Ringgit Malaysia terus lemah - Nanyang | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 10 Sep 2022 07:38 AM

Ringgit Malaysia terus lemah

Nanyang Siang Pao 9 Sep 2022

 

 

 

Amerika Syarikat bukan sahaja mempunyai inflasi yang tinggi tetapi kadar faedahnya juga terus meningkat, tanpa ada tanda-tanda penurunan. Namun begitu, mata wang negara ekonomi terkuat di dunia ini terus kuat dan mengukuh.

 

Ahli ekonomi meramalkan mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) pada akhir September ini akan terus mengumumkan kenaikan kadar faedah.

 

Ini bermakna Ringgit Malaysia (RM) dijangka kekal lemah untuk beberapa tahun akan datang kerana Malaysia menaikkan kadar faedah lebih perlahan daripada AS dan kelembapan ekonomi global.

 

Mesyuarat dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis lepas, mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) sebanyak 0.25 peratus, tidak seagresif Fed. Oleh yang demikian, aliran keluar modal asing akan terus menyusutkan nilai ringgit.

 

Melihat kepada angka ekonomi tahun ini, prestasi ekonomi negara kita tidaklah seteruk mana. Tetapi mengapa nilai ringgit tidak memberangsangkan?

 

Kita imbas kembali sepanjang tempoh Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, banyak kontrak nasional yang ditandatangani oleh kerajaan terdahulu telah ditolak dan dibatalkan, sedikit sebanyak telah menjejaskan keyakinan pelabur asing.

 

Antaranya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.


 

apa

 


Oleh kerana pada masa itu sentimen benci rakyat kepada kerajaan terdahulu memuncak, jadi mana-mana suara yang menentang pembatalan kontrak hanya akan menjadi sasaran dendam malah dianggap bersekongkol dengan kroni terdahulu.

 

Ahli-ali perniagaan yang memegang janji dan kontrak daripada kerajaan terdahulu, tiada tempat mengadu dan mereka juga tidak berani untuk membawa kerajaan ke mahkamah demi masa depan perniagaan mereka.

 

Selepas dua tahun, kerajaan PH tumbang dan pemerintahan bertukar tangan kepada Perikatan Nasional. Perubahan rejim dalam tempoh yang singkat ini menambahkan lagi kebimbangan pelabur asing tentang perubahan dasar dan mempunyai keraguan untuk melabur di negara. 

 

Hari ini kadar faedah AS meningkat secara beransur-ansur meningkat malah ia mungkin melepasi kadar faedah di Malaysia.

 

Bagaimana kadar faedah Malaysia boleh berada di kedudukan yang sama dengan AS negara berkuasa besar itu?

 

Apabila jurang kadar faedah tidak besar, dasar yang tidak jelas, ditambah pula dengan kerajaan yang tidak stabil dan tidak berani memikul tanggungjawab, akibatnya pelabur asing tidak berminat melabur di Malaysia dan sekaligus mengurangkan kadar pertukaran asing.


 

apa

 


Mungkin ramai yang beranggapan negara kaya dengan sumber asli, petroleum dan kelapa sawit adalah komoditi yang baik untuk mendapatkan tukaran mata wang asing.

 

Tetapi malangnya, apa yang diinginkan oleh orang luar adalah sumber negara bukan mata wang. Walaupun harga komodoti yang ditawarkan bagus, urus niaga hanya dalam dolar AS dan ringgit tiada nilai.

 

Bolehkah kita menjadi tegar seperti Rusia apabila dikenakan sekatan seluruh dunia, urus niaga barangan domestik negara itu hanya dibenarkan dalam mata wang mereka sahaja? Sudah tentu tidak.

 

Malah penurunan nilai ringgit juga telah menyebabkan pekerja Indonesia membuat pertimbangan teliti untuk bekerja di Malaysia atau tidak.
 

apa


Pada masa ini, semua parti politik sedang sibuk membuat persiapan untuk PRU. Dalam keadaan kerajaan akan dibubarkan tidak lama lagi, tiada langkah besar yang boleh dilakukan dan mereka hanya boleh membuat tindakan kecil untuk meraih undi.

 

Apa yang boleh dilakukan hanya menenangkan sedikit hati rakyat, dan kembali membuat perancangan selepas pilihan raya kelak. - DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 9 Sept 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA