ADAKAH ANDA BERPUAS HATI DENGAN SETAHUN PENTADBIRAN KERAJAAN PERPADUAN? - SIN CHEW
Sin Chew Jit Poh 18 NovEMBER 2023
MENCAPAI setahun tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim, adakah anda berpuas hati?
Sepanjang tahun ini, bukanlah hendak mengatakan pentadbiran Kerajaan Perpaduan hanya ada serangan tanpa kedengaran sebarang pujian. Tetapi ini berlaku kerana orang ramai tidak dapat melihat keazaman pembaharuan dan perubahan yang dilakukan dalam banyak isu besar.
Mungkin kerana ada beberapa ahli Parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar, Kerajaan Perpaduan yang pada awalnya tegang kini beransur-ansur tenang.
Krisis keruntuhan Kerajaan Perpaduan berakhir seketika dan kini boleh menarik nafas lega bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun pertama pentadbiran mereka.
Keperluan meraikan pencapaian
Kerajaan Ismail Sabri selepas setahun memegang jawatan, telah mengadakan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari berlangsung selama 4 hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Hari ini, Kerajaan Perpaduan juga tidak mahu ketinggalan menganjurkan program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang akan diadakan pada 8 hingga 10 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kerajaan terdahulu dan kini menggunakan kaedah yang sama untuk menguar-uarkan pencapaian mereka. Walaupun Anwar berkata bahawa Muhyiddin dan Ismail Sabrri membelanjakan sehingga RM700 juta untuk publisiti dan pengiklanan semasa mereka menjadi PM, namun Kerajaan Perpaduan akan mengehadkan perbelanjaan publisiti kepada hanya RM100 juta.
Bagaimanapun, sejak Kerajaan Perpaduan mula berkuasa pada November tahun lalu, ia telah membelanjakan RM8.9 juta untuk memasang papan iklan ‘Malaysia Madani’ di seluruh negara.
Jika jumlah ini adalah baki peruntukan kerajaan terdahulu sekali pun, kenapa duit ini tidak digunakan untuk tujuan lain? Adakah satu keperluan untuk meraikan ulang tahun pertama memegang pemerintahan negara? Apakah kepentingannya?
Pulih ekonomi, imej dan keyakinan rakyat lebih penting
Hanya ahli-ahli politik yang suka bermimpi di siang hari. Hakikatnya sebahagian besar rakyat sudah bosan dan jijik dengan perbalahan politik, dan hanya mengharapkan Kerajaan Perpaduan benar-benar berpijak di bumi nyata, bekerja dengan tekun dan ikhlas.
Jika melihat mengikut tumbesaran manusia, umur setahun adalah peringkat awal bercakap dan belajar berjalan. Umur setahun adalah hari lahir pertama dalam kehidupan dan sudah tentu sambutannya sangat bermakna.
Tetapi sebuah kerajaan adalah berbeza dengan manusia. Bagi Kerajaan Perpaduan yang mendukung slogan ‘Madani’, tugas yang dipikul adalah sangat berat iaitu memperbetulkan ekonomi dan memulihkan imej Malaysia.
Selain itu, perkara yang paling terdesak ialah memulihkan keyakinan rakyat terhadap negara. Jangan biarkan harapan yang didambakan setahun lalu kini bertukar menjadi punah selepas setahun kemudian.
Selepas setahun tempoh percubaan, walaupun tidak sepenuhnya putus asa namun ramai sebenarnya rasa kecewa dengan Kerajaan Perpaduan. Jika masih juga tidak memperbetulkan keadaan, nescaya indeks keyakinan rakyat akan merudum.
Perlu ambil peduli masa hadapan
Jika Kerajaan Perpaduan berjaya bertahan satu penggal, mungkin sukar untuk mengharungi penggal akan datang yang penuh dengan duri. Melainkan Kerajaan Perpaduan hanya mengambil berat dengan apa yang dimiliknya hari ini, tidak ambil peduli akan datang, maka itu adalah perkara yang berbeza.
Sejujurnya hari ini selepas setahun pentadbiran, jika ada orang media sendiri juga masih tidak mengenali beberapa ahli kabinet, apatah lagi masyarakat umum. Ada beberapa menteri dan timbalannya masih tidak dikenali sehingga hari ini.
Tidak pasti sama ada mereka ini adalah orang yang benar-benar merendah diri atau pencapaian politik biasa-biasa sahaja, sehingga kewujudan mereka tidak disedari.
Selain itu, sudah lebih tiga bulan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia, jawatan yang ditinggalkan masih belum diisi.
Adakah kerana Anwar berpendapat jawatan ini tidak begitu penting? Atau beliau teragak-agak untuk memilih kerana terlalu banyak kebimbangan?
Perkara ini memberi tanggapan kepada dunia luar bahawa Anwar melakukan sesuatu dengan lengah dan memberi demerit kepadanya.
Sikap melenting dan berdiam diri dalam isu besar
Sebagai contoh, Minggu Solidariti Palestin sebelum ini telah menimbulkan kekecohan. Jelas kelihatan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek begitu teruja semasa membangkitkan perkara tersebut dalam Parlimen.
Sehingga hari ini, Fadhlina masih tidak faham bahawa bukan anjuran Minggu Solidariti Palestin yang dibantah oleh rakyat. Tetapi tidak bersetuju dengan pelaksanaan program tersebut yang tergesa-gesa sehingga membawa kepada adegan kontroversi guru dan pelajar mengacu senapang mainan dan berpakaian seperti militan.
Jauh sekali daripada apa yang dikatakan oleh Fadhlina bahawa penganjuran program tersebut adalah untuk menanam sifat kemanusiaan, sebaliknya lebih kepada menyemai benih kebencian.
Lebih teruk lagi, terdapat beberapa siri pemboikotan yang tidak bijak timbul daripada konflik Israel-Palestin. Setakat ini, tiada pemimpin kerajaan yang tampil untuk mengatakan sesuatu yang objektif dan adil.
Mereka hanya membiarkan sahaja gelombang boikot ini berterusan, menunjukkan bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa.
Semak dan imbang pencapaian pentadbiran
Setahun pentadbiran hanya permulaan, tidak perlu rasa rendah diri dan jangan juga terus laka. Cukuplah dengan mengeluarkan kad laporan dan menyemak janji-janji yang belum ditunaikan setakat ini.
Perlu lebih berani untuk memberitahu rakyat hala tuju pada masa hadapan, ini lebih boleh diterima oleh rakyat daripada membelanjakan wang yang besar untuk meraikannya.
Kerajaan yang dulunya menyokong anti lompat parti, kini bertukar sikapnya menerima ahli Parlimen bermuka-muka yang mengendeng. Malah kerajaan seolah-olah menunjukkan sikap ‘saya tidak boleh menolak jika orang mahu menyokong saya’.
Ingat! Rakyat tidak membandingkan keburukan, tetapi membandingkan siapa lebih baik. Harapan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan adalah bertindak beza dengan kerajaan sebelum ini, bukannya membuat orang merasakan sama sahaja tiada perbezaan.
Sebenarnya, tahun pertama pentadbiran adalah masa genting dan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah kerajaan. Oleh kerana kelemahan sistem Malaysia sudah berakar umbi, agenda reformasi perlu dilancarkan segera.
Tanpa tindakan dalam tempoh setahun akan menyebabkan sikap lengah dan malas dalam kalangan pemerintah, mereka juga tidak akan berani mengambil apa-apa tindakan dalam tempoh empat tahun akan datang.
Bagi kumpulan konservatif juga akan terus mengambil langkah kerana kelewatan dan sikap berhati-hati kerajaan mengakibatkan ruang yang lebih sempit untuk reformasi. - DagangNews.com
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 18 Nov 2023, telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA