Sekolah persendirian Cina juga mahu dana kerajaan - Sin Chew Jit Poh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 02 Oct 2023 07:00 AM

SEKOLAH PERSENDIRIAN CINA JUGA MAHU DANA KERAJAAN

Sin Chew Jit Poh 28 September 2023

 

 

 

SETIAUSAHA Agung UMNO Asyraf Wajdi Dusuki berpendapat adalah zalim apabila beberapa orang ahli politik mempersoalkan peruntukan RM15.75 juta yang diberikan kepada 63 buah sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

 

Adakah tindakan kerajaan ini ‘zalim’? Tidak!

 

Sebenarnya apa yang diharapkan oleh sekolah persendirian Cina adalah layanan dan penjagaan yang munasabah, juga mengharap agar peruntukan akan disenaraikan di dalam bajet.

 

Pendidikan Cina untuk mengembangkan generasi

Malaysia mempunyai 63 buah sekolah persendirian Cina dan 22 daripadanya mempunyai sejarah lebih daripada 100 tahun. Tujuan penubuhan sekolah persendirian Cina dulu adalah sangat mudah, iaitu mahu menghapuskan buta huruf yang berleluasan pada zaman itu. Selain juga mengharapkan generasi akan datang, mempunyai buku unutk dipelajari pada masa hadapan.

 

Langsung tidak melibatkan malah tidak pernah terlintas di fikiran bahawa ‘belajar bahasa Cina dan menerima pendidikan Cina’ akan menjejaskan pengiktirafan orang Cina terhadap negara ini.

 

Sistem pendidikan Cina di Malaysia mempunyai sistem kesinambungan yang lengkap dari sekolah rendah sehingga sekolah menengah, malah juga di beberapa universiti swasta. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa tahap kemahiran dan kualiti pelajar Cina Malaysia adalah yang terbaik di luar China, Hong Kong dan Taiwan.

 

Kualiti pelajar sekolah Cina Malaysia dapat pengiktiraf luar negara

Pada masa ini, terdapat banyak sekolah persendirian Cina menunjukkan prestasi yang sangat baik dan keputusan sekolah mereka diiktiraf secara langsung oleh universiti terkenal di dunia. Oleh itu, tiada masalah bagi lebih 80,000 pelajar sekolah persendirian Cina termasuk dari kalangan kaum yang lain untuk menyambung pengajian selagi keadaan keluarga mengizinkan.

 

Beberapa tahun kebelakang ini, kadar pelajar sekolah pesendirian Cina yang melanjutkan pelajaran ke universiti kekal sekitar 80 peratus. Berdasarkan kepada pengiraan ini, lebih puluhan ribu pelajar yang lulus universiti setiap tahun dan sekiranga bakat ini boleh kekal tinggal di negara nescaya kita dapat mengisi kekurangan tenaga profesional yang dihadapi sekarang.

 

Belajar pendidikan Cina tidak jejas kesetiaan kepada negara

Kita tidak boleh mengira bilangan graduan sekolah persendirian Cina yang lalu. Tetapi berapa ramai yang telah memberi sumbangkan kepada pembangunan negara sejak beberapa dekad yang lalu? Ramai yang mengenali mereka.

 

Isu ‘patriotisme’ dimainkan oleh segelintir ahli politik tidak akan menjejaskan kesetiaan kepada negara, kerana kami (orang Cina) adalah rakyat Malaysia bukan pendatang. Kami dan pendidikan Cina sentiasa inginkan pembangunan yang baik kepada negara, tetapi kami sering kali dijadikan alat tawar-menawar dalam perjuangan politik dan pilihan raya!

 

Apa yang disuarakan oleh Setiauasa Agung UMNO sedikit sebanyak memberi keadilan kepada sekolah persendirian Cina. Kerajaan telah memperuntukan RM3.2 bilion kepada sekolah agama dan juga Majlis Amanah Rakyat (MARA). Mengapa perlu mempersoalkan peruntukan RM15.75 juta yang diberikan kepada sekolah persendirian Cina?

 

Masyarakat Cina tidak culas dalam membayar cukai dan bekerja keras untuk sekolah persendirian Cina. Apa yang diinginkan daripada kerajaan adalah peruntukan yang telus dan tidak pernah langsung mempersoalkan jumlah yang diberikan kepada institusi pendidikan lain.

 

Pembahagian dana kerajaan untuk pendidikan perlu adil

Menurut Asyraf, berdasarkan peruntukan kerajaan sebanyak RM15.75 juta, purata setiap pelajar sekolah persendirian Cina akan menerima kurang daripada RM200 seorang. Pada masa ini, terdapat 4,028 pelajar Melayu yang ditaja oleh MARA di luar negara dengan kos setiap orang antara RM730,000 hingga RM1.2 juta (purata kira-kira RM1 juta seorang).

 

Jumlah tajaan ini adalah 4,900 kali ganda berbanding setiap pelajar sekolah persendirian Cina. Amaun tajaan untuk seorang adalah lebih kurang sama dengan peruntukan 4 sekolah persendirian Cina.

 

Kami tidak mahu mempersoalkan dana kerajaan yang besar untuk pelajar luar negara, tetapi hanya ingin tahu berapa ramai yang ditaja ini kembali semula berkhidmat kepada negara? Apakah sumbangan khusus yang telah mereka berikan kepada negara? 

 

Lagipun terdapat ramai pelajar Melayu miskin yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti, sejauh mana ‘penjagaan’ yang mereka terima? Bagi mereka yang menerima tajaan MARA yang berjaya pada hari ini, adakah mereka tidak lupa asal usul dan menjaga pelajar Melayu golongan B40 pada hari ini?

 

Mahu kerajaan lebih prihatin terhadap beberapa tuntutan

Sebaliknya pula dengan 63 buah sekolah persendiran Cina, tiada lebihan peruntukan dan kekurangan bergantung sepenuhnya pada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina, masyarakat Cina yang prihatin dengan pembangunan pendidikan Cina, alumni sekolah dan peruntukan kerajaan yang diberikan beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Walaupun peruntukan kerajaan tidak banyak, tetapi ia tidaklah ‘zalim’ seperti yang digambarkan oleh Asyraf Wajdi. Sekolah persendirian Cina tidak berani menuntut layanan yang lebih adil tetapi cukuplah sekadar prihatin.

 

Antaranya mengiktirafkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC); hapuskan atau selaraskan sistem kuota kemasukan universiti; segera meluluskan penempatan semula sekolah persendirian Cina atau pembinaan bangunan sekolah di lokasi yang berbeza; peruntukan tahunan dimasukkan dalam bajet; potongan cukai bagi derma yang diberikan kepada sekolah persendirian Cina; mesyuarat berkala antara pendidikan Cina dengan Kementerian Pendidikan.

 

Isu berkaitan dengan peruntukan pendidikan telah lama disuarakan oleh Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). Menyeru kerajaan untuk menyediakan ‘perancangan pembiayaan pendidikan jangka panjang’.

 

Peruntukan diperincikan dalam bajet untuk memastikan semua jenis sekolah menikmati layanan kewangan yang adil. Termasuklah penyelenggaraan dan pemulihan sekolah, pemindahan dan pembesaran sekolah atau penempatan semula.

 

Kami sangat berhadap suara Dong Zong dapat didengari oleh kerajaan, kerana sehingga hari ini pembinaan dan pemindahan sekolah persendirian Cina masih lagi menggunakan perbelanjaan sendiri.

 

Peruntukan sekadar hiasan kerajaan?

Peruntukan lebih RM10 juta semata-mata, tidak sesuai dikatakan sebagai perkongsian sumber pendidikan, lebih kepada hiasan kerajaan. Semasa Najib menjadi perdana menteri, beliau memberi peruntukan dengan niat untuk meraih sokongan tetapi orang Cina tidak menghargainnya. Peruntukan ini terus dikekalkan pada zaman Muhyiddin dan Ismail Sabri, namun masih tidak mendatangkan apa-apa kesan.

 

Berganti pula kepada Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai tulang belakangnya. Dulu mereka membuat pelbagai janji indah kepada pendidikan Cina dan sekolah persendirian Cina, sehingga berjaya mendapat sokongan 95 peratus undi Cina. Namun hari ini, jumlah peruntukan kepada sekolah persendirian Cina masih tiada perbincangan khusus.

 

Bajet2024 bakal dibentangkan tidak lama lagi. Berapakah jumlah peruntukan yang akan disediakan oleh Kerajaan Perpaduan kepada sekolah persendirian Cina? - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 28 September 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

dagangnews