Hukum Fizik dalam Pergerakan Harga Saham
BAGI seorang pedagang saham, pasaran ibarat laut dalam – tenang di permukaan tetapi penuh badai di dasarnya.
Setiap pergerakan pasaran yang dilihat di carta adalah seperti ombak, kadang-kadang menggila tanpa amaran.
Tetapi, jika difikirkan sejenak, pasaran saham ini sebenarnya tak jauh beza dengan dunia fizik.
Di sebalik turun naik harga saham, ada hukum-hukum yang mengawal dinamiknya.
Jadi, bagaimana seorang pedagang boleh belajar daripada alam fizik untuk menguasai pasaran yang sukar dijangka ini?
Brownian Motion: Gerak Rawak Saham
Anda mungkin pernah mendengar istilah Brownian Motion. Kedengaran seperti sesuatu dari kelas sains sekolah yang anda cuba lupakan.
Tapi ia sebenarnya berguna di sini. Di alam fizik, ia merujuk kepada pergerakan zarah-zarah kecil yang nampaknya rawak dan tak tentu arah.
Pergerakan harga saham dalam jangka pendek? Serupa. Ia naik, ia turun, kadang-kadang tanpa sebab yang jelas – mungkin seolah-olah ia bermain-main dengan kita.
Kenapa begitu? Kerana harga saham adalah hasil gabungan ribuan keputusan pelabur, dipengaruhi oleh emosi – ketakutan, keserakahan, dan spekulasi.
Sebagai pedagang, kita sering mahu ‘menjinakkan’ pergerakan ini, tetapi ia ibarat seperti meneka ke mana arah angin di lautan terbuka.
Hakikatnya, tidak ada sesiapa yang dapat benar-benar mengawal atau meramal arah pasaran dalam jangka pendek.
Semakin kita cuba ‘membaca’ pasaran, semakin kita terperangkap dalam kekacauan ini.
Namun, jika difahami secara lebih mendalam, Brownian Motion mengingatkan kita tentang pentingnya fokus kepada jangka panjang.
Jangan terlalu tertarik dengan pergerakan kecil; kadang-kadang yang dilihat hanyalah gangguan (noise) dalam pasaran.
The Inverse Square Law: Pengaruh Peristiwa Jauh
Seperti dalam hukum graviti, The Inverse Square Law mengajarkan bahawa semakin jauh jarak, semakin lemah pengaruhnya.
Pasaran saham adalah sebaliknya, ia bekerja secara terbalik. Peristiwa yang berlaku jauh dari kita – contohnya, perubahan kadar faedah oleh Federal Reserve di Amerika Syarikat – boleh memberi kesan yang besar pada pasaran tempatan.
Adakah sebagai pedagang, kita sering memandang remeh pengaruh luar ini? Kita tidak boleh hanya melihat apa yang berlaku di depan mata; berita global, pergerakan ekonomi dunia – semua ini memberi impak besar kepada strategi perdagangan kita.
Harga saham tempatan mungkin jatuh hanya kerana ketidakstabilan politik di negara yang jauh.
Seolah-olah dunia semakin kecil, dan apa yang berlaku di satu sudut dunia boleh menggoncang pasaran di sini.
Oleh itu, sebagai pedagang, kita perlu berfikir secara global. Kesan domino ini adalah realiti, dan mereka yang peka terhadapnya akan sentiasa berada di hadapan permainan.
Phase Transitions: Perubahan Drastik Pasaran
Satu lagi prinsip fizik yang menarik? Phase Transitions. Prinsip ini dalam fizik menggambarkan bagaimana suatu bahan boleh berubah dari satu bentuk ke bentuk yang lain – seperti ais yang mencair menjadi air apabila cukup tenaga diberikan.
Perkara yang sama berlaku dalam dunia perdagangan saham, apabila pasaran bergerak dari keadaan stabil ke keadaan yang kacau-bilau.
Perubahan ini sering berlaku secara mendadak – bull market yang agresif secara tiba-tiba boleh berubah menjadi bear market yang penuh suram beserta ketidakpastian.
Masih ingatkah kita bagaimana pandemik COVID-19 menggegarkan pasaran pada tahun 2020?
Hanya beberapa minggu diperlukan, harga saham yang stabil jatuh merudum, meninggalkan para pedagang terkapai-kapai mencari strategi baru.
Seperti peralihan fasa dalam fizik, peralihan dalam pasaran saham juga sukar dijangka, tetapi apabila ia berlaku, impaknya besar dan mendalam.
Bagi pedagang yang bijak, mereka bersedia dengan strategi yang fleksibel. Mereka tahu bahawa pasaran sentiasa berada di ambang perubahan, dan peralihan besar boleh berlaku pada bila-bila masa.
Dengan kesediaan mental dan strategi yang betul, mereka mampu bertahan dan malah mengambil kesempatan daripada peralihan ini.
Adakah Kita Menipu Diri Tentang Pasaran Saham?
Sekiranya kita melihat pasaran saham melalui lensa Brownian Motion, The Inverse Square Law, dan Phase Transitions, jelas bahawa sistem ini lebih kompleks daripada sekadar angka dan pola.
Ramai pedagang terperangkap dalam ilusi bahawa mereka boleh meramal dan mengawal pergerakan pasaran, sedangkan secara hakikatnya, ia dikendalikan oleh kekuatan yang tidak dapat diramalkan – seperti hukum alam yang tidak dapat disentuh.
Memetik ungkapan Nassim Nicholas Taleb – “Kita sering kali terperangkap dalam keyakinan palsu bahawa kita memahami sistem yang sebenarnya lebih besar daripada pemahaman kita.”
Pergerakan pasaran adalah hasil daripada kekacauan yang teratur, didorong oleh hukum fizik yang menghubungkan setiap pelabur dan keputusan di seluruh dunia.
Sebenarnya, untuk menjadi pedagang yang bijak bukanlah yang cuba meramal setiap perubahan, tetapi yang memahami bahawa mereka hanya boleh mengawal diri sendiri, bukan pasaran.
“Jika anda tidak memahami bahawa pasaran adalah permainan ketidakpastian, maka anda adalah sebahagian daripada masalah itu.”
Adakah anda masih yakin bahawa anda mampu menguasai pasaran, atau adakah anda bersedia menerima hakikat bahawa anda hanyalah zarah kecil yang terumbang-ambing dalam arus kekacauan yang lebih besar? - DagangNews.com
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat