Menu Rahmah pada pandangan Sin Chew Jit Poh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 11 Feb 2023 07:00 AM

Menu Rahmah pada pandangan Sin Chew Jit Poh

Sin Chew Jit Poh 6-10 Feb 2023

 

 

 

SEBELUM ini dalam usaha untuk membendung kenaikan harga, kerajaan akan menyediakan pelbagai subsidi dan menetapkan harga siling bagi sesuatu barangan.

 

Namun selepas pertukaran tampuk pemerintahan, kerajaan baharu nampaknya mempunyai hala tuju yang baru, berhasrat untuk membenarkan rakyat mengambil bahagian dalam memerangi inflasi.

 

Pengenalan Menu Rahmah

Lantaran itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah melancarkan program Menu Rahmah dengan kerjasama industri berkaitan menyediakan makanan dengan tawaran harga yang sangat berpatutan iaitu RM5.00 sepinggan.

 

Program ini adalah bagi membantu golongan yang benar-benar memerlukan dan terkesan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini. Menurut laporan, program tersebut telah mendapat penyertaan hampir 15 ribu pengusaha restoran.

 

Program Menu Rahmah mendapat sokongan daripada pengusaha industri makanan adalah kerana selain dapat membantu orang ramai dan meningkatkan imej perniagaan. Lebih penting lagi, ia akan menarik lebih ramai pelanggan ke restoran tersebut. Inilah yang dikatakan situasi menang-menang.

 

Teori keanjalan harga

sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ada mengemukakan teori ‘keanjalan harga’, iaitu bekerjasama dengan pengguna untuk mempengaruhi harga komoditi menerusi permintaan. Dalam erti kata lain, beliau percaya bahawa perbelanjaan yang bijak boleh membantu mengawal inflasi.

 

Bagaimanapun, teori Rafizi ini telah menerima banyak komen negatif berbanding positif daripada orang ramai. Dalam ekonomi, sememangnya ada teori ‘keanjalan harga’. Apabila harga naik, maka pembeli akan memilih alternatif lain sehingga menyebabkan penurunan dalam permintaan. Tetapi untuk setiap barangan berbeza, penurunan permintaan juga adalah berbeza-beza.

 

Orang ramai boleh membandingkan harga dan volum jualan setiap barangan dengan melihat kepada ‘keanjalan permintaan harga’. Sebagai contoh, jika harga permulaan makanan ialah 10%, tetapi jumlah jualan berkurangan sebanyak 5%, dan tidak dapat bersaing dengan perubahan harga. Maka makanan tersebut tergolong dalam kategori ‘tidak anjaL’. Dalam situasi ini, peniaga tidak mempunyai sebab untuk menurunkan harga.

 

Perbandingan harga adalah mengikut kawasan

Persoalannya, wajarkah pengguna memboikot produk mahal dan memaksa peniaga menurunkan harga? Adakah dengan mengurangkan permintaan dapat membendung inflasi?  Untuk menjawab soalan ini, kita boleh beralih kepada data.

 

Pada Januari lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia telah membuka platform Open DOSM. Dari segi makan di luar, platform itu menyediakan harga pelbagai makanan di kawasan berbeza sehingga Mei tahun lepas. Data menunjukkan bahawa orang ramai boleh pergi ke tempat yang berbeza dan menikmati makanan yang sama tetapi dengan harga yang lebih rendah.

 

Sebagai contoh di Kuala Lumpur, purata harga sotong goreng adalah RM7.90. Tetapi di Seputeh, Lembah Pantai dan Cheras, ada yang menjualnya dengan harga RM5.00. Bagaimanapun, di Bukit Bintang kawasan tumpuan pelancong pula harganya jauh lebih mahal mencecah RM25.50 sepinggan.

 

Apa yang ditunjukkan adalah hidangan yang sama tetapi harganya agak berbeza mengikut persekitaran restoran yang berbeza.

 

Mari kita lihat beberapa makanan popular yang mudah didapati di setiap kawasan. Purata harga kuey teow goreng adalah RM6.80 sepinggan.

 

Tetapi di Seputeh, Cheras dan Setiawangsa pula, harganya kurang RM1.80 lebih murah berbanding harga purata. Begitu juga dengan harga nasi ayam puratanya ialah RM6.60. Tetapi boleh jimat RM1.60 jika makan di kawasan yang berlainan.

 

Boleh dilihat bahawa makanan biasa dan murah, harganya adalah berbeza mengikut lokasi. Makan di Kuala Lumpur, bandar yang sesak teruk pastinya akan menggandakan kos pengangkutan dan masa, jadi pengguna akan merasa lebih rugi dan tidak berbaloi.

 

Jadi pengguna yang bijak

Berbalik kepada persoalan sama ada pengguna perlu memboikot produk mahal dan menggesa peniaga menurunkan harga. Pengguna sepatutnya membandingkan harga, bukannya membunuh perniagaan, sebaliknya berbelanja dengan secara bijak.

 

Dari perspektif pengurusan kewangan, sekiranya kita boleh menjimatkan RM2.00 untuk satu hidangan, maka sehari boleh jimat RM6.00 untuk tiga kali hidangan dan RM180 untuk sebulan.

 

Jika duit tersebut digunakan untuk pelaburan setiap bulan dengan kadar pulangan tahunan 6%, kita mungkin boleh mengumpul RM30 ribu dalam 10 tahun, satu jumlah yang bukan kecil.

 

Persaingan sihat kalangan peniagaan

Sementara itu, bagi peniaga pula haruslah melakukan perbandingan harga dengan rakan seperniagaan, bersaing dengan sihat. Perlu jelas bahawa harga bukanlah pertimbangan keseluruhan seorang pengguna.

 

Data menunjukkan terdapat permintaan untuk sotong goreng yang berharga RM5 hingga RM25.50. Tetapi harga tidak sama dengan nilai, dan hanya dengan menambah baik nilai produk secara berterusan, barulah dapat mengekalkan pelanggan lama dan menarik pelanggan baru.

 

Keberkesanan langkah kerajaan

Daripada ‘Menu Rahmah’ sehingga mahu ‘bergandingan bahu dengan pengguna untuk membendung inflasi’, kerajaan sebenarnya meminjam kuasa rakyat dan pasaran untuk meredakan kesan inflasi yang tinggi kepada rakyat.

 

Tiada siapa yang tahu sejauh mana keberkesanan langkah-langkah ini, tetapi perlu diingatkan bahawa potensi pasaran tidak boleh dipandang remeh.

 

Sebagai contoh, jika ‘Menu Rahmah’ berjaya dan memberi manfaat kepada golongan yang berpendapatan rendah, maka ia boleh diperluaskan kepada kategori golongan yang lain agar semua rakyat dapat menikmati makanan murah dan sedap dengan seadilnya.

 

Sekiranya berlaku gelombang ‘perbelanjaan bijak’ di kalangan rakyat, ia akan menggalakkan persaingan sihat sektor perniagaan.

 

Keadaan ini bukan sahaja akan meningkatkan bilangan produk murah yang berkualiti tinggi, tetapi juga membantu meningkatkan daya saing syarikat tempatan.

 

Kesimpulannya, dalam pasaran bebas, selagi setiap orang mengambil bahagian dan  memainkan peranan masing-masing dengan baik, barulah dapat mencapai keberkesannya. Inilah kuasa pasaran sebenar. - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao dan Sin Chew Jit Poh 6-10 Februari 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA