120,237 individu dapat kerja menerusi Program JaminKerja - Saravanan | DagangNews Skip to main content

120,237 individu dapat kerja menerusi Program JaminKerja - Saravanan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Sebanyak 120,237 pencari kerja telah berjaya ditempatkan melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM), sehingga 29 Julai 2022.

 

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, antara langkah dan inisiatif KSM dalam mengurangkan kadar pengangguran adalah melalui program-program seperti Program JaminKerja - Insentif Penggajian yang memanfaatkan pencari kerja dari seluruh negara. 

 

Beliau berkata, program itu berbentuk insentif kewangan yang diberikan kepada majikan yang membuat pengambilan baharu mulai 1 Januari 2022 dalam kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas termasuk Orang Kurang Upaya (OKU), bekas tentera, bekas banduan, warga emas serta penganggur.

 

Jelasnya, kerajaan Keluarga Malaysia dibawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi KSM terus proaktif dalam mengurangkan kadar pengangguran Keluarga Malaysia. 

 

"Program Perantisan pada tahun 2021, JaminKerja - Insentif Penggajian diteruskan dengan pemberian insentif RM900 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada majikan yang menggajikan golongan perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun dalam jawatan eksekutif. 

 

"Golongan perantis ini ditawarkan kontrak 6 bulan dengan bayaran gaji pemulaan berjumlah RM1,500 dan statistik jumlah Program Perantisan JaminKerja-Insentif Penggajian sehingga 29 Julai 2022 adalah seramai 5,932 orang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Saravanan, KSM turut menubuhkan HRD Corp Placement Centre (HPC) yang berperanan sebagai platform padanan pekerjaan yang tersedia oleh majikan.

 

 

sara
Datuk Seri M Saravanan

 

 

"Sehingga 31 Julai 2022, sebanyak 43,903 peluang pekerjaan tersedia melalui platform ini yang mana lebih 6,000 pekerja berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor serta 60% (3,600 pekerja) daripadanya adalah golongan belia yang memperoleh gaji sebanyak RM2,000 dan ke atas," katanya.

 

Beliau berkata, inisiatif PENJANA HRDF memperkenalkan lima skim yang terdiri daripada Place & Train, B40 Development, SME Development, Industrial Revolution 4.0 dan Gerak Insan Gemilang. 

 

Katanya, skim-skim ini bertujuan membantu rakyat termasuk golongan belia dan graduan untuk meningkatkan kemahiran dalam mendapatkan pekerjaan atau bekerja sendiri. 

 

"Inisiatif-inisiatif ini turut menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran dalam negara apabila ianya menurun kepada 3.8% pada Jun 2022 berbanding 3.9% pada bulan Mei 2022. Ini merupakan kadar terendah yang dicatatkan sejak Pandemik COVID-19 melanda negara.

 

"KSM terus komited dan teguh bersama membantu golongan pekerja. Justeru, KSM akan meneruskan pelbagai inisiatif serta mewujudkan lebih banyak program serta mekanisme bagi membantu rakyat Keluarga Malaysia mendapatkan pekerjaan dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran negara," katanya. - DagangNews.com