding Ogos 2020. Walaupun begitu, terdapat kumpulan utama yang menunjukkan peningkatan iaitu restoran dan hotel (0.2%), minuman alkohol dan tembakau (0.1%), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.1%), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.1%) dan pendidikan (0.1%),” katanya dalam siaran akhbar Indeks Harga Pengguna Malaysia September 2020.

Sementara itu, IHP bagi suku tahun ketiga 2020 menurun 1.4% kepada 120 berbanding 121.7 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya. 

Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan peningkatan 1.5% berbanding suku tahun kedua 2020.

Indeks makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.4% pada September 2020 berbanding tempoh masa yang sama pada tahun sebelumnya. 

“Antara sub-kumpulan yang menunjukkan kenaikan adalah sayur-sayuran (5.1%), keluaran makanan yang tidak dikelaskan di mana-mana (2.7%), buah-buahan (1.8%), minyak dan lemak (1.7%) dan daging (1.0%).

“Antara indeks yang menunjukkan kenaikan harga tahun ke tahun di kebanyakan negeri adalah halia (19.5%), bawang kecil (16.4%), cili kering (14.6%) dan bawang besar (14.2%),” tambah Mohd Uzir.

Dalam pada itu, indeks makanan di luar rumah meningkat 1.9% pada September 2020 berbanding September 2019. 

Kenaikan harga masakan berasaskan daging, masakan berasaskan ikan dan nasi lemak telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi subkumpulan berkenaan.

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.8% hingga -2.2% bagi September 2020 berbanding September 2019. 

Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-2.2%), Sabah dan Labuan (-2.2%) dan Kedah dan Perlis (-2.2%). Ini diikuti oleh Sarawak (-2.1%), Negeri Sembilan (-1.9%) dan Johor (-1.9%).

IHP tanpa bahan api yang meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel kekal berada pada kadar positif iaitu 0.1% pada September 2020 berbanding September 2019. - DagangNews.com