Akta Pembahagian Pusaka Kecil (Pindaan) 2022 diwarta 25 Jan 2022 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 31 January 2022
Wasiyyah

Akta Pembahagian Pusaka Kecil (Pindaan) 2022 diwarta 25 Januari 2022

 

 

PADA 25 JANUARI 2022, landskap pengurusan harta pusaka di Malaysia telah mulai berubah. Ia adalah tarikh keramat di mana Akta Pembahagian Pusaka Kecil (Pindaan) 2022 telah diwartakan.

 

Terdapat beberapa pindaan dibuat ke atas akta tersebut dan pindaan ini dijangka akan memberi kesan yang signifikan kepada proses pengurusan harta pusaka di Malaysia.

 

Namun demikian setakat artikel ini ditulis, saya dimaklumkan pengoperasian akta ini belum dilaksanakan lagi kerana menunggu penyediaan borang dan peraturan tertentu serta pengumuman rasmi dari  Menteri seperti yang tertakluk di dalam Seksyen 1(2) akta berkenaan.

 

Akta ini memperuntukkan Menteri boleh memilih untuk menetapkan tarikh operasi akta ini berbeza dari tarikh ia diwartakan.

 

Saya secara peribadi sangat teruja dengan pindaan ini. Kenapa?

 

Kerana Wasiyyah Shoppe Berhad sendiri terlibat serba sedikit di dalam memberi idea kepada cadangan pindaan akta ini semenjak beberapa tahun yang lepas.

 

Kami memahami aspirasi Pejabat Pusaka Kecil dan menyokong sepenuhnya. Melihat kepada pindaan yang telah dibuat, kami sangat yakin ia akan memberi lebih banyak manfaat kepada masyarakat terutamanya kepada masyarakat Islam yang rata-rata harta mereka jatuh di bawah kategori pusaka kecil ini.   

 

 

Wasiyyah
Tn Hj Ariffin Sabirin mengetuai delegasi Wasiyyah Shoppe mengadakan kunjungan kerja kepada Pengarah Pusaka Kecil Persekutuan, Tn Hj Baharuddin Abd Aziz (lima dari kiri) di Pejabat Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian di Putrajaya.

 

 

Sebelum berbincang lebih jauh tentang pindaan ini, marilah kita fahami dahulu bidang kuasa agensi yang membicarakan kes pusaka di Malaysia.

 

Di Malaysia terdapat 3 bidang kuasa dari segi pengurusan harta pusaka yang perlu difahami masyarakat.

 

Satu daripadanya ialah Pejabat Pusaka Kecil yang sebelum dipinda mempunyai bidang kuasa membicarakan kes yang bernilai kurang dari RM2 juta dan mesti terdapat harta tidak alih (hartanah) di dalam kes tersebut.

 

Pejabat Pusaka Kecil ini kebiasaannya terletak di bangunan sama dengan pejabat tanah bagi kemudahan pengurusan namun mereka bukanlah kakitangan pejabat tanah. Mereka adalah kakitangan Persekutuan di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.

 

 

 

jkptg
Pejabat Pusaka Kecil adalah dibawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

 

 

Mahkamah Tinggi Sivil pula berbidang kuasa untuk menguruskan kes pusaka besar yang mempunyai nilai harta alih atau tidak alih atau kombinasi kedua-duanya yang bernilai melebihi RM2 juta walaupun dalam keadaan tertentu terdapat juga kes di mana harta pusakanya kurang dari RM2 juta tetapi diterima juga untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil.

 

Selain daripada itu, terdapat juga Amanah Raya Berhad yang selain dari bertindak sebagai pemegang amanah, juga mempunyai bidang kuasa untuk bertindak sebagai mahkamah membicarakan kes pusaka ringkas iaitu kes pusaka yang hanya mempunyai harta alih sahaja dan bernilai setakat RM600,000 sahaja.

 

Ramai dalam kalangan masyarakat menyangka menguruskan harta pusaka itu satu kerja yang mudah.

 

Apa yang tidak mereka ketahui ialah setiap satu dari agensi di atas mempunyai peraturan, akta  dan birokrasinya yang tersendiri.

 

Jika waris tidak faham mengenainya, proses pusaka akan menjadi sangat mencabar dan mengelirukan, lambat diselesaikan dan kos yang terpaksa dikeluarkan mungkin tinggi.

 

Antara pindaan akta tersebut yang akan memberikan kesan signifikan ialah kenaikan nilai kes yang boleh dibicarakan oleh Pejabat Pusaka Kecil iaitu dari RM2 juta ke RM5 juta.

 

Di dalam industri sudah lama kami bincangkan keperluan peningkatan nilai ini. Hari ini dengan kenaikan nilai hartanah, sangat mudah untuk harta pusaka seseorang itu meningkat melebihi nilai RM2 juta terutamanya bagi hartanah di kawasan bandar.   

 

Sebelum pindaan akta ini, jika nilai hartanah dinilaikan oleh Jabatan Penilaian Harta melebihi nilai RM2 juta, kes ini akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sivil kerana Pejabat Pusaka Kecil sudah tidak lagi berbidang kuasa membicarakannya.

 

 

arb
Ibu pejabat Amanah Raya Berhad di Jalan Leboh Ampang, Kuala Lumpur.

 

 

Cabarannya ialah jika  permohonan kes pusaka di Pejabat Pusaka Kecil boleh dibuat oleh waris, di Mahkamah Tinggi Sivil, waris perlu melantik peguam.

 

Ini akan menambahkan kos kerana perkhidmatan peguam tersebut perlu dibayar mengikut kadar yang ditetapkan.  

 

Meningkatkan nilai kes yang boleh dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil dari RM2 juta kepada RM5 juta telah membantu meringankan beban waris kerana kini lebih banyak kes akan dikategorikan sebagai pusaka kecil.

 

Satu lagi pindaan yang terlibat ialah tentang bidang kuasa Pejabat Pusaka Kecil untuk membicarakan kes pusaka yang mempunyai harta alih sahaja asalkan nilainya masih tidak melebihi dari RM5 juta.

 

Sebelum pindaan akta,  bagi kes yang melibatkan harta alih sahaja, bidang kuasa membicarakan kes sebegini ialah milik eksklusif Amanah Raya Berhad bagi nilaian harta kurang dari RM600,000.

 

Selepas pindaan, kini waris boleh terus mengemukakan permohonan di Pejabat Pusaka Kecil sahaja. Secara relatifnya kos akan menjadi lebih murah dan prosesnya akan menjadi lebih mudah.

 

Saya menyambut baik usaha yang diambil oleh Pejabat Pusaka Kecil di dalam pindaan akta ini. Mereka sebenarnya melakukan pengorbanan yang besar kerana mereka tahu pindaan ini akan membawa kepada bebanan tugas yang lebih banyak di pihak mereka.

 

Jumlah kes yang akan dibicarakan mungkin akan meningkat sekali atau dua kali ganda. Peningkatan kes ini juga mungkin tidak akan selari dengan pertambahan kakitangan mereka kerana kekangan bajet Kerajaan ketika ini.

 

Kalau sebelum pindaan akta ini, mereka membicarakan 15 kes sehari, selepas pindaan dengan pertambahan jumlah kes, ia mungkin meningkat kepada 30 kes sehari !

 

Saya pernah mengikuti sesi perbicaraan yang dikendalikan pegawai pusaka kecil yang membicarakan 15 kes sehari.

 

Dek kerana melayan karenah waris-waris, dari pagi hingga ke lewat petang, mereka hanya ada masa sedikit sahaja untuk ke tandas dan solat. Kadang-kadang makan pun tak sempat. Bayangkan bila jumlah kes telah meningkat sekali ganda.

 

 

pusaka

 

 

Jadi apakah tindakan yang kita sebagai masyarakat pula perlu buat supaya bebanan ini tidak terletak sepenuhnya di bahu pihak Pejabat Pusaka Kecil?

 

Mereka telah mengambil tindakan yang perlu untuk membantu masyarakat dengan mengambil inisiatif meminda akta ini.

 

Sekarang kita pula perlu memainkan peranan dengan memastikan apabila kes pusaka dibawa ke perbicaraan, semua dokumentasi hendaklah lengkap sepenuhnya supaya kes itu tidak tertangguh.

 

Waris-waris juga hendaklah sudah bersedia dengan permuafakatan atau formula agihan yang disepakati sebelum masuk ke bilik perbicaraan.

 

Sebarang perbalahan di dalam bilik perbicaraan akan memanjangkan waktu perbicaraan sesuatu kes dan memungkinkan kes-kes lain pula yang tertunggak.

 

Persediaan dan permuafakatan waris ini akan melancarkan proses perbicaraan sekaligus memudahkan keputusan dikeluarkan oleh Pegawai yang membicarakan kes.

 

Jadi walaupun jumlah kes yang mereka bicarakan mungkin banyak, namun ia tetap dapat diselesaikan dengan cepat.     

 

Wasiyyah Shoppe Berhad memahami sepenuhnya situasi ini dan selama 17 tahun telah membantu waris membuat permohonan bicara kuasa dengan lengkap di Pejabat Pusaka Kecil dan memuafakatkan waris dengan baik.

 

Banyak testimoni waris telah kami peroleh betapa mudahnya urusan mereka bila diuruskan secara profesional oleh Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Kerajaan telah memainkan peranan dengan meminda akta berkenaan.

 

Kita yang merupakan ‘bakal jenazah’ ini juga perlu memainkan peranan dengan merancang pengurusan harta pusaka kita dengan baik supaya prosesnya kelak lancar dan mudah.

 

Bagaimana caranya? Hubungilah Wasiyyah Shoppe Berhad untuk mengetahui caranya.  

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

    

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags