6 langkah tingkat keyakinan pelabur asing - MITI | DagangNews Skip to main content

6 langkah tingkat keyakinan pelabur asing - MITI

pelaburan asing

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Peningkatan jumlah eskport serta menggalakkan penggantian barangan import diletakkan sebagai strategi dan hala tuju Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk terus meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap negara ini.

 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong menggariskan enam pendekatan yang telah diambil untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing.

 

  1. Mewujudkan kerjasama yang lebih erat di antara MITI menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan semua agensi pelaburan di peringkat negeri serta koridor ekonomi. Ini termasuk bagi negeri Sabah, di mana MITI melalui Pejabat MITI Wilayah Sabah serta Pejabat MIDA Negeri Sabah sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dan Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) dalam mempromosi peluang-peluang pelaburan yang terdapat di negeri Sabah.  Kerjasama turut dijalin dengan agensi-agensi berkenaan di negeri Sabah dalam usaha menarik pelaburan dari luar negara terutama dalam industri-industri yang disasarkan.
  2. Memperkenalkan pelbagai skim insentif cukai dan pelaburan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk menarik pelabur asing ke Malaysia.
  3. Memudahkan proses kelulusan dan mempercepatkan pelaksanaan projek pengilangan & perkhidmatan melalui “Project Acceleration and Coordination Unit” (PACU) yang diperkenalkan oleh MIDA pada 5 Jun 2020.
  4. Memberi kelulusan lesen pengilang untuk industri tidak sensitif dalam tempoh dua hari bekerja melalui platform digital e-ML.
  5. Menubuhkan One Stop Centre (OSC) untuk memudahcara urusan kemasukan pelawat perniagaan.
  6. Mengadakan sesi dialog secara kerap di antara MITI / MIDA dengan Kedutaan/ Pesuruhjaya Tinggi asing, dewan perniagaan, persatuan industri untuk mencari penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi oleh pelabur dalam pelaksanaan projek mereka.

 

Perkara tersebut dinyatakan sebagai jawapan kepada soalan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Mohamad meminta beliau menyatakan  strategi dan hala tuju kementerian berkaitan import dan eksport negara untuk terus meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk membuat pelaburan di Malaysia khususnya di Sabah.

 

Lim Ban Hong
Lim Ban Hong

 

Dalam jawapan yang sama, beliau turut menyatakan beberapa langkah yang telah diambil menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi meningkatkan eksport negara.

 

Langkah tersebut adalah seperti berikut;

  1. Membantu syarikat menjalankan promosi eksport dengan memperkukuhkan Geran Pembangunan Pasaran (Market Development Grant - MDG) menerusi platform digital, di mana MATRADE telah memperluaskan skop MDG untuk menampung kos penyertaan syarikat Malaysia di dalam pameran perdagangan antarabangsa secara maya di dalam dan luar negara dan juga menampung sehingga 30 peratus kos logistik termasuk pengangkutan dan pergudangan bagi penghantaran produk ke luar negara. Bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Oktober 2020, permohonan daripada 1,250 syarikat telah diproses dengan geran sebanyak RM20.85 juta telah disalurkan.
  2. Menyediakan pelbagai risikan pasaran untuk pengeksport yang boleh diakses secara atas talian menerusi perkhidmatan MyExport.
  3. Melaksanakan padanan perniagaan antara pengimport luar negara dan pengeksport Malaysia melalui program eBizMatch yang dijalankan menerusi platform digital.
  4. Menggalakkan syarikat-syarikat tempatan menggunakan platform digital bagi tujuan eksport melalui program eTRADE untuk meningkatkan aktiviti e-Dagang.
  5. Mempergiatkan program-program pemerkasaan pengeksport, antaranya menerusi aktiviti latihan pengeksport menggunakan kaedah webinar. Bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Oktober 2020, sebanyak 138 webinar telah dianjurkan. 

 

Mohamad Alamin
Mohamad Alamin

 

Menyentuh berkaitan langkah-langkah untuk menggalakkan penggantian import, beliau memberitahu, MATRADE melalui  global sourcing programme giat mendorong syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk membekalkan komponen kepada syarikat pengeluar di Malaysia, termasuk syarikat multinasional (MNCs) yang mengeluarkan produk untuk pasaran antarabangsa.

 

Jelasnya, MATRADE turut membantu syarikat tempatan meningkatkan akses pasaran global dengan mengintegrasi syarikat Malaysia ke rantaian bekalan global di samping meningkatkan visibility syarikat Malaysia di luar negara melalui kerjasama strategik dalam pelbagai platform perdagangan. - DagangNews.com