Agong perkenan lantikan semula Mohd Zuki sebagai Ketua Setiausaha Negara | DagangNews Skip to main content

Agong perkenan lantikan semula Mohd Zuki sebagai Ketua Setiausaha Negara

Tan Sri Mohd Zuki Ali
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan semula Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara secara kontrak selama dua tahun, berkuat kuasa mulai hari ini hingga 10 Ogos 2024.

 

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu atas perakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. 

 

"Pelantikan semula Tan Sri Mohd Zuki Ali adalah atas kepentingan negara kerana perkhidmatan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara masih diperlukan," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, Tan Sri Mohd Zuki Ali, 60, yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara sejak 31 Disember 2019 merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam.

 

"Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar," katanya.

 

Selain itu katanya, beliau pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

 

Sementara itu, Perdana Menteri menerusi ciapan di Twitter rasminya menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd Zuki atas pelantikan tersebut.

 

"Tahniah Tan Sri Mohd Zuki Ali atas pelantikan semula sebagai Ketua Setiausaha Negara. Khidmat dan bakti beliau masih diperlukan demi kepentingan negara," kata Ismail Sabri. - DagangNews.com