3 rumusan untuk Muhyiddin Yassin genap setahun jadi PM | DagangNews Skip to main content

3 rumusan untuk Muhyiddin Yassin genap setahun jadi PM


MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

DIAM tak diam, heboh tak heboh, berantakan tak berantakan… minggu depan genaplah setahun Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Bagaimana beliau dapat menduduki kerusi eksekutif paling utama di negara ini, semua sudah baca kronologinya, malah pelbagai versi daripada banyak pihak khususnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 

Sampai sudah Tun M tidak mengaku salah sendiri hingga menyebabkan bukan sahaja beliau terlepas jawatan Perdana Menteri tetapi juga runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 22 bulan ketika itu.

 

Ringkasnya, Majlis Presiden PH ketika itu sememangnya sudah mendesak Tun M agar melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi berdasarkan wawancara-wawancara Tun M kebelakangan ini, terserlah hakikat bahawa Tun M tidak sesekali mahu berbuat demikian.

 

merrepak

 

Sebagai neutral, kita dapat merumuskan Muhyiddin juga tidak ada dalam gambar semasa perbalahan ini, apatah lagi merebut jawatan Perdana Menteri. Umum mengetahui ketika itu, tidak Tun M maka Anwarlah calonnya.

 

Plot cerita ini sebenarnya, merupakan tayangan ulangan kemelut politik yang tercetus antara Tun M dan Anwar semasa kedua-dua mereka menerajui UMNO pada 1998. Perbalahan mereka inilah mengakibatkan politik orang Melayu jadi berputar ganas bagaikan puting beliung, sehingga ke hari ini.

 

Muhyiddin tidak pernah lagi bersuara secara terbuka mengapa dan bagaimana beliau membuat keputusan nekad merebut jawatan Perdana Menteri 12 bulan yang lalu. Kita yang meneliti transkrip wawancara dan tulisan pelbagai pihak, hanya boleh menafsirkan Muhyiddin merasakan perlu untuk dirinya menongkah arus melawan Tun M.

 

merrepak

 

Yang asalnya mereka berdua seperahu, Muhyiddin nekad bukan sahaja keluar dari perahu Tun M tetapi juga menolak perahu pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia ke tebingan. Tun M tiada pilihan selain menubuhkan parti baru yang dinamakannya Parti Pejuang Tanah Air.

 

Malah, kenyataannya yang dilaporkan di muka depan akhbar Sinar Harian minggu ini, iaitu Tun M ‘masih sayangkan UMNO’ menimbulkan pelbagai reaksi. Bagi penyokong tegar parti, mereka agak sukar untuk menerima bulat-bulat pernyataan Tun M.

 

Luka berdarah semasa kempen pilihan raya umum 2018, dengan Tun M membidas kawkaw kepimpinan UMNO sehingga mengakibatkan parti tersebut tumbang sebagai parti pemerintah, tidak mungkin boleh sembuh setakat ini.

 

Meskipun menjarakkan diri daripada Tun M, ia tidak bermakna Muhyiddin terlepas daripada kritikan-kritikan yang bertali arus.

 

Ada yang mempersoalkan keperluan beliau mendapatkan proklamasi darurat daripada Yang Di-Pertuan Agong, walaupun pada pandangan neutral, keputusan tersebut amat genting ketika angka-angka kes positif COVID-19 mencecah 5,000 sehari.

 

merrepak

 

Pada pandangan pengulas politik, proklamasi darurat itu adalah talian hayat bagi Muhyiddin untuk terus mengekalkan kuasa dengan mengukuhkan pengaruhnya ke seluruh negara. Walaupun sudah berkali-kali juga Muhyiddin mengisytiharkan beliau akan mengadakan pilihan raya umum sejurus sahaja keadaan COVID-19 benar-benar terkawal, namun serangan politik ke atasnya tidak surut.

 

Tentulah pengkritik paling lantang Muhyiddin datangnya dari UMNO, bekas partinya dan kini menjadi `rakan komponen’ Perikatan Nasional yang membentuk kerajaan.

 

Menurut cerita, kemarahan tersebut bernyala-nyala kerana Muhyiddin sudah pun ditawarkan supaya kembali ke parti, malah diberi kerusi presiden. Malangnya, Muhyiddin telah menolak. Diceritakan orang bahawa, terma dan syarat untuk beliau dapat kerusi presiden, terlalu sulit untuk diterima.

 

Muhyiddin sememangnya berjiwa tulen UMNO. Sebelum disingkirkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhyiddin merupakan Timbalan Presiden parti. Beliau bukan calang-calang ahli politik.

 

Kecenderungan sesetengah pihak memperlekehkan keupayaan beliau, adalah sesuatu yang hanya membawa penyesalan kelak. Muhyiddin sudah membuktikannya. Ketara beliau menguasai sepenuhnya The art of survival, di kala sesetengah pihak masih mengimpikan Anwar sebagai Perdana Menteri atau berharap Tun M kekal di situ hingga ke akhir hayat.

 

merrepak

 

Sebagai neutral juga, kita juga amat berharap agar kerajaan yang memerintah mendapat mandat sebenar rakyat. Kita perlu adakan pilihan raya. Ini kerana kerajaan pimpinan Muhyiddin rapuh segala-galanya. Rapuh mandat, rapuh persahabatan di dalam PN, mujurlah ada Pas yang boleh menenangkan sedikit kepanasan suhu di Putrajaya sekarang.

 

Tetapi di sebalik kekalutan ini, dengan genap setahun Muhyiddin menerajui kerajaan, bolehkah semua pihak membuat penilaian terhadap daya kepimpinannya secara objektif, tanpa mencampur-adukkan dengan sentimen kepartian atau balas dendam kesumat?

 

Muhyiddin wajar dinilai apakah dasar kewangannya semasa pandemik COVID-19 ini sesuatu yang berkesan? Apakah jumlah yang diminta di dalam Belanjawan Negara 2021 keterlaluan atau terbabas tanpa menitik-beratkan hal-hal mikro ekonomi? Apakah rakyat yang terjejas dek COVID-19 terbela?

 

Angka-angka ekonomi termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar bagi tahun 2020, adalah lemah. Pengangguran melantun. Tetapi permasalahan ini bukan unik kepada Malaysia sahaja. Seluruh dunia berdepan kemelut ekonomi disebabkan `lockdown’ dan Perintah Kawalan Pergerakan.

 

merrepak

 

Bezanya ialah cara dan perancangan untuk keluar daripada zon merah ekonomi ini, terutama setelah negara dapat memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada rakyat.

 

Isu pengeluaran wang caruman sendiri menerusi i-Sinar KWSP, contohnya. Benar, pada awalnya KWSP mengenakan syarat ketat, tetapi ia sejajar dengan konsep dan dasar KWSP yang tidak menggalakkan pengeluaran sesuka hati pencarum. Ini kerana duit itu bertujuan untuk bantuan di hari persaraan pekerja.

 

Benar, akhirnya Muhyiddin kelihatan beralah dengan melonggarkan syarat-syarat ketat bagi membolehkan i-Sinar dinikmati oleh semua pihak yang memohon. Lalu berebut-rebutlah ahli politik daripada kedua-dua kem pemerintah dan pembangkang mengaku kelonggaran itu adalah hasil desakan mereka.

 

Tidak kisahlah YB sekalian. Yang nyata Muhyiddin mendengar keluhan rakyat, menerima rasional-rasional dan seterusnya membenarkan i-Sinar dibuka kepada seberapa ramai rakyat yang ada caruman di dalam KWSP. Pencarum akan membuat permohonan, dapat duit tanpa peduli siapa yang memulakan desakan. Yang penting, duit sudah dapat, dan Muhyiddin boleh mendapat markah di sini.

 

Minggu lalu, Muhyiddin melancarkan Dasar Digital Negara. Pandemik COVID-19 ini tidak semena-mena melonjakkan keperluan semua lapisan masyarakat untuk peka, tahu dan guna gajet digital. Tentulah dasar ini bertepatan dengan matlamat membawa Malaysia keluar dengan pantas daripada kemelut ekonomi akibat pandemik ini. Cara terbaik ialah digital. Dan inilah paling tepat.

 

merrepak

 

Sebagai rumusan Merrepak hari ini, kita bersetuju tiga perkara asas iaitu :

  1. Bagi memperoleh legitimacy, Muhyiddin perlu mengadakan pilihan raya umum seberapa pantas. Mungkin selepas darurat tamat pada Ogos, atau mungkin lebih awal jika proses suntikan vaksin di seluruh negara berjaya mengekang kes positif baharu ke paras bawah tiga angka.

 

  1. Ketidakstabilan politik Malaysia akan berterusan selagi kerusi majoriti tipis yang dimiliki sekarang tidak ditangani, dan UMNO amat berkeyakinan untuk bangkit kembali daripada kekalahan pada 2018 dengan mengingatkan rakyat betapa teruknya negara diperintah DAP selama 22 bulan.

 

  1. Prestasi pentadbiran Muhyiddin sejak Mac 2020 sehingga kini, boleh memberi kelebihan kepada beliau di kaca mata rakyat kerana jarang sekali beliau bercerita khusus di khalayak umum mengenai politik kepartian, sebaliknya fokus kepada usaha mengekang merebaknya COVID-19 dan pemulihan. Aspek ini mungkin menyebabkan golongan atas pagar atau neutral, menyukai Muhyiddin.   - DagangNews.com

     

     

    MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Ketua Kandungan TV Sarawak (MyTV, Astro 122), Pengarang Urusan DagangNews.com dan bekas Editor Eksekutif Utusan Malaysia 1939, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Come Undone oleh DURAN DURAN  berulang-ulang kali. 

    *Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.