Mampukah Ismail Sabri pulihkan ekonomi? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 03 Sep 2022 08:00 AM

Mampukah Ismail Sabri pulihkan ekonomi?

Nanyang Siang Pao dan Sin Chew Jit Poh 2 Sep 2022

 

 

 

SELEPAS bekas PM Najib Razak dipenjarakan, anehnya reaksi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang hanya berdiam diri, tidak menunjukkan perasaan sedih atau tidak berpuas hati seperti Presiden UMNO, Zahid Hamidi.

 

Perdana Menteri juga tidak mempamerkan sebarang reaksi badan kehakiman negara kini bebas tanpa dipengaruhi oleh politik.

 

Keadaan ini mungkin akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi UMNO, kerana dari awal hingga akhir kes, Ismail Sabri seolah-olah tidak ambil peduli dan menjauhkan diri.

 

Beliau tidak seperti pemimpin UMNO yang lain rata-ratanya beranggapan bahawa Najib dilayan secara tidak adil, Ismail Sabri juga langsung tiada cadangan untuk menukar Peguam Negara.

 

Bagaimanapun, Najib adalah tokoh nombor satu dalam UMNO dan telah banyak memberi sumbangan kepada parti. Hanya dengan reaksi Ismail Sabri yang berdiam diri, kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa beliau tidak menyokong Najib.


 

PM

 


Mungkin PM benar-benar tidak mahu menghalang keadilan dan akhirnya memilih untuk menyibukkan diri dengan urusan-urusan negara.

 

Tidak seperti Zahid Hamidi yang terasa sangat perit dengan kes Najib dan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan tampil segera menafikan dakwaan media asing menyatakan Najib perlu dipenjarakan.

 

Selepas seminggu Najib dipenjarakan, desakan Zahid Hamidi dan pemimpin UMNO yang lain untuk menyegerakan PRU tidak berjaya, begitu juga dengan desakan Bersatu yang menuntut jawatan TPM.

 

Wajah Ismail Sabri kelihatan begitu ceria ketika sambutan Hari Kebangsaan, seolah-olah tiada sebarang masalah yang berlaku dan hanya perkara baik di masa akan datang.

 

Berdasarkan kepada perkembangan situasi politik semasa, pembentangan Bajet 2023 telah diawalkan tiga minggu kepada 7 Oktober.

 

Niat menjadikan bajet kali ini sebagai agenda pilihan raya adalah sangat jelas dan PRU15 mungkin adakan diadakan sejurus selepas pembentangan tersebut. 

 

Bukan itu sahaja, Petronas juga baru sahaja mengumumkan dividen tambahan sebanyak RM25 bilion untuk disalurkan kepada kerajaan, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran dividen sebanyak RM50 bilion. 


 

PM

 


Hakikat yang tidak boleh dipertikaikan bahawa tindakan Petronas ini sama ada dengan pertimbangan teliti atau tidak, adalah berdasarkan kepada pematuhan permintaan kerajaan.

 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan sering meminta Petronas membayar lebih banyak dividen untuk menampung pelbagai perbelanjaan domestik.

 

Sudah tentu pasaran sangat berharap kerajaan mempunyai lebih banyak sumber di tangan, agar dapat menggunakannya di tempat yang betul. Tetapi harapan adalah satu perkara, dan fakta mungkin lain.

 

Begitu juga PM ada memberitahu bahawa beliau sendiri akan mempertimbangkan segala cadangan bajet, jelas menunjukkan beliau cuba mempertahankan diri dan memastikan segala cadangan akan memberi markah baik untuknya.

 

Jika benar, bagaimana agaknya perasaan Menteri Kewangan apabila PM sendiri mengambil alih tugas penting tahunan Kementerian Kewangan.


 

PM

 


Pada 30 Ogos dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18, PM Ismail Sabri telah mengumumkan beberapa inisiatif baru dan berita gembira kepada penjawat awam.

 

Antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56; kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpul bagi tujuan ganjaran wang tunai daripada 160 hari kepada 180 hari.

 

Selain itu, PM juga mengumumkan pemberiaan Bantuan Khas Kewangan 2023 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 manakala pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen akan menerima RM350.

 

Namun seperti biasa, ramai yang akan beranggapan berita baik kepada penjawat awam ini tetap akan dibayar oleh semua rakyat jelata menerusi cukai. Pemberian besar PM ini sudah pasti mengingatkan orang ramai bahawa PRU15 semakin hampir meskipun berulang kali beliau menafikannya.

 

Walaupun PM tidak menyebut jumlah tertentu, namun boleh dianggarkan sekurang-kurangnya berbilion ringgit akan diperuntukkan.


 

PM

 


Jika kita fikir secara positif, kenaikan gaji dan cuti yang dinaikkan bukan sahaja akan meringankan beban hidup kumpulan besar penjawat awam, tetapi juga membolehkan mereka untuk berkemampuan dalam berbelanja, secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi pasaran.

 

Cuma peruntukan berbilion ringgit ini tidak akan jatuh sendiri daripada langit, akhirnya perbendaharaan negara juga yang terkikis. 

 

‘Keluarga Malaysia’ tidak seharusnya terhad kepada penjawat awam sahaja. Ismail Sabri seharusnya berhemah membelanjakan sumber negara untuk kesejahteraan rakyat dan bukannya menghabiskan wang untuk penjawat awam demi undi. - DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao dan Sin Chew Jit Poh 2 Sept 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA