Apa penting sangat pelan pemasaran ini? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Jiwo Niago - 29 September 2020

APA PENTING SANGAT PELAN PEMASARAN INI?

 

Seperti yang saya terangkan sebelum ini, pelan pemasaran adalah salah satu daripada aspek terpenting dalam pelan perniagaan. Tujuan utama penyediaan pelan pemasaran ialah untuk merangka strategi pemasaran yang berkesan bagi memastikan perniagaan dapat mencapai objektif pemasaran yang ditetapkan.

Strategi pemasaran yang berkesan juga dapat memastikan perniagaan berada pada landasan yang betul agar produk atau perkhidmatan yang ditawarkan berjaya memasuki pasaran dan sampai kepada pelanggan sasaran.


Penyediaan pelan pemasaran

Terdapat empat langkah dalam proses penyediaan pelan pemasaran. Langkah pertama membabitkan penyelidikan dan analisis pasaran. Perkara ini telah saya huraikan minggu lepas.

Langkah kedua merangka objektif pemasaran yang ingin dicapai dalam usaha untuk memastikan produk atau perkhidmatan dapat dijual kepada pelanggan sasaran.

Langkah ketiga menetapkan strategi pemasaran yang menggariskan sekurang-kurangnya empat strategi utama iaitu strategi-strategi produk, penentuan harga, promosi, dan pengedaran (yang juga dikenali sebagai pemasaran 4P).

Langkah keempat iaitu yang terakhir ialah menyediaan bajet pemasaran dengan mengambil kira semua kos yang terlibat dalam pelaksanaan aktiviti dan strategi pemasaran.
 

aaa

 

Merangka objektif pemasaran

Lazimnya objektif pelan pemasaran ada kaitan secara langsung dengan objektif perniagaan dan ia selari dengan misi dan visi perniagaan yang telah ditetapkan. Bagaimanapun, objektif pemasaran hanya akan difokuskan kepada bahagian perniagaan yang ada kaitan dengan aktiviti jualan dan pemasaran produk atau perkhidmatan.

Objektif pemasaran menggariskan matlamat pelan pemasaran yang hendak sasarkan dan objektif tersebut perlu dinyatakan secara spesifik, boleh diukur, realistik, boleh dicapai dan mempunyai tempoh tertentu untuk dicapai.

Metrik atau pengukur yang boleh digunakan dalam merangka objektif pemasaran termasuk syer sasaran, bilangan pelanggan sasaran, kadar penembusan pasaran, kadar penggunaan, jumlah jualan yang disasarkan, dan sebagainya.

Sebagai contoh, syarikat baru yang ingin mengembangkan perniagaan secara umumnya akan mempunyai pelan pemasaran yang menekankan strategi untuk meningkatkan pasaran sasaran. Oleh itu, memperoleh syer pemasaran, meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelanggan, dan membina imej perniagaan adalah antara objektif yang boleh dikaitan dengan pelan pemasaran.

 

Merangka strategi pemasaran

Strategi pemasaran menerangkan perancangan dan strategi yang akan digunakan oleh perniagaan bagi menarik minat pelanggan sasaran untuk membeli produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Strategi pemasaran membabitkan strategi-strategi produk atau perkhidmatan, penentuan harga, promosi, dan saluran pengedaran. Dua lagi strategi tambahan yang sering diambil kira dalam merangka strategi pemasaran ialah orang-perseorangan dan proses.
 

aaa

 

Produk. Produk merupakan sesuatu yang boleh ditawarkan kepada pasaran untuk perhatian, pemilikan dan penggunaan yang boleh memuaskan kehendak dan keperluan pelanggan sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan.

Anda perlu menyatakan apakah strategi produk yang akan dilaksanakan. Sebagai contoh, anda boleh mengeluarkan produk dengan menggunakan jenama sendiri, memperkenalkan pakej atau pembungkusan dalam pelbagai saiz yang bersesuaian dengan cara penggunaan, atau menyediakan pelabelan yang mampu menarik perhatian dan minat pelanggan sasaran.

Anda juga perlu menyatakan jika perniagaan anda menyediakan khidmat sokongan pelanggan selepas jualan dan menawarkan jaminan kualiti untuk tempoh tertentu.  Yang lebih penting, apakah tawaran nilai yang ingin dipersembahkan kepada pelanggan. Tawaran nilai yang berkesan dapat membezakan produk atau perkhidmatan anda dengan produk yang ditawarkan oleh pesaing.

Lazimnya faktor-faktor seperti formula produk, cara prosesan, bahan dan teknologi yang digunakan, tempoh penghantaran, pilihan kepelbagaian produk atau pakej perkhidmatan dan seumpamanya perlu juga diberi perhatian dalam merangka strategi yang dapat membezakan penawaran produk atau perkhidmatan anda dengan produk atau perkhidmatan sedia ada dalam pasaran.

Penentuan harga. Menentukan harga yang sesuai bagi produk atau perkhidmatan yang ditawarkan boleh membantu perniagaan menjana keuntungan di samping memastikan perniagaan mampu bersaing dalam pasaran.  Anda perlu menerangkan bagaimana harga produk atau perkhidmatan ditentukan dan strategi apakah yang akan digunakan untuk menarik minat pelanggan sasaran supaya membeli barangan atau perkhidmatan yang anda tawarkan.

Penentuan harga yang kreatif mampu menarik minat dan perhatian pelanggan sasaran. Sebagai contoh, kombinasi kualiti, jenama dan imej produk boleh digunakan sebagai asas kepada penentuan harga yang tinggi dan pada masa yang sama dapat memberi kepuasan psikologi kepada pelanggan. Dengan lain perkataan, anda perlu memahami asas penentuan harga yang bersesuaian dengan ‘pakej’ produk atau perkhidmatan yang ditawarkan agar perniagaan mampu bersaing dalam pasaran. Nyatakan juga anggaran margin keuntungan yang akan diperoleh dan pastikan sama ada margin ini setanding dengan margin yang diperoleh oleh pesaing.

Promosi. Promosi merupakan bentuk atau kaedah komunikasi yang digunakan untuk memberitahu, mengingatkan dan juga memujuk pelanggan mengenai sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Gariskan beberapa strategi promosi yang dirancang bagi mencapai matlamat yang ditetapkan seperti kaedah promosi melalui periklanan, promosi jualan, publisiti, penajaan, atau jualan persendirian. Nyatakan juga media komunikasi yang akan digunakan seperti media sosial, media cetak, media elektronik, perhubungan awam, dan sebagainya.

Saluran pengedaran. Matlamat utama strategi pengedaran ialah untuk memastikan produk atau perkhidmatan mudah didapati oleh pelanggan sasaran. Pengedaran boleh dilakukan secara langsung atau tidak langsung menerusi beberapa jenis saluran pengedaran seperti ejen, pengedar, pemborong dan peruncit.

Bagaimanapun, strategi pengedaran adalah berbeza mengikut jenis atau aktiviti perniagaan yang dijalankan. Sebagai contoh, usahawan yang mengusahakan restoran perlu mengutamakan pemilihan lokasi kedainya dalam merangka strategi pengedaran. Sebaliknya faktor lokasi mungkin kurang kritikal bagi usahawan yang menyediakan perkhidmatan pembinaan, teknikal atau kejuruteraan.

Apakah langkah-langkah yang akan diambil bagi memastikan produk atau perkhidmatan sampai kepada pelanggan sasaran? Adakah anda akan menggunakan saluran pengedaran sedia ada atau akan membentuk kumpulan pengedar sendiri untuk memastikan produk sampai kepada pelanggan?

Bagi usahawan yang mengusahakan produk sendiri pula, strategi pengedaran amat penting kerana mereka perlu membuat pilihan saluran yang terbaik untuk memastikan produk mereka dapat dijual. Mereka boleh mewujudkan saluran pengedaran sendiri atau menggunakan saluran pengedaran sedia ada.

Orang-perseorangan. Anda boleh menggunakan khidmat pembekal, pengedar, pemborong, dan pekerja untuk membantu agar produk atau perkhidmatan sampai kepada pelanggan. Mereka merupakan sebahagian daripada pasukan anda yang perlu dibekalkan dengan kefahaman mengenai pentingnya menawarkan produk yang berkualiti dan menyediakan khidmat pelanggan yang berkesan.

Proses. Khidmat pelanggan dan proses perniagaan yang berkesan adalah penting bagi membantu perniagaan mencapai objektif pemasaran yang ditetapkan. Strategi ini mungkin termasuk mewujudkan prosedur dan sistem untuk menempah stok baru, memastikan produk atau perkhidmatan dihantar tepat pada masanya, dan menyediakan ruang dan peluang kepada pelanggan untuk memberi maklum balas.

 

Strategi Pemasaran Digital

Sekarang kita berada dalam era digital di mana berlakunya transformasi ke atas perniagaan dan masyarakat melalui teknologi digital. Oleh yang demikian, penggunaan kaedah pemasaran konvensional menjadi kurang berkesan untuk menyampaikan mesej atau maklumat kepada pasaran sasaran dengan meluas. Kaedah pemasaran digital yang menggunakan kemudahan teknologi internet bukan sahaja mampu menjangkau pelanggan sasaran dengan lebih luas tetapi juga memudahkan pembekal dan pelanggan untuk berinteraksi antara satu sama lain.

Antara kaedah pemasaran digital yang sering digunakan adalah seperti berikut:

Laman web. Laman web merupakan saluran pemasaran digital yang paling awal digunakan sebagai satu strategi pemasaran. Laman web mempunyai ciri-ciri yang hampir tidak terbatas dalam menyampaikan maklumat kepada pelanggan yang berpotensi. Laman web dianggap saluran pemasaran yang wajib dimiliki oleh setiap usahawan karena banyak maklumat  boleh disampaikan dengan mudah melalui saluran ini berbanding media lain. Untuk memiliki sebuah laman web, anda memerlukan domain name dan web hosting yang sesuai.

Pemasaran e-mel. Pemasaran e-mail merupakan strategi pemasaran yang menggunakan e-mel untuk membina hubungan dengan pelanggan sasaran. Kaedah pemasaran ini merupakan salah satu daripada segmen pemasaran internet yang merangkumi pemasaran dalam talian melalui laman web, media sosial, blog dan sebagainya.

Pemasaran kandungan. Pemasaran kandungan merupakan kaedah yang menyediakan pelbagai format kandungan seperti video tutorial, artikel, infografik, dan podcast. Melalui strategi ini anda berkongsi kandungan tersebut dengan pelanggan yang disasarkan. Pemasaran kandungan adalah strategi terbaik dan paling berkesan untuk mendorong dan meningkatkan pengunjung ke laman web anda.

Pemasaran media sosial. Media sosial merupakan alat yang berpotensi untuk mendapatkan database yang terbaik. Terdapat pelbagai media sosial yang boleh digunakan untuk meluaskan pasaran sasaran anda. Antara aplikasi media sosial yang paling banyak digunakan adalah Facebook, Youtube, Instagram, dan Whatsapp.

Aplikasi mudah alih. Salah satu cara untuk membina jenama perniagaan ialah dengan menghasilkan aplikasi untuk telefon mudah alih. Kini, penghasilan aplikasi mudah alih merupakan satu industri yang amat tinggi permintaannya. Pelbagai aplikasi boleh dihasilkan dan ia bergantung kepada jenis perniagaan. Apabila pelanggan memilih untuk memuat turun aplikasi mudah alih anda, bermakna mereka mempercayai aplikasi anda sepenuhnya untuk mendapat maklumat terbaru dari semasa ke semasa.

Pemasaran enjin carian. Pemasaran enjin carian (search engine) merupakan satu strategi untuk mengoptimumkan enjin carian agar artikel yang ditulis berada di muka hadapan enjin carian atau pada ranking carian yang lebih baik. Kaedah ini adalah antara platform pilihan yang dipercayai yang dapat mengukuhkan serta meluaskan lagi potensi pasaran. Ia bukan sekadar strategi untuk meningkatkan ranking carian semata-mata, malah ia juga untuk kebolehlihatan (visibility) capaian pencari maklumat dan sasaran pasaran yang lebih luas, berkualiti dan tepat.

Periklanan bayar per klik. Periklanan bayar per klik (pay-per-click) merupakan satu kaedah periklanan atas talian di mana anda membayar untuk klik yang anda peroleh pada iklan tersebut. Lazimnya, ini adalah iklan yang pengunjung lihat ketika mereka memasukkan kata kunci ke dalam enjin carian. Anda hanya perlu bayar sebaik sahaja mengunjung klik iklan tersebut yang membawa mereka ke laman web anda.

 

aaa

 

Merangka bajet pemasaran

Pelan pemasaran diakhiri dengan membuat anggaran jumlah perbelanjaan yang telibat dalam melaksanakan strategi dan aktiviti pemasaran. Aset-aset bukan semasa (aset tetap) yang perlu untuk melaksanakan aktiviti pemasaran perniagaan hendaklah disenaraikan. Kenal pasti juga perbelanjaan overhed dan perbelanjaan lain yang terlibat dalam melaksanakan  aktiviti dan strategi pemasaran.

Selepas menyediakan pelan pemasaran, anda boleh merangka pelan operasi, pentadbiran, dan kewangan bagi melengkapkan pelan perniagaan anda. Aspek ini akan saya sentuh dalam keluaran akan datang.

 

 

aaa
Ismail Ab.Wahab, Ph.D merupakan mantan Profesor Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA

 

 

 

KOLEKSI JIWO NIAGO

ANALISIS PASARAN PENTING DALAM PELAN PERNIAGAAN

Pelan perniagaan sebagai strategi pengembangan perniagaan

Pemikiran Kreatif dan Peranannya Dalam Perniagaan

Memilih idea, peluang niaga yang sesuai untuk anda

TIDAK SEMUA BISNES PERLU MODAL TINGGI

Model Perniagaan mesti ada nak kembangkan bisnes

Fahami tawaran nilai produk anda dari perspektif pelanggan

 

 

 

 

Portfolio Tags