Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Iktisad - 26 April 2022

 Akad pembiayaan mesti dilaksanakan dengan tegas

 

 

PENULIS telah ditemuduga oleh seorang pensyarah universiti berkaitan pelaksanaan akad dalam instrumen kewangan Islam. 

 

Seperti yang telah digariskan, konsep akad dalam sistem muamalat Islam adalah terdiri daripada akad jualan, akad perkongsian, akad sewa beli, akad sokongan dan akad pinjaman tanpa faedah. 

 

Kesemua akad ini perlu diterjemahkan dalam setiap perjanjian yang dimeterai oleh bank dan pelanggan. 

 

Jika ia tidak diterjemahkan, maka perjanjian akan menjadi batal dan tidak boleh dikuatkuasakan dari sudut syariah.

 

Apabila ditanya tentang kepentingan akad ini, penulis menerangkan bahawa akad boleh terlaksana dalam pelbagai bentuk termasuklah secara penulisan (dalam dokumen), secara ucapan (yang direkodkan) dan juga secara aksi atau isyarat yang diterima oleh budaya sesuatu transaksi muamalat tersebut. 

 

Yang penting, dalam akad mesti ada penawaran dan penerimaan. Akad akan memastikan kemurnian perjanjian antara 2 pihak kerana masing-masing akan faham tuntutan dan komitmen yang tertera dalam terma dan syarat dalam perjanjian tersebut.

 

Dalam muamalat, akad ini terdapat hukum wadh’ei, iaitu, hukum yang menyebabkan akad atau perjanjian yang dilaksana sama ada batal, sah atau fasid (tergantung). 

 

Perjanjian yang batal tidak boleh dikuatkuasakan lagi. Perjanjian yang fasid pula, perlu ditambahbaik dan diperbaiki agar ia dapat dikuatkuasa. 

 

Kaedah pelaksanaan akad sekarang lebih mudah dan terang. Malah, kemajuan teknologi juga telah memudahkan proses akad. 

 

Pihak-pihak yang berakad tidak perlu lagi duduk semeja untuk melaksanakan akad, sebaliknya mereka boleh berinteraksi dan berakad walaupun berjauhan. Pelaksanaan akad secara dalam talian juga telah diterima pakai oleh industri ketika ini.

 

Penulis juga disoal mengenai perbezaan antara hutang dan pembiayaan. Untuk makluman, hutang berlaku setelah pembiayaan (jual beli) diluluskan oleh bank, atau pinjaman tanpa faedah diluluskan oleh bank. Pembiayaan pula hanyalah instrumen yang ditawar oleh pihak bank untuk pelanggan berhutang. 

 

Antara akad-akad yang ditawar adalah platfom tawarruq dengan akad murabahah dalam pembiayaan peribadi atau kad kredit Islam, musyarakah mutanaqissah & istisna’ dalam pembiayaan perumahan, Ijarah Thumma Al Bai dalam pembiayaan kenderaan dan juga akad murabahah pesanan pembelian untuk produk trade finance.

 

Seperkara penting yang perlu diketahui dalam pelaksanaan akad, piawaian yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan beberapa piawaian antarabangsa akan dirujuk dan digunakan. 

 

Perkara inilah yang menentukan kesahihan transaksi muamalat dalam industri untuk mematuhi kehendak syariah secara keseluruhan.

 

Akhir sekali, pelaksanaan akad-akad pembiayaan oleh bank-bank Islam di Malaysia perlulah menyelitkan budaya kebersihan jiwa pelanggan dan juga warga kerja bank yang berurusan dengan akad-akad ini. 

 

Kesedaran pelaksanaan akad adalah penting. Ilmu juga penting. Memupuk sifat amanah, telus dan integriti dalam mematuhi tadbir urus dan panduan yang tersedia wajib diperkemaskan agar ketidakpatuhan syariah dapat dihalang. 

 

Keprihatinan pihak yang berkuasa untuk memastikan kepatuhan syariah juga mesti diperkasa setiap masa. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm
 

Portfolio Tags