Aeon Taman Maluri lengkap divaksin sepenuhnya | DagangNews Skip to main content

Aeon Taman Maluri lengkap divaksin sepenuhnya

KUALA LUMPUR 3 Sept - Pusat beli belah Aeon Taman Maluri Kuala Lumpur menjadi pusat membeli-belah yang divaksin sepenuhnya di Malaysia dan merupakan yang 
pertama di antara 200 cawangan Aeon di seluruh negara.

 

Pusat membeli belah tersebut telah berjaya mencapai 80% tahap imuniti kelompok yang melibatkan sejumlah 1,733 orang yang terlibat di dalam ekosistemnya setakat 30 Ogos 2021. 

 

Penerima vaksin bukan sahaja terdiri daripada para pekerja pusat beli belah Aeon Taman  Maluri, tetapi juga di kalangan para penyewa, kakitangan keselamatan dan fasiliti, pembekal serta rakan-rakan niaga. Pencapaian ini berjaya dilakukan melalui program vaksinasi yang  dilaksanakan sendiri oleh Aeon pada 7 dan 28 Julai 2021.

 

Selain dari itu, terdapat juga beberapa kumpulan dalam ekosistem ini yang menerima suntikan mereka di pelbagai lokasi pusat  pemberian vaksin pada bulan Ogos 2021. 

 

Program vaksinasi yang dianjurkan sendiri itu merupakan kolaborasi di antara Aeon Co. (M) BHD. dan Kementerian Wilayah Persekutuan yang dibiayai oleh Yayasan 
Aeon Malaysia.

 

Sebagai menanda kejayaan ini, para pekerja dan rakan-rakan niaga di dalam ekosistem pusat beli belah Aeon Taman Maluri Kuala Lumpur mendapat lencana ‘I AM FULLY VACCINATED’ (Saya Divaksinasi Sepenuhnya) daripada Aeon apabila mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 mereka. Lencana ini perlu dipakai dan dipamerkan dengan jelas semasa berada di premis.

 

 

aeon

 

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Aeon, Shafie Shamsuddin berkata, pihaknya sangat bersyukur dengan kejayaan yang dicapai menerusi program vaksinasi di Aeon Taman Maluri Kuala Lumpur dan ekosistemnya.

 

''Ia telah dilaksanakan untuk kebaikan para pekerja Aeon serta semua pemegang kepentingan di dalam ekosistemnya. Sememangnya ia merupakan satu sejarah untuk Aeon Taman Maluri Kuala Lumpur yang merupakan cawangan utama kami, menjadi pusat beli belah yang pertama menerima vaksin sepenuhnya di antara semua cawangan Aeon yang lain."

 

“Sehingga kini, daripada sejumlah 12,000 pekerja peruncitan Aeon, 77% daripada mereka yang bertugas di Lembah Klang telah menerima dua dos vaksin manakala pada keseluruhannya, 50% telah mencapai vaksinasi lengkap. Usaha yang bersepadu sedang dilakukan bagi memastikan program vaksinasi ini dapat dijalankan bagi menjaga kesihatan pekerja Aeon, ekosistemnya dan akhirnya mencapai imuniti kelompok selaras dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan oleh Kerajaan.

 

''Kami menyasarkan semua 28 Aeon Malls, 34 Aeon Stores, 22 Aeon BiG, 9 MaxValu Prime, 65 Aeon Wellness dan 42 Daiso divaksin sepenuhnya pada Oktober tahun ini,'' kata beliau. - DagangNews.com