Belanjawan 2025 diharap benar-benar perbaiki kehidupan OKU dan warga emas | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 03 Oct 2024 07:11 AM

Belanjawan 2025 diharap benar-benar perbaiki kehidupan OKU dan warga emas

 


BELANJAWAN 2025 diharapkan membangkitkan harapan baru bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, dua kumpulan yang semakin bertambah dalam populasi negara kita. 

 

Di Malaysia hanya seramai 691,630 OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga 31 Januari 2024. Dari jumlah tersebut seramai 117,092 OKU adalah terdiri dari mereka yang berumur 19 hingga 45 tahun. Lingkungan umur ini boleh dikatakan masih mempunyai keupayaan untuk bekerja dengan baik, dari sudut fizikal, mental atau dengan menggunakan keupayaan yang sedia ada.

 

Diharapkan kerajaan Madani terus memberi perhatian kepada golongan istimewa ini supaya tidak tertinggal. Untuk mencapai matlamat, kerajaan bersama-sama berganding bahu melalui Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya yang dinyatakan di bawah seksyen 3(1), Akta Orang Kurang Upaya 2008, yang mana satu usaha kolektif dibuat oleh Majlis dengan menggunakan pendekatan pelbagai sektor dan pelbagai kerjasama dengan agensi berkaitan yang lain.

 

 

B202

 

 

Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sentiasa memberi keutamaan untuk OKU  mampu berdikari, meningkatkan kemahiran, menambah peluang pekerjaan dan bersama-sama menyumbang kepada produktiviti negara. Ini selari dengan misi strategik Kesuma iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan.

 

Dianggarkan seramai 2.54 juta warga emas di Malaysia yang sedang menuju ke arah negara menua dengan jangkaan lebih 15 peratus penduduknya berusia 60 tahun ke atas menjelang 2030.

 

Selalunya perubahan demografi disertai dengan cabaran kewangan ketara bagi warga emas yang sering terpaksa bergantung kepada sumber pendapatan tidak formal dan terpaksa berjuang untuk menampung kehidupan.

 

Dari statistik 22.7 peratus isi rumah diketuai warga emas mengalami kemiskinan dengan ramai bergantung kepada anak untuk mengukuhkan sokongan kewangan mereka.

 

Dari KWSP, statistik membimbangkan hampir 70 peratus pencarum mempunyai simpanan kurang RM50,000. Untuk kebanyakan simpanan ini tidak mencukupi untuk menampung kehidupan persaraan selesa. Khasnya dengan kos sara hidup dan perbelanjaan perubatan semakin meningkat.

 

Apalagi cabaran kewangan warga emas diburukkan lagi dengan kekurangan perlindungan keselamatan sosial dan perancangan persaraan tidak mencukupi. Cuma 45.2 peratus  yang berusia 55 hingga 64 tahun bekerja di Malaysia, manakala ramai terpaksa terus bekerja sehingga usia tua kerana keperluan kewangan.

 

Namun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan janji-janji dalam bajet ini benar-benar diterjemahkan kepada tindakan yang memberi kesan positif kepada kehidupan harian golongan ini.

 

Peruntukan Belanjawan: Satu Langkah ke Hadapan?

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana untuk meningkatkan bantuan kepada OKU dan warga emas. Antaranya termasuk peningkatan bantuan kebajikan bulanan, pembinaan lebih banyak pusat jagaan harian, serta memperbaiki akses kepada kemudahan awam seperti pengangkutan dan kemudahan kesihatan.

 

Bantuan ini, jika dilaksanakan dengan betul, boleh meringankan beban kewangan, terutamanya bagi mereka yang memerlukan rawatan perubatan atau sokongan harian berterusan.

 

Namun, sebagai seorang OKU dan warga emas, saya melihat bahawa peruntukan ini hanyalah permulaan. Apa yang lebih penting adalah bagaimana peruntukan tersebut akan digunakan dan sejauh mana ia boleh memberi impak yang signifikan kepada golongan yang memerlukan.

 

Adakah bantuan ini akan sampai ke tangan yang benar-benar memerlukannya? Adakah ia akan dikawal selia dengan baik? Ini semua persoalan yang perlu dijawab dengan tindakan, bukan sekadar janji.

 

Dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2010 menjelaskan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU dan langkah afirmatif yang perlu diambil bagi mempercepat pencapaian.

 

Dilaksanakan selaras usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi keupayaan modal insan bagi OKU dan merealisasikan hasrat menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat penyayang. 

 

OKU yang memiliki kelayakan akademik, kemahiran dan keupayaan yang sesuai dengan bidang tugas suatu jawatan akan dipertimbangkan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam. Perlu dijadikan sebagai penunjuk prestasi (KPI) yang mana perlu berusaha untuk mencapai KPI ini. 

 

Kesuma sepatutnya mengambil tanggungjawab dan memandang serius dan perlu memberi peluang kepada golongan OKU. 

 

Perlunya Wakil OKU dalam Jemaah Menteri

Sebagai seorang yang telah hidup sebagai OKU dan juga warga emas, saya amat memahami bahawa setiap daripada kita mempunyai keperluan yang unik. Namun, satu masalah utama yang sering diabaikan oleh kerajaan adalah kurangnya pemahaman mendalam terhadap keperluan OKU oleh mereka yang membuat dasar. Walaupun ada usaha untuk memperbaiki keadaan, kebanyakan keputusan dan polisi yang dibuat masih tidak mencerminkan realiti hidup OKU dan warga emas.

 

Mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pelantikan wakil OKU yang benar-benar mewakili suara dan keperluan golongan ini. Seorang pemimpin yang bukan sahaja memahami secara teorinya, tetapi juga secara praktikalnya, apa yang dilalui oleh OKU dalam kehidupan seharian. Dengan mempunyai pengalaman peribadi sebagai OKU, dasar dan tindakan yang lebih inklusif dan berempati dapat dibentuk, yang benar-benar memahami kelemahan sistem sedia ada.

 

Meningkatnya Jumlah OKU dan Warga Emas di Malaysia

Realiti semasa menunjukkan bahawa jumlah OKU dan warga emas di Malaysia semakin meningkat. Menurut statistik, lebih ramai rakyat Malaysia akan mencapai usia warga emas dalam beberapa dekad akan datang, sementara jumlah OKU juga terus bertambah.

 

Ini bermakna, keperluan untuk mengatasi masalah ini menjadi semakin mendesak. Dasar dan tindakan kerajaan perlu melangkaui hanya menyediakan bantuan kewangan, tetapi juga melibatkan penyelesaian yang lebih komprehensif dari segi kemudahan perubatan, perumahan, peluang pekerjaan, dan sokongan psikologi.

 

Harapan kepada Kerajaan

Sebagai seorang OKU dan warga emas, harapan saya adalah agar kerajaan mengambil pendekatan yang lebih proaktif. Belanjawan 2025 adalah satu permulaan yang baik, tetapi ia tidak boleh berakhir dengan sekadar pengumuman peruntukan. Apa yang diperlukan ialah mekanisme pelaksanaan yang jelas, kawalan ketat untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang layak, serta dasar jangka panjang yang akan membantu golongan ini terus hidup dengan bermaruah.

 

Kerajaan juga perlu mengubah perspektif mereka terhadap golongan OKU dan warga emas. Mereka bukan sekadar kumpulan yang memerlukan bantuan, tetapi juga merupakan sebahagian daripada masyarakat yang berhak untuk hidup secara berdikari, produktif, dan dihormati. Peluang untuk menyumbang kepada masyarakat, dalam pelbagai bentuk, juga perlu diperluaskan kepada golongan ini.

 

Belanjawan 2025 perbaiki kehidupan OKU, warga emas

Harapan kepada kerajaan adalah agar peruntukan dalam Belanjawan 2025 benar-benar digunakan dengan bijak untuk memperbaiki kehidupan OKU dan warga emas di Malaysia.

 

Kita memerlukan pemimpin yang lebih memahami, lebih prihatin, dan lebih bersedia untuk bertindak, bukan sekadar bercakap. Idea tentang seorang Timbalan Menteri OKU mungkin dianggap sebagai langkah radikal, tetapi ia adalah langkah yang penting untuk memastikan golongan ini tidak terus diabaikan.

 

OKU dan warga emas bukan beban kepada masyarakat, tetapi mereka memerlukan lebih banyak sokongan dan tindakan konkrit daripada kerajaan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik, lebih bermaruah, dan lebih bermakna.

 

 Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

dagangnews