Agong perkenan lantikan 8 anggota Suhakam baharu untuk sesi 2022 hingga 2025 - PM | DagangNews Skip to main content

Agong perkenan lantikan 8 anggota Suhakam baharu untuk sesi 2022 hingga 2025 - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan pelantikan seramai lapan anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang baharu bagi sesi 2022-2025, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, pelantikan itu dibuat mengikut Subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597].

 

Beliau berkata, lapan anggota yang dilantik, termasuk Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Dr. Chew Chee Ming (Sarawak), Datuk Mary@Mariati Robert (Sabah), Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, Nazira Abdul Rahim dan Ragunath Kesavan.

 

"Lantikan untuk tempoh tiga tahun ini berkuat kuasa 22 Jun 2022," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Perdana Menteri, Al-Sultan Abdullah juga berkenan pelantikan Prof Datuk Dr. Rahmat sebagai Pengerusi Suhakam, selaras dengan subseksyen 6(1) Akta 597.

 

Beliau berkata, Prof Datuk Dr. Rahmat adalah seorang pakar perundangan dan hak asasi manusia dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Semoga lantikan yang inklusif ini akan lebih memperkasakan Suhakam dalam melaksanakan aktiviti-aktivitinya demi kesejahteraan negara," katanya. - DagangNews.com