Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Idea Digital - 10 November 2020

4 Pengajaran Tentang Pemasaran Digital Dari Kemenangan Joe Biden

 

oleh AZLEEN ABDUL RAHIM

 

SEBENARNYA, ia tidak ada kena-mengena sangat tentang pemasaran digital kerana kedua-dua belah pihak menggunakan strategi yang hampir sama. Pasukan Joe Biden dan Donald Trump masing-masing menggunakan iklan secara agresif di media-media sosial terutamanya di Facebook dan Twitter. Masing-masing juga menyediakan kandungan yang efektif, mempunyai pasukan reka bentuk grafik dan video yang sangat agresif serta mempunyai ekosistem media terkenal dunia yang menyokong pendirian mereka.

 

Memandangkan strategi pemasaran digital yang kedua-dua pihak ini gunakan hampir sama, saya ingin menyentuh apakah strategi di belakang pemasaran digital yang membuatkan Biden lebih berjaya berbanding Trump. Saya memerhati dari jauh perkembangan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat ini setiap hari sejak dari awal lagi. Secara peribadi, ini hasil yang saya dapat.

 

Kita semua dapat lihat sendiri bagaimana keperibadian Trump. Dia lebih agresif mengutuk sana-sini, gemar menuding jari, kasar, tidak menghormati orang lain yang bukan berkulit putih sepertinya dan juga suka mengeluarkan kenyataan demi kenyataan dengan melulu.

 

trump

 

Berbeza pula dengan Biden yang dilihat lebih tenang. Dia tidak tergopoh-gapah dalam strateginya. Mungkin kerana dia telah banyak melalui pelbagai kegagalan dan kesedihan dalam hidupnya. Kejayaan terbesar Biden ialah apabila dia terpilih untuk menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat membantu Barack Obama tidak lama dahulu.

 

Kali ini, setelah beberapa kali mencuba untuk disenaraikan sebagai calon Parti Demokrat, beliau akhirnya terpilih. Hari ini, beliau telah menang dan bakal dinobatkan sebagai Presiden tidak lama lagi. Jadi untuk menang, kita perlu tenang dalam menjayakan apa juga strategi yang dilakarkan. Jangan tergopoh-gapah.

 

Perjuangan Biden lebih kepada kemenangan bersama. Beliau berjanji untuk mengatasi pelbagai kesulitan yang dialami oleh rakyat Amerika Syarikat tanpa mengira warna kulit dan agama agar mereka menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

 

Manakala Trump pula dilihat mempunyai agenda tersendiri. Bukan sahaja dia ingin meneruskan misi beliau untuk mengutamakan Amerika Syarikat terlebih dahulu dalam segala hal dan mengenepikan kepentingan negara-negara lain dalam polisi-polisi beliau, Trump juga bakal menggunakan kuasa yang akan diberikannya untuk mengutamakan ekonomi orang kulit putih sahaja.

 

Betul, rata-rata rakyat Amerika Syarikat melihat Trump sebagai seorang yang rasis. Jadi untuk menang, apa jua objektif bisnes dan pemasaran yang dijalankan, kejayaan yang anda kejar itu perlu dimiliki bersama. Kejayaan bersama ini bermaksud anda sebagai usahawan juga akan menang dan para pengguna serta pengikut anda juga perlu menang.

 

Biden bijak mengambil kesempatan ke atas kelemahan polisi-polisi yang diwujudkan oleh Trump. Presiden Trump gagal mengatasi penularan wabak COVID-19 sehingga menyebabkan lebih 100,000 orang meninggal dunia. Beliau tidak mahu mengekang kumpulan-kumpulan kaum kulit putih ultra yang dilihat terlalu agresif.

 

Beliau juga gagal membawa pembunuh yang terdiri dari polis-polis berkulit putih ke muka pengadilan bagi mengenakan hukuman setimpal. Beliau juga secara tidak adil mengekang pertumbuhan pasaran Huawei di Amerika Syarikat dengan menghalang kerjasama jenama dari negara China itu dengan jenama-jenama gergasi yang berpusat di Amerika Syarikat. Terdapat lagi beberapa polisi-polisi lain yang jelas memperlihatkan betapa besarnya kegagalan Trump dalam pentadbirannya. Jadi untuk menang, kita perlu mengambil kesempatan ke atas kelemahan lawan.

 

Strategi pemasaran yang dilakukan oleh pasukan Biden tidak hanya tertumpu kepada media sosial semata-mata. Mereka memastikan mesej mereka sampai kepada seluruh rakyat Amerika Syarikat tidak kira di mana sahaja melalui media-media massa utama yang menyokong perjuangannya, melalui penulis-penulis blog, melalui selebriti, melalui lawatan-lawatan fizikal, melalui ucapan-ucapan yang diadakan, melalui iklan, melalui cenderama seperti kemeja T, poster dan sebagainya, dan juga enjin-enjin pencarian. Ingat, untuk menang, digital sahaja tidak mencukupi.

 

Anda lihat sendiri bagaimana pemasaran digital hanyalah sekadar alat untuk memperkuatkan lagi bagaimana mesej anda disalurkan kepada orang lain. Sekiranya produk atau perkhidmatan yang anda jual itu sendiri banyak masalah, tidak berkualiti dan tidak digemari oleh pengguna kerana pelbagai sebab, ia tidak akan menjadi sama sekali walaupun anda sanggup mengeluarkan bayaran beribu-ribu Ringgit untuk pemasaran digital.

 

Asas kejayaan bisnes anda sebenarnya terletak pada tiga faktor utama: 

  1. Kualiti produk atau perkhidmatan yang anda sediakan.
  2. Pengalaman yang diperoleh pengguna ketika mereka menggunakan produk anda atau ketika mereka berurusan dengan anda. 
  3. Bagaimana berkesannya produk atau perkhidmatan yang anda sediakan itu mampu mengatasi masalah kehidupan yang mereka hadapi.

 

Saya pernah melihat sendiri banyak jenama yang tidak pernah tahu tentang pemasaran digital tetapi berjaya mempunyai pelanggan yang sangat ramai sehingga ada yang berjaya juga dalam pasaran ekspot.

 

Perbetulkan terlebih dahulu ketiga-tiga faktor ini. Apabila semuanya telah diperbetulkan, stabil dan kukuh, kemudian baharu fikirkan tentang pemasaran digital. Dari sini, anda akan nampak sendiri bagaimana efektifnya strategi pemasaran digital anda dan bagaimana ia akan memberikan jumlah jualan yang besar, pengikut yang ramai dan autoriti yang kuat di pasaran. - DagangNews.com

 

 
AZLEEN ABDUL RAHIM adalah seorang strategis pemasaran digital yang aktif menulis di pelbagai platform media sosial dan kini adalah kolumnis DagangNews menerusi ruangan IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

 

KOLEKSI IDEA DIGITAL:

Mengapa Strategi Pemasaran Mahal?

E-pemasaran : Minta 20 rakan baik di media sosial tolong tularkan

Guna Platform Ini Kalau Rasa Media Sosial Semakin Mahal

Jangan Percaya. Ini Semua Mitos Penjenamaan Sahaja

SELAMATKAN TAHUN 2020 ANDA!

Biarkan mereka, yang penting laman web anda ada blog

Pemulihan Bisnes Tahun 2020, Guna Pakar Yang Ada 6 Kriteria Ini

Saya Lakukan Ini Untuk Hidupkan Kembali Laman Blog Yang Lesu

Ada Cara Mudah Untuk Dapatkan Kedudukan Tinggi Di Google

 

 

 

 

Portfolio Tags