PRU15: Pengundi sudah matang untuk memilih
Nanyang Siang Pao dan Oriental Daily 11-15 Okt 2022
SELEPAS Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober, secara rasminya gendang Pilihan Raya Umum ke-15 dipalu.
Kerajaan asal baru sahaja selesai membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober, belum sempat Ahli Dewan Rakyat Parlimen ke-14 mengkaji dan berdebat, tidak menjangkakan bahawa itu adalah hari terakhir ‘bekerja’ dan 3 hari kemudian mereka diisytiharkan ‘menganggur’.
Penggal lalu, kita ‘bernasib baik’ dapat bertemu dengan gabungan parti yang berbeza bersama-sama menerajui kerajaan.
Mereka termasuk Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, UMNO, PAS dan lain-lain.
Kemudian kita juga merasai teraju tiga PM dengan gaya kepimpinan yang berbeza, mengiringi tempoh peralihan kejatuhan BN dan pemerintahan secara bergilir.
Ada yang menganggap apabila PH berkuasa, maka akan ada perubahan pemerintahan. Ternyata menjadi parti pembangkang dan pemerintah adalah jauh berbeza.
Sebagai parti pembangkang boleh sahaja cakap kosong dan bermain-main. Tetapi apabila menjadi parti pemerintah, setiap patah perkataan disaksikan oleh rakyat dan sejarah, tidak boleh cakap sembarangan.
Apabila mereka yang tidak tahu menjadi kerajaan memegang majoriti terbanyak, sikap pentingkan diri dan tidak dapat menahan godaan akhirnya membawa kepada perpecahan.
Lebih ramai yang menyokong PRU15 diadakan tahun depan. Bukan sahaja kerana kebimbangan berlaku bencana banjir tahun ini tetapi juga apabila Parlimen genap tempoh pada Mei tahun depan, Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditadbir oleh parti politik lain juga mesti dibubarkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN).
Jadi pengundi tidak perlu keluar mengundi dua kali. Malangnya, PM tidak mengambil kira perkara ini. Walaupun PM ada menyeru negeri-negeri lain untuk dibubarkan serentak, namun parti pembangkang tidak menerimanya.
Jadi terdapat enam negeri yang berkeras mahu mengadakan PRN pada tahun depan. Ini adalah cara yang bijak untuk memintas momentum UMNO dan BN, selain mencabar dengan menunjukkan bahawa parti pemerintah tiada kuasa mendesak pilihan raya.
Ismail Sabri terlebih dahulu melancarkan bom asap sebelum membubarkan Parlimen. Beliau menghadap Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) pada 6 Oktober, namun kedua-dua pihak langsung tidak menyebut mengenai pembubaran Parlimen.
Ketika Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Oktober, beliau malahan memuji bajet tersebut adalah untuk kepentingan rakyat dan perusahaan, mengharapkan sokongan rakyat dan melihat ekonomi tahun depan dengan optimis.
Sayang sekali, khabar angin pembubaran Parlimen menyebabkan rakyat tidak dapat merasai ‘kehangatan’ pengagihan gula-gula sebelum pembubaran.
Sebaik sahaja pilihan raya diadakan, segala manfaat kepada rakyat seperti yang tertera dalam bajet hanyalah ‘cek kosong’. Rakyat perlu memastikan BN kembali berkuasa dan Ismail Sabri dilantik semula sebagai PM, barulah mempunyai peluang untuk menunaikan cek tersebut.
Ramalan PRU15 kali ini adalah BN 50 – PH 50; BERSATU dan PAS hanya akan berjalan seiring; manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan beberapa parti-parti nyamuk yang lain akan lenyap ditiup angin.
Menteri Kewangan UMNO terlalu awal membuka halaman, sehingga membuatkan rakyat merasakan ‘BN hanya boleh memberi sebanyak itu’. Jadi PH berkemungkinan akan mencari jalan penyelesaian yang sesuai untuk memberikan rasa yang lebih baik kepada rakyat.
Namun begitu, terdapat isu integriti dalam manifesto PH pada PRU yang lepas. Tun Dr. Mahathir telah mencuci otak pemimpin-pemimpin PH dan bertukar menjadi ‘lip service’, menabur pelbagai janji yang tidak dapat ditunaikan. Jadi kali ini rakyat pastinya akan lebih berhati-hati.
Pada PRU kali ini, ketiga-tiga parti utama pernah merasai meneraju kerajaan, kecuali PAS yang bercita-cita besar tetapi hanya bertapak di Pantai Timur.
PH juga kini tahu bahawa bermain dengan kad ‘keadilan negara’ sukar untuk menarik perhatian rakyat dan menyeru perubahan dengan melakukan pembaharuan juga sudah tidak realistik.
Semasa ketiga-tiga parti ini pernah berkuasa, rakyat tidak dapat melihat parti mana yang boleh menonjol dan mengubah nasib negara.
Oleh yang demikian jika mahu memenangi pilihan raya ini, parti perlu memberi fokus kepada ‘populisme’. Lebih banyak manfaat yang dijanjikan kepada rakyat dan penjawat awam, lebih banyak undi yang akan diperoleh.
Impak serangan COVID-19 telah menyebabkan ekonomi negara perlu pemulihan segera, dalam masa yang sama inflasi juga membuatkan orang ramai hidup dalam tekanan dan kesempitan.
Walaupun orang yang berwawasan tahu bahawa ‘populisme’ ibarat tindakan minum racun untuk menghilangkan dahaga, dalam keadaan dunia bercelaru, semua orang berpura-pura untuk mendapatkan layanan yang lebih baik.
Apabila pengundi semakin matang, pernah melalui 22 bulan pemerintahan PH dan 32 bulan pemerintahan Perikatan Nasional, rakyat sebenarnya sudah mempunyai persediaan untuk membuang undi.
Pengundi mempunyai alasan yang kukuh untuk memilih mana-mana parti kerana setiap kem pernah melakukan kesilapan dalam pentadbiran.
Namun perkara akhir yang akan dilihat oleh pengundi adalah parti dan calon yang benar-benar mengambil berat terhadap negara atau sebenarnya mempunyai niat tersembunyi. - DagangNews.com
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao dan Oriental Daily 11-15 Okt 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.