Zalimkah mekanisme Pengapungan Kadar dalam Perbankan Islam? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 10 Dec 2024 07:00 AM

ZALIMKAH MEKANISME PENGAPUNGAN KADAR DALAM PERBANKAN ISLAM?

 

 

 

 

DALAM sistem perbankan Islam, istilah "floating rate" atau pengapungan kadar sering menimbulkan persoalan.

 

Mengapa perbankan Islam yang berlandaskan syariah menggunakan floating rate, dan adakah ini menzalimi pelanggan apabila kadar naik ke tahap maksimum?

 

Persoalan ini wajar diteliti dengan memahami prinsip dan mekanisme floating rate dalam konteks perbankan Islam.

 

Floating rate dalam perbankan Islam bukanlah sesuatu yang diambil secara sewenang-wenangnya. Ia merupakan alat kewangan yang digunakan untuk memastikan kadar yang dicaj kepada pelanggan kekal munasabah.

 

Dalam kontrak jual beli berasaskan syariah, harga jualan mestilah tetap dan tidak boleh diubah selepas perjanjian dimeterai. Oleh itu, floating rate diperkenalkan untuk mengurus risiko kadar faedah tanpa melanggar prinsip syariah.

 

 

iktisad

 

 

Mekanisme floating rate ini melibatkan dua kadar, iaitu contractual rate dan effective rate. Contractual rate ialah kadar maksimum yang boleh dicaj oleh bank kepada pelanggan, dan ia menjadi asas bagi menentukan harga jualan. Sebaliknya, effective rate adalah kadar sebenar yang pelanggan bayar setiap bulan, yang biasanya lebih rendah daripada contractual rate.

 

Effective rate dalam perbankan Islam biasanya diikat atau “pegged” kepada penanda aras seperti Base Rate (BR), Base Lending Rate (BLR), atau Base Financing Rate (BFR).

 

Apabila BR, BLR, atau BFR turun, effective rate turut turun, dan ini memberikan manfaat kepada pelanggan. Sebaliknya, apabila kadar penanda aras ini naik, effective rate juga meningkat, tetapi dalam had yang telah ditentukan.

 

Berbeza dengan sistem konvensional, kenaikan kadar penanda aras dalam perbankan Islam tidak akan melebihi contractual rate.

 

Dalam sistem konvensional, tiada had maksimum untuk kadar yang boleh dicaj, menyebabkan pelanggan terdedah kepada risiko kadar faedah yang melambung tinggi. Sebaliknya, dalam perbankan Islam, contractual rate berfungsi sebagai ceiling rate atau kadar siling, yang menjadi penanda aras maksimum.

 

Sistem ceiling rate ini menunjukkan komitmen perbankan Islam untuk melindungi pelanggan. Walau kadar penanda aras meningkat, bank Islam tidak boleh mengenakan caj yang melebihi kadar siling tersebut. Ini memberikan pelanggan ketenangan kerana mereka tahu bahawa kadar pembayaran mereka tidak akan melampaui had yang telah dipersetujui.

 

Ketiadaan ceiling rate dalam pembiayaan kewangan, terutamanya dalam perbankan konvensional, boleh membawa kesan buruk kepada pelanggan. Ini kerana apabila kadar asas seperti BR, BLR, atau BFR meningkat tanpa had, pelanggan akan terpaksa menanggung kadar faedah yang jauh lebih tinggi, sekaligus meningkatkan beban kewangan mereka.

 

Sistem tanpa ceiling rate membolehkan bank mengenakan caj tanpa had bergantung kepada perubahan kadar pasaran.

 

Sebagai contoh, jika BLR melonjak ke tahap yang sangat tinggi seperti 15% atau lebih, pelanggan tidak mempunyai perlindungan dan perlu membayar ansuran bulanan yang jauh lebih besar berbanding kemampuan kewangan mereka.

 

 

iktisad

 

 

BLR pernah mencapai 13% pada masa lalu, dan kadar tersebut boleh meningkat tanpa had pada bila-bila masa. Ini menunjukkan risiko yang lebih tinggi kepada pelanggan dalam perbankan konvensional berbanding sistem perbankan Islam.

 

Bagi pelanggan yang terikat dengan pembiayaan jangka panjang, seperti pinjaman perumahan atau pembiayaan kenderaan, kenaikan kadar faedah yang drastik boleh menyebabkan mereka gagal membayar ansuran bulanan. Ini boleh membawa kepada peningkatan kes tunggakan, rampasan aset, atau muflis, seterusnya memberi impak negatif kepada kestabilan ekonomi individu dan keluarga.

 

Persoalan sama ada ceiling rate menzalimi pelanggan harus dilihat dari perspektif ini. Sistem perbankan Islam menetapkan ceiling rate sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi pelanggan daripada kenaikan kadar yang tidak terkawal. Berbanding perbankan konvensional yang membolehkan kadar terus meningkat tanpa had, sistem Islam sebenarnya memberikan jaminan kepada pelanggan.

 

Dalam perbankan Islam, ceiling rate diwujudkan sebagai mekanisme perlindungan pelanggan. Apabila kadar asas seperti BR, BLR, atau BFR meningkat, pelanggan tetap dilindungi kerana kadar bayaran mereka tidak akan melebihi kadar siling yang telah ditetapkan dalam kontrak pembiayaan.

 

Hal ini memastikan bahawa walaupun berlaku perubahan pasaran, pelanggan tidak akan terbeban dengan kadar bayaran yang tidak terkawal.

 

Contohnya, jika ceiling rate ditetapkan pada 10% dan BLR meningkat sehingga 15%, bank Islam masih terikat untuk mengekalkan kadar bayaran pelanggan pada 10%. Ini menunjukkan bahawa sistem perbankan Islam lebih beretika kerana ia memastikan keadilan dan melindungi pelanggan daripada ketidakstabilan pasaran kewangan.

 

Oleh itu, mana satu yang sebenarnya menganiaya? Adakah sistem yang menetapkan had maksimum bagi melindungi pelanggan, atau sistem yang membenarkan kadar faedah meningkat tanpa batas? Jawapannya jelas apabila kita memahami tujuan dan prinsip di sebalik floating rate dalam perbankan Islam.

 

Penulis percaya floating rate dalam perbankan Islam bukanlah satu bentuk kezaliman. Sebaliknya, ia adalah alat yang mematuhi syariah dan melindungi pelanggan.

 

Dengan adanya ceiling rate, pelanggan menikmati kestabilan dan kepastian dalam pembayaran mereka, menjadikan perbankan Islam sebagai pilihan yang lebih adil dan beretika berbanding sistem konvensional.

 

 

iktisad

 

 

Tanpa ceiling rate, risiko inflasi dan ketidaktentuan pasaran kewangan akan memberi impak besar kepada pelanggan. Perubahan mendadak dalam kadar asas, seperti yang pernah berlaku ketika krisis kewangan global, boleh menyebabkan pelanggan terperangkap dalam hutang yang tidak mampu mereka bayar.

 

Kesan ini tidak hanya membabitkan individu, tetapi juga memberi tekanan kepada institusi kewangan yang menghadapi peningkatan jumlah pinjaman tidak berbayar (NPL).

 

Dari sudut keadilan, ketiadaan ceiling rate dalam sistem konvensional memberikan kelebihan kepada bank tetapi mendatangkan kemudaratan kepada pelanggan. Bank konvensional berupaya mengaut keuntungan lebih besar ketika kadar asas meningkat, tetapi pelanggan terpaksa menanggung risiko kewangan yang lebih tinggi, tanpa sebarang perlindungan atau had.

 

Dalam perbankan Islam, ceiling rate mencerminkan komitmen terhadap prinsip maslahah dan keadilan yang ditekankan dalam syariah. Sistem ini mengelakkan eksploitasi pelanggan dan memastikan bahawa pembiayaan berfungsi sebagai alat bantu kewangan, bukan beban tambahan.

 

Ceiling rate juga memberikan pelanggan ketenangan untuk merancang kewangan mereka dengan lebih baik tanpa bimbang akan kenaikan bayaran bulanan yang mendadak.

 

Jika perbankan konvensional ingin meningkatkan keadilan kepada pelanggan, pengenalan ceiling rate boleh dipertimbangkan. Langkah ini bukan sahaja akan mengurangkan beban pelanggan, tetapi juga menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan secara keseluruhan dengan mengurangkan risiko kegagalan pembayaran yang besar.

 

 

iktisad

 

 

Sebagai kesimpulan, ketiadaan ceiling rate dalam sistem pembiayaan boleh mendatangkan kemudaratan besar kepada pelanggan, terutama ketika kadar asas meningkat mendadak.

 

Dalam konteks ini, perbankan Islam dengan mekanisme floating rate (dengan adanya ceiling rate) ia menawarkan alternatif yang lebih beretika dan stabil, memastikan keseimbangan antara keuntungan bank dan perlindungan pelanggan. - DagangNews.com

 

Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM

 


utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews