Indeks Kedudukan Perniagaan meningkat 25.3 mata pada 3Q20 - MIER | DagangNews Skip to main content

Indeks Kedudukan Perniagaan meningkat 25.3 mata pada 3Q20 - MIER

Indeks Kedudukan Perniagaan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Indeks Kedudukan Perniagaan (BCI) menyaksikan peningkatan sebanyak 25.3 mata pada suku ketiga 2020.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, peningkatan sederhana itu menjadikan indeks berkenaan berada pada 86.3 mata berbanding penurunan ketara sebanyak 22.0 mata pada suku lalu.

"BCI mencatatkan peningkatan sederhana sebanyak 25.3 mata untuk berada pada 86.3 mata pada suku ketiga 2020.

"Sentimen perniagaan tetap berhati-hati susulan indeks berada di bawah tahap ambang untuk tujuh suku berturut-turut.

"Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, indeks berkembang pada kadar 17.2 mata berbanding tahun sebelumnya iaitu suku ketiga 2018 dan 2019 yang menurun 39.7 mata," jelas MIER dalam laporan kaji selidik perniagaan bagi suku ketiga 2020.

Keseluruhan sentimen perniagaan menunjukkan peningkatan ketara untuk setiap komponen.
 
Penilaian positif juga sudah dijangka pada suku berkenaan dan suku hadapan melalui Indeks Jangkaan (EI) yang meningkat secara berperingkat sebanyak 15.2 mata kepada 99.7 mata.

Landskap menaik dalam EI itu boleh dikaitkan dengan bacaan positif dalam ramalan penjualan domestik dan eksport, pengeluaran dan pekerjaan berbanding suku lalu.

Dalam laporan yang sama, MIER berkata, peningkatan BCI itu juga memberi khabar gembira kepada Malaysia selepas perlahan-lahan pulih daripada wabak COVID-19.

"Senario ini juga sejajar dengan tindak balas aktif kerajaan Malaysia yang melibatkan diri dalam pasaran melalui suntikan bantuan seperti PRIHATIN dan PENJANA.

"Pakej ini memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia terutamanya dalam sektor pembuatan," jelas MIER lagi. - DagangNews.com