9 hal yang patut anda tahu mengenai sesi Parlimen 13 Sept 2021 | DagangNews Skip to main content

9 hal yang patut anda tahu mengenai sesi Parlimen 13 Sept 2021


MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

ESOK 13 September, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Persidangan yang diadakan dua hari selepas sambutan ulang tahun ke-62 Parlimen itu, dijadual menumpukan isu pemulihan negara susulan penularan pandemik COVID-19 serta pakej bantuan yang disediakan untuk kelangsungan hidup rakyat.

 

Mesyuarat 17 hari sehingga 12 Oktober itu, selepas suhu politik kembali reda dengan penubuhan kerajaan baharu di bawah pimpinan Ismail Sabri, mungkin menyaksikan satu lagi pertarungan yang ramai daripada kita ...amat bosan hendak saksikan.

 

Berikut adalah hal yang dijangka berbangkit, dibangkit dan diungkit semasa sesi Dewan Rakyat:

 

  1. Undi Percaya

Bersimpang-siur pernyataan sejak Ismail Sabri disahkan sebagai Perdana Menteri dengan isyarat dari kerajaan bahawa soal keabsahan jawatan sudah tidak perlu dibuat.

 

Ini kerana `perpecahan’ dalam Perikatan Nasional tidak berlaku (walaupun pelbagai cubaan dibuat) – dengan Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil sikap `gentleman’ memberi sokongan kepada Ismail Sabri.

Terjemahan: majoriti masih pada kerajaan.

 

  1. Tetapi pembangkang nak juga undi percaya

Namun pembangkang tetap berkeras menggunakan Titah Agong semasa pemilihan Perdana Menteri bulan lalu.

 

Kita rakyat jadi pening. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kata tidak perlu. Atas sebab itu perkara Undi Percaya tidak tersenarai dalam jadual Parlimen.

 

Tetapi bila tiada pula kenyataan rasmi dari Istana Negara yang menyokong kenyataan kerajaan, ini menimbulkan tanda-tanya.

Terjemahan : Kita tengoklah esok.

 

 

parlimen
MESYUARAT pertama Parliamen Persekutuan Malaya pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman Hall, yang dirasmikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda  Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad. - Arkib Negara

 

 

  1. Reformasi Parlimen

Ismail Sabri sudah membentangkan cadangan reformasi. Sekilas nampak serupa dengan perkara yang ditawarkan oleh Muhyiddin dan ditolak bulat-bulat oleh pembangkang dan 14 Ahli Parlimen Umno.

 

Cuma tawaran Ismail Sabri jadi pendek sikit. Tidak apa. Orang kata `copycat’ pun tidak apa. Ini kerana tujuh perkara yang ditawarkan adalah logik, munasabah dan sesuai dengan peredaran masa.

 

Maka, akan terlaksanalah impian menyaksikan konsep bi-partisan di dalam kerajaan Malaysia.

 

Terjemahan: makin jelas Muhyiddin disingkir merely for the sake of sacking, walhal idea dan dasar beliau diterima pakai oleh semua pihak.

 

 

parlimen
Bangunan Parlimen mula dibina pada September 1962 dan siap setahun kemudiannya serta dirasmikan pada 21 November 1963. - Arkib Negara

 

 

  1. Bi-partisan

Turut ditawarkan, setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

 

Ahli parti pembangkang akan terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan serta Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

 

Terjemahan: Semoga lepas ini tiada lagi pernyataan kurang berakal menyalahkan sesiapa bila angka kes positif mencanak-canak, ketika semua tahu COVID-19 masih belum reda di seluruh dunia.


 

parlimen

 

 

  1. Khidmat PM dihadkan 10 tahun

Antara hal yang kita suka ialah tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja. Sepenggal kita 5 tahun. Sepenggal Amerika Syarikat 4 tahun.

 

Zaman seseorang memegang jawatan lebih 20 tahun tidak akan berulang dalam sejarah era COVID-19 selepas ini. Seperti dibuktikan di Amerika Syarikat, tempoh dua penggal adalah memadai untuk menggubal dan melaksana dasar-dasar pembangunan negara.

 

Terjemahan: Tolonglah realisasikan. Tolonglah.
 

 

parlimen
Pintu masuk utama ke Parlimen.

 

 

  1. Undi 18 tahun

Begitu juga kebenaran undi untuk rakyat berusia 18 tahun. Ia menyerupai kelegaan ketika kaum wanita dibenarkan mengundi di Barat. Ini seiring dengan trend dunia yang memperkasa setiap lapisan rakyat bagi menentu hala tuju negara.

 

Secara peribadi saya tidak menggalakkan anak saya sibuk hal politik supaya mereka tumpukan kepada pelajaran dan menikmati sepuas-puasnya zaman remaja.

 

Terjemahan: Good Luck lah kalau pengundi 18 tahun undi budak mentah jadi wakil rakyat lagi.  

 

 

parlimen
BANGUNAN utama Parlimen dari sebelah kanan.

 

 

  1. Anti Lompat Parti

Nak tergelak sebenarnya bila sampai bab ini. Sebab benda ini dilakukan oleh kedua-dua pihak baik kerajaan mahupun pembangkang. Tak tahulah siapa lebih untung, siapa lebih rugi dalam konteks parti-parti ini.

 

Yang pasti dan dipersetujui semua, rakyat yang mengundilah rugi bila orang yang mereka undi melompat parti.

 

Maka, kalau kedua-dua pihak dapat mencapai titik pertemuan untuk menggubal undang-undang menghukum pelompat parti, ia akan menjadi sesuatu yang cukup luar biasa dan bermakna di dalam demokrasi berusia 64 tahun Malaysia ini.

 

Tetapi untuk melihat rang undang-undang itu diluluskan sebelum tiba masa untuk pilihan raya umum ke-15 tahun depan, memerlukan kesanggupan politik setinggi Gunung Kinabalu untuk didaki.

 

Terjemahan: MUSTAHIL.

 

 

parlimen
ARCA Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama dan Bapa Kemerdekaan Negara.

 

 

  1. Ketua Pembangkang nikmati gaji menteri

Dalam sistem demokrasi, memang inilah yang kita harapkan. Supaya ketua pembangkang ada segala sumber dan machinery untuk membantunya membuat penyelidikan dan strategi mengkritik dan membidas kerajaan, supaya ada check & balance yang amat penting dalam sistem demokrasi.

 

Apakah akan ada perebutan pula dalam kalangan pembangkang untuk menjadi ketua disebabkan ganjaran yang menarik itu? Lazimnya siapa yang ada nombor terbesar akan dipilih jadi ketua atau kalau dekat-dekat sama bilangan, ikut budi bicara.

 

Terjemahan: Elok lantik ketua pembangkang yang ada potensi memenangi pilihan raya. Kalau sudah berulang kali tewas, kenapa masih berharap?

 

 

parlimen
INILAH rupa bumbung bangunan utama Parlimen, jika anda tertanya-tanya.

 

 

  1. Timbalan Speaker

Tak faham kenapa orang berebut sangat nak isi jawatan ini. Ya kita tahu, siapa duduk situ boleh tolong atur dan tenteramkan perjalanan mesyuarat.

 

Tak bolehkan jawatan ini dilantik daripada kalangan profesional sama seperti Speaker? Tak pasal-pasal jawatan ini jadi bahan politik seminggu ini.

 

Kita suka sangat benda-benda macam ini sedangkan seluruh perhatian dan tenaga patut ditumpukan kepada usaha menangani COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

 

Terjemahan: Buang masa saja.


 

parlimen
Dewan Rakyat yang serba moden hari ini untuk penggubal undang-undang berkhidmat membangunkan rakyat Malaysia.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Semoga Abadi - Misha Omar berulang-ulang kali.

 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.