Hari ideal idaman saya ialah apabila urusan harta pusaka tidak lagi menjadi cabaran kepada waris | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 08 Jan 2025 07:00 AM

HARI IDEAL IDAMAN SAYA IALAH APABILA URUSAN HARTA PUSAKA TIDAK LAGI MENJADI CABARAN KEPADA WARIS

Oleh Tn Hj Ariffin Sabirin

 

 

SEORANG rakan bertanya kepada saya, bilakah agaknya cabaran harta pusaka orang Islam yang sedang kita lalui sekarang ini akan berakhir?

 

Mungkinkan akan sampai satu masa nanti, semua urusan pusaka akan berjalan dengan lancar, cepat dan langsung tidak mencetuskan sebarang cabaran kepada waris-waris?

 

Mungkinkah akan sampai satu masa nanti harta pusaka dapat diurus secepat beberapa minggu sahaja selepas kematian supaya ia boleh diturun milik kepada waris-waris yang berhak?

 

Harta pusaka yang berjaya diturun milik itu pula boleh dimanfaatkan oleh waris-waris sekaligus mengukuhkan ekonomi umat Islam.  

 

Akan berlakukah keadaan satu hari nanti kesemua harta pusaka tertunggak yang bernilai RM90 billion itu akan berjaya diselesaikan dengan cekap dan baik oleh waris-waris mereka sehingga nilai itu berkurangan menjadi RM 0?  

 

Saya merenung jauh bila ditanyakan soalan sebegini.

 

Wajah-wajah waris yang pernah saya bantu untuk melalui proses pengurusan harta pusaka semenjak puluhan tahun yang lepas melintas di fikiran saya satu demi satu.

 

Ada wajah-wajah kegembiraan dan kesyukuran kerana proses tuntutan  harta pusaka keluarga mereka selesai dengan baik.

 

 

wasiyyah

 

 

Ada juga wajah-wajah sedih dan duka kerana ada kes yang gagal diselesaikan akibat perbalahan sesama mereka dan walaupun ada kes pusaka itu selesai tetapi ia menyebabkan hubungan kekeluargaan terjejas.

 

Satu demi satu insiden yang berlaku sepanjang 27 tahun itu juga singgah di fikiran. Ada insiden yang menyentuh emosi dan kesannya positif.

 

Setiap kes unik dan  memberikan saya perspektif baru tentang kehidupan. Tidak kurang juga insiden yang kurang enak diingati kerana kesannya negatif dan menganggu emosi.

 

Secara jujurnya, saya memang menaruh harapan saya akan bertemu dengan hari ideal di mana pengurusan pusaka berjalan lancar dan mudah sebelum saya menghembuskan nafas yang terakhir.

 

Hari ideal di mana waris-waris sangat faham tentang hukum-hakam berkaitan harta pusaka dan sangat berhati-hati dengan urusan berkaitan kerana mereka tahu ia berkaitan dengan agama.

 

Hari ideal di mana waris-waris akan menyegerakan proses berkaitan kerana mereka tahu secara tepat apa borang nak diisi, apa dokumen nak dikepilkan bersama, ke mana borang itu ingin diserahkan dan apa proses yang akan berlaku selepas itu.

 

Hari ideal di mana waris-waris akan berkompromi dan bertolak-ansur disulami dengan perasaan kasih sayang apabila bermuafakat tentang formula agihan harta pusaka.

 

Hari di mana usai urusan harta pusaka, waris-waris akan berpelukan sesama sendiri menitiskan air mata sambil mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana faham urusan harta pusaka itu adalah amanah yang perlu mereka selesaikan bagi ‘melepaskan’ ibubapa mereka daripada ikatan bebanan dunia.  

 

Hari ideal di mana waris-waris boleh berkumpul dengan perasaan gembira mendoakan roh kedua-dua ibubapa sambil  berterima kasih kepada mereka yang walaupun sudah tiada di sisi, didikan dan kasih sayang  mereka menyimpul ketat ikatan hati waris-waris.  

 

Apabila hari ideal ini muncul ia bermakna saya, pasukan saya di Wasiyyah Shoppe Berhad dan semua pemain industri; syarikat amanah, peguam, ustaz-ustaz yang mengajar ilmu faraid telah berjaya memainkan peranan masing-masing dengan berkesan sehinggakan masyarakat tidak lagi berdepan sebarang cabaran harta pusaka.

 

 

wasiyyah

 

 

Namun pengalaman 27 tahun saya di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka orang Islam menjadikan saya seorang yang pesimistik.

 

Hari ideal bayangan saya ini mungkin sangat jauh lagi untuk dicapai. Mungkin juga tidak akan berlaku ketika hayat saya.

 

Kenapa saya katakan begitu ? Ada banyak faktor yang mempengaruhi sama ada urusan harta pusaka itu menjadi mudah atau sukar.

 

Faktor perbalahan keluarga memang antara faktor utamanya. Keadaan ekonomi yang semakin mencabar menjadikan waris-waris sangat tegas dalam mempertahankan hak mengikut persepsi masing-masing.

 

Setiap waris mempunyai status kehidupan yang berbeza. Ada waris yang hidupnya senang dan kaya raya tetapi ada juga waris yang hidupnya susah kais pagi makan pagi. Perbezaan status ini memang tidak boleh dielak sampai bila-bila.

 

Biasa saya jumpai waris-waris berjuang berhabis-habisan sehingga ke titisan darah terakhir, membujur lalu melintang patah dalam menentang sesiapa sahaja yang dipersepsikan akan ‘merampas’ hak mereka.

 

Situasi takharuj atau permuafakatan pembahagian harta pusaka sama ada secara sama rata atau waris melepaskan hak kepada waris lain semakin sukar dijumpai.

 

Ini menjadikan urusan harta pusaka itu sentiasa mencabar. Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai pihak profesional ketiga tanpa kepentingan yang menguruskan harta pusaka kerana amanah yang diberikan oleh pelanggan semasa hidupnya, sentiasa berdepan situasi perbalahan waris ini.

 

Namun dengan pengalaman dan pengetahuan yang baik, setakat ini kami berjaya memuafakat dan mengkoordinasi waris-waris dengan baik.

 

Faktor lain yang juga menyebabkan hari ideal idaman saya sukar dicapai ialah kerana faktor komplikasi undang-undang.

 

 

wasiyyah

 

 

Ramai bertanya kepada saya kenapa undang-undang harta pusaka ini susah difahami dan ketat pelaksanaannya. Saya jelaskan berulang kali bahawa proses undang-undang ini memang perlu ketat kerana ia melibatkan hukum dan hak.

 

Undang-undang perlu memastikan hanya yang berhak mendapat haknya. Atas sebab itu dari masa ke semasa undang-undang sedia ada dikemas kini seperti pindaan signifikan Akta Pembahagian Pusaka Kecil 1955 yang diwartakan pada 2021 dan dioperasikan pada 2024.

 

Undang-undang baru juga diperkenalkan seperti Enakmen Hibah Kelantan 2021.

 

Di dalam pengetahuan saya, ada banyak undang-undang lain juga sedang digubal baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan berkaitan isu harta pusaka ini. Ini tidak termasuk lagi dinamik tafsiran undang-undang sedia ada oleh para hakim baik di Mahkamah Sivil mahupun di Mahkamah Syariah.

 

Waris-waris sebagai orang awam akan berdepan masalah untuk menghadam semua aspek teknikal undang-undang ini kerana ia amat rumit. Kerana itu mereka akan berkecenderungan untuk mencari pihak profesional ketiga seperti syarikat amanah ataupun peguam bagi menguruskan pusaka ini.

 

Ia membawa pula kepada isu seterusnya iaitu fi pengurusan harta pusaka yang semakin mahal.

 

Dengan perubahan undang-undang ditambah pula dengan peningkatan kos-kos semasa yang lain, kerja yang perlu dilaksanakan oleh pihak ketiga profesional semakin bertambah rumit. Ini menyebabkan fi pengurusan pusaka yang dikenakan juga menjadi semakin mahal.

 

Saya amat memahami bagaimana mekanisme ini berfungsi dan faham juga kenapa fi pengurusan harta pusaka perlu dinaikkan.

 

Kerana itu di Wasiyyah Shoppe Berhad kami memperkenalkan perkhidmatan pengurusan harta pusaka PERCUMA Al-Wasitah yang mana manfaat utamanya ialah waris-waris tidak perlu membayar fi pengurusan harta pusaka ibubapa mereka.

 

Dari anggaran 8 juta orang Islam dewasa rakyat Malaysia yang layak melanggan Al-Wasitah bagi memanfaatkan perkhidmatan pengurusan harta pusaka PERCUMA ini, hanya 20,000 orang Islam sahaja yang telah bertindak.

 

 

wasiyyah

 

 

Baki 7,980,000 orang Islam lagi akan mati dalam keadaan waris-waris mereka perlu berdepan pelbagai cabaran ini. Anda salah seorang dari mereka?   

 

Jadi adakah muncul hari ideal idaman saya di mana perbalahan waris dapat dielakkan, proses undang-undang harta pusaka difahami sepenuhnya oleh masyarakat dan kos pengurusan harta pusaka menjadi ‘0’ ? Fikir-fikirkan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews