Skip to main content

Indeks jenayah Malaysia bertambah baik

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Nisbah jenayah indeks bagi 100,000 penduduk di Malaysia pada 2019 bertambah baik iaitu 256.6 berbanding 273.8 pada 2018, menurut statistik Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan hari ini.

 

Nisbah jenayah indeks bagi semua negeri mencatatkan penurunan kecuali Pulau Pinang (3.7%) Sarawak (4.2%) dan Terengganu (1.3%). 

 

Sebanyak 7 negeri merekodkan nisbah jenayah indeks bawah paras nasional pada 2019 iaitu Sarawak (214.6), Perlis (207.5), Perak (195.8), Pahang (195.7), Kelantan (188.2), Terengganu (150.3), dan Sabah (143.5).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, bilangan penagih dadah yang ditangkap pada 2019 juga menurun di 5 negeri iaitu Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perlis berbanding 2018.

 

aaa
Mohd Uzir Mahidin

 

"Dalam tempoh sama, bilangan penagih dadah yang ditangkap tertinggi direkodkan di Kedah iaitu 3,582 orang diikuti Kelantan (2,998 orang) dan Pulau Pinang (2,893 orang)," katanya. 

 

Bagi bilangan kertas siasatan yang dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula, ia merekodkan peningkatan 24.7% kepada 1,039 kes pada 2019 berbanding 833 kes pada 2018. 

 

Kertas siasatan bagi semua jenis kesalahan meningkat pada 2019. Lain-lain kesalahan dan menerima rasuah masing-masing meningkat dengan ketara iaitu 48.1% dan 40.1% pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Untuk tempoh sama, bilangan tangkapan yang dibuat oleh SPRM meningkat 23.2%. 

 

"Peningkatan ini disumbang oleh memberi rasuah sebanyak 79.0% dan tuntutan palsu (35.8%). Sebaliknya, tangkapan bagi salah guna kedudukan dan lain-lain kesalahan menurun," katanya. - DagangNews.com