Skip to main content

Indeks nilai import, eksport Disember 2020 meningkat - DOSM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Indeks nilai seunit eksport dan import bagi Disember 2020 masing-masing berkembang sebanyak 1% dan 0.4% berbanding bulan sebelumnya. 

 

Perkara itu diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri Disember 2020 hari ini. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport menunjukkan pertumbuhan positif 1.0% pada Disember 2020, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+7.7%), minyak galian (+5.0%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.6%).

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Indeks volum eksport turut bertumbuh 11.9% berbanding bulan sebelumnya yang disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik bagi indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+49.0%), minyak galian (+16.6%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+8.7%). 

 

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim mencatatkan pengembangan 12.2% daripada 139.9 mata kepada 157.0 mata. 

 

“Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksport jatuh 3.0% manakala indeks volum eksport naik 14.2%,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Bagi prestasi indeks nilai seunit import pula, Mohd. Uzir berkata, ini disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+7.7%), minyak galian (+6.5%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.5%). 

 

Jelas beliau, indeks volum import turut bertumbuh 10.5% yang disumbangkan oleh prestasi lebih baik bagi indeks bahan kimia (+14.3%), barang-barang keluaran kilang (+11.1%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+10.3%).

 

Indeks volum import pelarasan bermusim pada Disember 2020 naik 12.4% daripada 131.8 mata kepada 148.1 mata, ujarnya lanjut.

 

“Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit import menyusut 4.2% manakala indeks volum import meningkat 6.0%,” katanya lagi. 

 

Dalam laporan berkenaan, DOSM turut melaporkan terma perdagangan Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan 0.6% bulan ke bulan daripada 99.6 mata kepada 100.2 mata pada Disember 2020. 

 

Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut menunjukkan trend yang sama pada 1.3% daripada 99.0 mata kepada 100.2 mata pada Disember 2020, tambah laporan itu. - DagangNews.com