AirAsia terima kelulusan tambah 42 penerbangan ke Sabah, Sarawak - bolehkan harga diturun ke bawah RM200 | DagangNews Skip to main content

AirAsia terima kelulusan tambah 42 penerbangan ke Sabah, Sarawak - bolehkan harga diturun ke bawah RM200

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

SEPANG 27 Nov - AirAsia telah menerima kelulusan rasmi daripada MOTS dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) hari ini, untuk tambahan 42 penerbangan mingguan dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak bagi tempoh terhad iaitu dari  11 Disember 2021 sehingga 5 Januari 2022.

 

Ini telah secara langsung menurunkan harga tiket Kuala Lumpur-Kuching dari sekitar RM1,000 sebelumnya kepada kurang RM200 sehala dan ianya sudah pun hampir habis terjual sebaik jualan dibuka.

 

AirAsia sentiasa berbincang dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan telah beberapa kali menyerahkan permohonan untuk penambahan kekal kekerapan penerbangan berjadual dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak semenjak awal tahun ini, termasuk yang terakhir dikemukakan pada minggu lepas yang meliputi permohonan untuk penerbangan tambahan bagi musim cuti Krismas dan Tahun Baru Cina.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sebagai penerbangan kos rendah, pihaknya memerlukan jumlah inventori yang tinggi untuk membolehkan syarikat menawarkan harga tiket yang rendah kepada penumpang.

 

''Operasi kami adalah berlandaskan kecekapan ekonomi (economies of scale) iaitu dengan mendapatkan jumlah penumpang yang tinggi dan seterusnya membahagikan penjimatan kos kepada mereka. Ini membolehkan penumpang menikmati tambang rendah dan banyak penjimatan.

 

``Harga purata untuk tambang penerbangan AirAsia antara Sarawak dan Semenanjung sebelum ini hanya sekitar RM160 sehala setiap penumpang. Harga purata ini mengambil kira harga tertinggi dan terendah termasuk semasa kami menawarkan jualan promosi tambang percuma,'' katanya dalam kenyataan di sini. 

 

Kenyataan beliau ini adalah sebagai penjelasan berhubung isu hangat di media sosial berhubung harga tiket yang mahal untuk penerbangan antara Semenanjung dan Sarawak menjelang perayaan Krismas dan musim cuti serta pilihanraya negeri Sarawak yang dijadualkan pada 18 Disember 2021.


 

Riad Asmat
Riad Asmat

 

 

Riad berkata, model penetapan harga AirAsia adalah berdasarkan permintaan dan penawaran dan ia adalah serupa dengan yang diguna pakai oleh syarikat penerbangan lain seluruh dunia.

 

``Pematuhan terhadap kekerapan penerbangan yang dihadkan oleh SDMC telah menyebabkan pengurangan inventori tiket penerbangan yang ditawarkan dan seterusnya menyebabkan mekanisme penetapan harga dinamik kami menghasilkan harga yang tinggi apabila tiket pada harga rendah telah habis terjual.

 

''Ini juga adalah mekanisme sama yang diguna pakai untuk menawarkan harga promosi termasuk tiket serendah RM99 sehala pada Oktober lalu.

 

“Secara umumnya, harga tiket akan meningkat semakin hampir ke tarikh penerbangan dan juga semasa musim cuti, apabila hampir semua penerbangan kami hampir penuh sehingga 90%. Jumlah kekerapan penerbangan yang dihadkan merupakan faktor utama yang melonjakkan harga tiket bagi semua syarikat penerbangan,'' ujarnya.

 

Untuk rekod, AirAsia mengendalikan lebih 300 penerbangan mingguan ke Sarawak bagi tempoh sebelum pandemik, menghubungkan Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dengan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu serta pelbagai destinasi di Malaysia.

 

Untuk laluan Kuala Lumpur-Kuching sahaja, AirAsia mengendalikan sebanyak 12 hingga 15 penerbangan sehari sebelum tempoh pandemik, tetapi dengan kelulusan terbaru daripada MOTS, kami hanya dibenar mengendalikan 5 penerbangan harian bagi laluan popular ini dan ini merupakan pengurangan 67% dalam kapasiti kami disebabkan sekatan oleh SDMC.

 

“Ramai telah mendapatkan tiket kami pada harga rendah semasa jualan promosi pada Oktober lepas dengan harga tiket antara Kuala Lumpur dan Sarawak hanya serendah RM99 sehala.

 

``Amat jelas bahawa permintaan sememangnya tinggi tetapi buat masa ini kami tidak dapat memenuhinya sehinggalah kelulusan diberikan untuk lebih banyak penerbangan.


 

aaa

 


Riad berkata, AirAsia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada SDMC dan MOTS atas kelulusan untuk penambahan penerbangan terbaru bagi musim cuti dan perayaan Krismas.

 

''Kami dengan ini merayu kepada MOTS dan SDMC untuk juga meluluskan permohonan penerbangan tambahan untuk Tahun Baru Cina, dan seterusnya menghapuskan sepenuhnya sekatan atas kekerapan bagi penerbangan yang telah diluluskan. Ini akan membolehkan kami menguruskan kos dengan lebih baik dan cekap dan seterusnya menurunkan tambang untuk manfaat semua penumpang,'' ujarnya.

 

Menurutnya, AirAsia sentiasa komited untuk menyediakan tambang dengan harga berpatutan dan memberikan penjimatan, selaras dengan slogan “Kini semua orang boleh terbang”.

 

Sejak mula beroperasi, berjuta-juta penumpang telah terbang bersama AirAsia termasuklah mereka yang merasai pengalaman terbang untuk kali pertama.

 

Bagaimanapun, kami tidak mampu untuk menambah penawaran tiket penerbangan bagi menampung permintaan tinggi disebabkan sekatan penerbangan dan menjejaskan keupayaan kami untuk memberikan tambang murah dan berpatutan.

 

“AirAsia juga sentiasa komited untuk pembukaan sepenuhnya aktiviti perjalanan dan pelancongan di Sarawak, dan akan sentiasa berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkenaan termasuklah untuk kesihatan, penerbangan awam, dan badan penggalakan pelancongan bagi memastikan pematuhan tertinggi semua peraturan dan garis panduan bagi semua penerbangan yang kami kendalikan,” kata Riad. - DagangNews.com

 

 

(Sila rujuk Lampiran di bawah untuk perbandingan kekerapan penerbangan AirAsia ke Sarawak untuk beberapa bulan yang lepas.) 

LAMPIRAN

Perbandingan kekerapan penerbangan yang dikendalikan oleh, dan/atau diluluskan bagi, AirAsia antara Sarawak dengan Semenanjung dan Sabah bagi tempoh sebelum pandemik Covid-19 dan yang terkini. Ini tidak termasuk penerbangan domestik dalam negeri Sarawak.

 

airasia