AirAsia Group kini diklasifikasi PN17 oleh Bursa Malaysia Securities | DagangNews Skip to main content

AirAsia Group kini diklasifikasi PN17 oleh Bursa Malaysia Securities

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jan - Bursa Malaysia Securities Berhad mengumumkan AirAsia Group Berhad (AAGB) telah diklasifikasikan sebagai syarikat bermasalah sejajar dengan Perenggan 2.1(a) dan 2.1(e) Nota Amalan 17 (PN17) dalam Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Securities.

 

Bursa Securities menegaskan ia akan terus memantau perkembangan AAGB dari segi pematuhan kepada Keperluan Penyenaraian Papan Utama.

 

Khamis lalu, Bursa Malaysia telah menolak rayuan AAGB yang ingin melanjutkan tempoh pelepasan selama 18 bulan daripada diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 yang berakhir pada 7 Januari 2022.

 

Menurut bursa, bilangan syarikat di bawah PN17 dan Nota Panduan No.3 (GN3) Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE setakat 14 Januari 2022, kini meningkat kepada 25 buah yang mewakili 2.76% jumlah keseluruhan 905 syarikat tersenarai di Papan Utama dan ACE.

 

Syarikat-syarikat di bawah PN17 ialah: 

1. AIRASIA GROUP BERHAD

2. AIRASIA X BERHAD

3. ASIA MEDIA GROUP BERHAD

4. BARAKAH OFFSHORE PETROLEUM BERHAD

5. BERTAM ALLIANCE BERHAD

6. BRAHIM’S HOLDINGS BERHAD

7. CHINA AUTOMOBILE PARTS HOLDINGS LIMITED

8. COMINTEL CORPORATION BERHAD

9. DAYA MATERIALS BERHAD

10. DOLOMITE CORPORATION BERHAD

11. FSBM HOLDINGS BERHAD

12. IQZAN HOLDING BERHAD (dulunya dikenali RE-TEX CORPORATION BERHAD)

13. KHEE SAN BERHAD

14. KONSORTIUM TRANSNASIONAL BERHAD

15. MALAYSIA PACIFIC CORPORATION BERHAD

16. NATIONWIDE EXPRESS HOLDINGS BERHAD

17. PERAK CORPORATION BERHAD

18. SCOMI ENERGY SERVICES BHD

19. SCOMI GROUP BERHAD

20. SEACERA GROUP BERHAD

21. SERBA DINAMIK HOLDINGS BERHAD

22. SUMATEC RESOURCES BERHAD

23. TH HEAVY ENGINEERING BERHAD

 

Syarikat di bawah GN3: 
1. G NEPTUNE BERHAD

2. IDIMENSION CONSOLIDATED BERHAD

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia Group Bhd (AAGB) sedang merangka pelan untuk menyelaraskan situasi kewangannya bagi menangani status PN17 dan pengumuman yang berkaitan akan dibuat dalam masa terdekat.

 

ARTIKEL BERKAITAN: AirAsia kini diklasifikasi PN17, rayuan ditolak Bursa Malaysia

 

Katanya, portfolio syarikat AirAsia yang kukuh dan pelbagai akan membolehkannya menjejaki penyelarasan kedudukan kewangannya dengan cepat dan telah mengesahkan daya maju perniagaannya yang kukuh pada masa depan.

 

“Apa yang penting, kami bukan hanya syarikat penerbangan lagi (iaitu) bergantung sepenuhnya kepada tambang penerbangan. 

 

“Kami adalah syarikat pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup sinergi, semuanya dijangka menjadi peneraju industri dalam bidang masing-masing di ASEAN,” katanya dalam kenyataan.


 

Tan Sri Tony Fernandes
                                                          Tan Sri Tony Fernandes

 


Fernandes berkata, AAGB telah melaksanakan pelbagai langkah pengumpulan dana untuk meningkatkan kedudukan mudah tunainya, selain meletakkan asas yang kukuh bukan sahaja untuk bertahan tetapi pulih daripada impak pandemik dengan lebih kukuh daripada sebelum ini dalam masa terdekat.

 

Beliau berkata, kumpulan telah meraih lebih RM2.5 bilion setakat ini, termasuk penempatan persendirian sebanyak RM336.48 juta pada suku pertama 2021.

 

Ia turut meraih RM974.51 juta lagi melalui terbitan hak boleh ditolak daripada sekuriti hutang Islam tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCUIDS) untuk tempoh tujuh tahun dan merancang untuk meraih modal tambahan sehingga RM400 juta pada tahun ini.

 

Ini akan memastikan mudah tunai yang mencukupi untuk menangani impak pandemik pada 2022, katanya.

 

Mengenai syarikat penerbangan, Fernandes berkata, AAGB telah mengurangkan kos dengan ketara dan terus beroperasi di satu daripada pangkalan kos terendah di dunia.

 

“Pemulihan sedang berjalan dengan baik untuk industri penerbangan. Kami terus meningkatkan operasi domestik dalam pasaran teras kami di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina kepada tahap hampir sebelum COVID di beberapa laluan utama,” katanya. - DagangNews.com