Benarkah UMNO beban kepada PH? - Sin Chew Jit Poh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 11 Dec 2023 08:00 AM

BENARKAH UMNO BEBAN KEPADA PH? - SIN CHEW JIT POH 

Sin Chew Jit Poh 7 & 9 Disember 2023

 

 

 

DI sebalik kegembiraan sambutan ‘Program Setahun Bersama Kerajaan Madani’, terdapat kebimbangan yang tersembunyi.

 

Jika Kerajaan Perpaduan masih mahu mengekalkan kuasa dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, perkara paling penting adalah mengubah persepsi dan tanggapan rakyat khususnya orang Melayu.

 

Setahun telah berlalu, Kerajaan Perpaduan masih tidak menampakkan kemajuan dalam memenangi pengiktirafan pengundi Melayu.

 

Pada ketika Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerja keras, UMNO pula lambat bertindak dan seolah-olah tidak tahu bagaimana untuk memulakan langkah.

 

Kita nampak usaha Anwar untuk menonjolkan imej pro-Islam dan Muslim, termasuk solat di masjid setiap Jumaat, memperluaskan fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

 

Bagaimanapun, Anwar berasal dari parti berbilang kaum. Usaha beliau tidak memberi impak besar, lebih-lebih lagi apabila Perikatan Nasional (PN) sentiasa ada memperlekehkannya.


 

parafrasa

 



UMNO tiada fungsi?

Namun sekiranya UMNO boleh mengikut rentak dan bekerjasama dengan usaha Anwar, sekurang-kurangnya dapat meredakan publisiti negatif PN. Tetapi tidak banyak yang dilakukan UMNO pada tahun ini, malah parti itu juga gagal meningkatkan semangat pada peringkat akar umbi.

 

Ironinya, apa yang telah dilakukan oleh UMNO adalah melancarkan kempen ‘pembersihan’ dalaman parti secara besar-besaran pada awal tahun ini. Hasilnya, 44 orang ahli dipecat dan empat orang keahlian dibekukan.

 

Selepas pembersihan dilakukan, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi turut membuat pelantikan politik berdasarkan merit dan ganjaran untuk mengukuhkan kedudukannya.

 

Pada 6 Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan bulan Ogos lepas, kegagalan UMNO memperbetulkan akar umbi membawa natijah.

 

UMNO bukan sahaja tidak mampu bersaing dengan PAS di Kedah dan Pantai Timur, malah tidak dapat membantu Pakatan Harapan (PH) di Selangor sehingga membawa kepada kehilangan kelebihan dua pertiga.

 

Kemudian, dua PRK di Johor pada 9 September iaitu PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram, undi PN meningkat masing-masing sebanyak 8,965 dan 3,980 undi. Namun PH bernasib baik kerana dapat memenangi dua PRK ini.

 

Bagi PRK Dun Pelangai yang diadakan pada 7 Oktober, undi PN juga meningkat daripada 3,260 tahun lalu kepada 4,735. Namun dengan sokongan pengundi Cina, PH sekali lagi terselamat.

 

Bagaimanapun, UMNO terpaksa bergantung kepada diri sendiri dalam PRK Parlimen Kemaman di mana pengundi Melayu menguasai lebih 90 peratus. Keputusan memperlihatkan PAS kurang 716 undi, manakala UMNO kalah teruk dengan kehilangan 10,757 undi.


 

wainuiomata

 



UMNO mula jadi beban PH

Perkara yang perlu dipertimbangkan dengan teliti oleh kepimpinan PH, adakah UMNO kini sudah mula menjadi beban?

 

Adakah benar orang Melayu tidak bersetuju UMNO bekerjasama dengan DAP sehingga menyebabkan sejumlah besar undi Melayu beralih kepada PN? Atau orang Melayu sebenarnya tidak berpuas hati dengan kepimpinan UMNO pada hari ini?

 

Jika PH hanya menganalisis perkara ini sebagai ‘Kerajaan Perpaduan cenderung berpihak kepada parti tertentu’, sehingga menyebabkan orang Melayu bimbang terhadap nasib mereka.

 

Jadi semasa era BN memerintah, adakah MCA dan MIC hanya perhiasan semata-mata dan langsung tidak memperjuangkan kepentingan kaum mereka? Atau dakwaan bahawa ‘Kerajaan Perpaduan dikawal DAP’ yang sentiasa digembar-gemburkan oleh PN hanyalah untuk membakar emosi?

 

Apa yang perlu dilakukan oleh PH sekarang adalah mengkaji dan mempertimbangkan dengan teliti sama ada mahu menumpukan segala usaha untuk memenangi semula undi yang hilang kerana tidak puas hati dengan UMNO/BN. Atau berusaha mengukuhkan asas parti sendiri.  

 

UMNO tidak boleh terus tidur

Sebagai sebuah parti politik lama, sama ada UMNO mempunyai kebolehan untuk melakukan reformasi adalah kunci penentu masa depan parti itu. Benar, reformasi tidak semestinya berjaya tetapi jika tidak dilakukan, parti itu pasti akan terkubur.

 

Kekalahan UMNO dalam PRK Parlimen Kemaman sudah dijangkakan. Lagipun PAS meletak Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon kemenangan pasti berpihak kepadanya.


 

wainuiomata

 


Selepas kalah, UMNO menyatakan bahawa 10,000 pengundi setia UMNO tidak keluar mengundi sehingga membawa kepada peningkatan majoriti PAS. Persoalannya, adakah 10 ribu ini benar-benar pengundi tegar UMNO? Jika benar mereka setia dan kali ini tidak keluar mengundi, adakah itu bermakna kesetiaan mereka goyah?

 

Masih ada empat tahun lagi sebelum PRU16, tetapi prestasi UMNO pula semakin merosot. Namun pemimpin parti itu langsung tidak bermuhasabah diri dan terus bertindak dengan cara yang sama.

 

Reformasi pasti akan mengambil masa dan menunjukkan keberkesannya. Dalam erti kata lain, jendela reformasi UMNO perlahan-lahan tertutup yang akhirnya akan dicerobohi oleh PAS dan Bersatu, kemudiannya bertukar menjadi parti politik kelas dua. 

 

Meskipun duduk di atas dan berkuasa, tanpa motivasi untuk melakukan reformasi dan masih berangan bahawa pengundi Melayu pasti akan kembali ke pangkuan. UMNO boleh sahaja bersikap optimis dengan situasi semasa dan terus tidur, tetapi pengundi tidak akan terus bersama menanti. - DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 7 & 9 Disember 2023, telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

parafrasa