Hj Ariffin Sabirin menyampaikan cenderahati kepada pegawai pengurusan kanan syarikat teknologi kewangan (fintech) di London pada 20 Januari 2025.
WASIYYAH SHOPPE MEMBAWA NAMA MALAYSIA KE PASARAN GLOBAL
Oleh Tn Hj Ariffin Sabirin
Ketika artikel ini ditulis, saya berada di kota metropolitan London. Hari ini (Selasa) 21 Januari 2025, London masih di dalam musim sejuk (winter).
Walaupun tiada salji, tetapi dengan suhu siang sekitar 3-4 celcius dan suhu malam turun sehingga 0 celcius, orang Malaysia seperti kita akan menggigil kesejukan.
Jika diberi pilihan ini bukanlah musim yang mana saya suka bermusafir kerana saya tidak ‘enjoy’ suhu sejuk.
Namun atas urusan kerja dan tanggungjawab, terpaksalah kita menikmati walau apa pun musimnya.
Salah satu dari kaedah saya mendepani stres kerja ialah dengan menerima sahaja apa pun situasi yang dihidang di hadapan saya dengan hati yang terbuka.
Saya sangat percaya semua urusan itu datang pada pemasaan seperti diizin oleh Allah SWT dan pastinya ada hikmah tersendiri. ‘Allah knows best.’
Saya di sini atas jemputan untuk menghadiri satu perbincangan bersama sebuah syarikat teknologi kewangan (fintech) yang berpangkalan di London.
Kumpulan ini beroperasi hampir di seluruh dunia. Kumpulan ini sangat tertarik dengan kejayaan Wasiyyah Shoppe Berhad membangunkan industri perancangan harta secara Syariah di Malaysia terutamanya aplikasi mudah alih akad hibah pertama di dunia, Usra Hibah Digital Document (UsraHDD).
Alhamdulillah perbincangan ini berjalan lancar dan mendapat sambutan baik. Mereka sangat tertarik dengan UsraHDD dan teknologinya.
Insya-Allah ada peluang untuk Wasiyyah Shoppe Berhad meneroka pasaran dunia bersama rakan kolaborator antarabangsa ini. Memang banyak penyesuaian dan penambahbaikan yang perlu dibuat baik dari sudut teknologi, kerangka Syariah dan kerangka undang-undang.
Saya memang telah menjangkakan cabaran-cabaran ini namun saya sangat yakin ia boleh diatasi kerana selama 21 tahun ini, itulah juga situasi yang kami hadapi di Malaysia.
Kami bukanlah pelari pecut laju yang ‘glamour’ tetapi selepas 100m larian berhenti terus untuk mencari nafas. Wasiyyah Shoppe Berhad ialah pelari marathon jarak jauh yang ketahanan dan staminanya sudahpun teruji berulang kali. Trek rekod kami membuktikan bahawa kami amat ‘adaptable’ dengan cabaran semasa.
Kumpulan kewangan ini terperanjat apabila saya beritahu bahawa aplikasi mudah alih ini dibangunkan secara dalaman oleh Wasiyyah Shoppe Berhad dengan mengguna pakai sepenuhnya tenaga anak muda tempatan.
Walaupun mereka syarikat fintech, mereka tidak pernah menemui teknologi akad hibah waktu sebenar (real-time) sedemikan rupa.
Tambah memeranjatkan mereka ialah apabila mengetahui bahawa lebih daripada 6,000 orang Islam Malaysia telah menggunakan aplikasi ini dengan nilai komersial sebanyak RM13 juta telah dijana oleh Wasiyyah Shoppe Berhad bagi tahun kewangan 2023/24 daripada aplikasi ini sahaja.
Apa yang memeranjatkan saya pula ialah walaupun Kumpulan ini diterajui oleh orang bukan Islam, mereka amat mahir dan faham isu-isu kewangan Islam.
Mereka sangat berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Syariah yang digariskan oleh Panel Syariah mereka yang terdiri dari pakar muamalat seluruh dunia.
Saya langsung tidak berdepan masalah menceritakan tentang hukum faraid kerana mereka memahaminya dengan mudah.
Malah mereka sangat teruja dengan potensi untuk Hibah dibangunkan sebagai instrumen perancangan harta untuk umat Islam sejagat dan mengiktiraf segala usaha yang telah kami buat.
Penghargaan seperti ini walaupun hanya sekadar satu frasa ucapan, sebenarnya sangat menyegarkan dan menyuntik lagi semangat kami untuk bekerja dengan lebih kuat kerana ia datang dari pemain global bukan Islam.
Walaupun Wasiyyah Shoppe Berhad telah bertungkus-lumus membangunkan produk Hibah di Malaysia semenjak 21 tahun lepas dan mempunyai trek rekod cemerlang, ada sahaja orang Islam di Malaysia dari kalangan para penguasa yang berotoriti termasuk mereka di dalam bidang muammalat yang saya temui, memandang sepi malah memperlekehkan usaha Wasiyyah Shoppe Berhad.
Jujur saya akui, kadang-kadang saya rasa terkilan dengan pihak-pihak ini yang langsung tidak memandang segala sumbangan kepada masyarakat, pengorbanan dan penat lelah 21 tahun Wasiyyah Shoppe Berhad membangunkan industri ini di Malaysia.
Bukanlah sangat saya mengharap diberikan anugerah, cukup sekadar ucapan terima kasih.
Sesekali terlintas juga bisikan nakal di hati untuk berhijrah sahaja ke negara lain yang lebih menghargai kerja kuat kami. Negara di mana usaha kami diiktiraf dan diberikan sokongan yang secukupnya.
Ada beberapa negara yang sudah secara jelas mahukan Wasiyyah Shoppe Berhad fokus memainkan peranan penting ini di negara mereka. Namun saya faham keutamaan dan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia pastinya ialah untuk taat berbakti kepada negara.
Saya sering memujuk diri sendiri dan pasukan saya dengan mengingatkan mereka supaya jangan bekerja untuk mengharapkan penghormatan manusia.
Kami telah bermula dengan nawaitu yang jelas iaitu membuat kerja membantu umat Islam ini semata-mata kerana Allah SWT dan nawaitu itu perlu dikekalkan selamanya. Allah SWT telah membantu membuka jalan kepada kami dan mempermudahkan urusan kami selama ini.
Berbalik kepada kisah Kumpulan teknologi kewangan ini, mungkin ada orang yang akan mempertikaikan bahawa mat saleh ini hanya memandang kepada nilai komersial sahaja sebab itulah mereka sangat seronok dengan potensi ini.
Jadi niat untuk bekerjasama itu lebih ke arah keuntungan kewangan berbanding dengan niat yang ikhlas untuk membantu Wasiyyah Shoppe Berhad di dalam usaha ini.
Saya hanya boleh katakan bahawa niat ialah sesuatu yang subjektif dan pastinya sukar dinilai. Kepada saya, apa yang lebih penting ialah kesediaan mereka melihat kepada kerjasama ini ialah peluang besar untuk Wasiyyah Shoppe Berhad meneroka pasaran dunia dengan lebih berkesan.
Pasaran dunia sangat besar namun amat mencabar. Kami tiada kapasiti untuk melakukan kerja ini bersendirian dan perlukan kolaborator yang strategik.
Alhamdulillah, segala usaha keras Wasiyyah Shoppe Berhad berjuang di dalam industri ini semenjak 2004 sentiasa dipermudahkan olehNya.
Walaupun cabaran yang kami hadapi tidak mudah, jalan keluar kepada setiap cabaran itu sentiasa ada. Selangkah demi selangkah bertatih bermula daripada ‘0’ sehingga ke peringkat ini.
Semoga segala kerja kuat ini diterima Allah SWT sebagai sebahagian daripada amal kebaikan di dunia, aameen.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH